Friday, January 18, 2013

Isu kalimah ALLAH bantah dengan hujah


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya dalam menyelesaikan isu penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible bahasa Melayu, bantahan tersebut perlu dibuat menerusi hujah yang mempunyai fakta tepat dan bukannya bantahan kosong.

Beliau berkata, ramai yang tidak bersetuju dengan perkataan ALLAH dalam Bible bahasa Melayu, tetapi ramai tidak tahu asal usul penggunaan perkataan ALLAH dalam Bible.

“Kita malas membaca buku dan membekal diri dengan ilmu pengetahuan. Dengan itu tiada pengetahuan. Kita hanya ada emosi dan kita marah. Itu  tidak kena, seharusnya alasan perlu diberikan dan selepas itu barulah  dipertikai.

“Jika ada  yang kata perkataan ALLAH itu boleh digunakan dalam sebarang agama, itu adalah tidak tepat. Yang tepat perkataan ALLAH itu bermula dengan agama Islam,” katanya dalam Bicara Minda di bawah tajuk Masa Depan Melayu dan Islam selepas PRU13', di Kompleks Media Karangkraf, semalam.

Katanya lagi, penggunaan kalimah ini perlu dibantah kerana dalam konteks negara Malaysia, dikhuatiri unsur penipuan akan berlaku.


"Sekiranya ada pihak lain mahu menggunakan kalimah tersebut, apa tujuannya selain jika bukan untuk menipu pemikiran supaya orang lain menganggap perkataan ALLAH sama dengan agama lain.

“Unsur penipuan itu memang ada, sebab itu kita tidak boleh terima penggunaan perkataan ALLAH, tetapi apa yang kita tahu, kita tidak bersetuju sahaja. Kita perlu jelaskan mengapa (perkataan ALLAH) bukan mereka punya dan kita (orang Islam) punya,” katanya.

Menjelaskan asal usulnya, Tun Mahathir berkata, pada awalnya Bible bukan ditulis dalam bahasa Inggeris, sebaliknya bahasa Greek dan Latin.

Katanya, selepas kedatangan Islam, hanya orang Islam menggunakan ALLAH, namun apabila penganut agama lain, ingin memperkembangkan agama mereka dalam kalangan orang Islam atau masyarakat yang mahir dengan agama Islam, maka perkataan God diterjemah kepada ALLAH supaya mudah difahami.


"Di Mesir, Bible milik mereka menggunakan bahasa Arab, tetapi tidak menyebut nama tuhan mereka sebagai ALLAH. Begitu juga orang Kristian, menganggap Jesus sebagai tuhan, manakala orang Yahudi pula menggunakan Yahweh.

"Untuk mengembangkan agama mereka, tuhan ditukar sebagai ALLAH. Selepas itu diterjemah Bible untuk bangsa-bangsa lain. Oleh sebab itu di Indonesia, memang perkataan ALLAH digunakan dan  juga di Malaysia, ketika zaman sebelum merdeka di Sabah dan Sarawak, mereka menggunakan  Bible yang sama menggunakan perkataan ALLAH ,” katanya.

SINAR HARIAN 

No comments:

Post a Comment