Wednesday, January 23, 2013

Hujah2 Dr.Mahathir dlm dialog dengan ilmuwan Jepun-Barat palsukan realiti Islam


Oleh DR. ZAMBRY ABDUL KADIR
BARU-BARU ini saya berkesempatan berada di Jepun menghadiri dua seminar utama yang dianjurkan sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ke Jepun.
Dua seminar itu ialah Penilaian Semula Dasar Pandang ke Timur Selepas 20 Tahun, dan keesokan harinya Seminar Islam dan Kepentingan Mengadakan Persefahaman dan Dialog. Seminar itu merupakan antara kemuncak lawatan Perdana Menteri ke Jepun.
Dalam ucaptama yang disampaikan di University of United Nation, Tokyo, mengenai Islam yang dihadiri oleh lebih 500 peserta terdiri daripada para diplomat, ahli-ahli Parlimen, ahli-ahli akademik, tokoh korporat dan pertubuhan-pertubuhan utama Jepun, Dr. Mahathir mendapat sambutan di luar jangkaan universiti berkenaan
Pihak penganjur iaitu Sekretariat OIC, Kementerian Luar Jepun dan pentadbiran University of United Nation sememangnya menjangkakan jumlah kehadiran di luar jangkaan memandangkan sebelum ini Perdana Menteri pernah memberi syarahan di tempat yang sama dan respons yang sama turut diterima.
Dr. Mahathir sangat popular di universiti itu. Tempat beliau dijemput berucap hanya dibenarkan kepada beberapa individu terpilih. Saya dimaklumkan ada seorang tokoh dari negara kuasa besar dunia yang pernah mengejutkan Malaysia dengan kenyataan celuparnya suatu ketika dahulu cuba untuk menyampaikan ucapannya di universiti itu. Malangnya beliau tidak dibenarkan.
Penghormatan terhadap Dr. Mahathir juga agak luar biasa. Rata-rata kalangan yang hadir menyatakan bahawa ucapan Dr. Mahathir memang ditunggu-tunggu oleh mereka. Duta Djibouti yang menjadi pengerusi majlis secara terus terang mengatakan bahawa Dr. Mahathir bukan sekadar pemimpin Malaysia, tetapi juga pemimpin dunia Islam dan negara-negara Dunia Ketiga.
Dalam ucapan yang padat dan ringkas serta sarat dengan hujah, Dr. Mahathir menjelaskan bagaimana Islam sebagai agama terus disalah tanggap. Isu yang menyelubungi umat Islam sekian lama tidak dipandang secara serius oleh kuasa pemuka yang mempunyai segala kekuatan ketenteraan dan ekonomi. Sebaliknya Islam dianggap sebagai agama ganas, agama yang tidak menganjurkan keamanan, dan umatnya pula hidup dalam putaran kemiskinan dan kemunduran.
Persepsi sebegini selagi tidak diperbetulkan akan meninggalkan kesan mendalam dalam hubungan Islam dan Barat. Menurut Dr. Mahathir, masalah yang berlaku hari ini ialah apabila agama Islam itu tidak difahami, dan apa yang sering terjadi ialah peristiwa di dunia Islam sering dikaitkan dengan agama Islam.
Berbanding dengan agama-agama lain, agama Islam sendiri bermakna aman dan sejahtera. Setiap orang Islam akan menyampaikan ucapan salam kepada orang lain yang ditemui. Amalan itu yang kelihatan mungkin tidak membawa makna apa-apa sebaliknya mempunyai takrif yang sangat mendalam tentang pengertian agama dan amalannya di kalangan penganut. Ia membawa makna kecintaan kepada keamanan. Assalamu'alaikum - sejahtera atas kamu, peace be upon you.
Namun dunia sejak dahulu lagi terus menyaksikan ketidakadilan dan kezaliman yang dilakukan terhadap umat Islam. Sedangkan sejarah membuktikan bahawa orang bukan Islam khususnya orang Yahudi diselamatkan dan hidup aman di bawah pemerintahan umat Islam seperti yang tertera selepas tahun 1492. Tetapi sumbangan Islam itu dilupai begitu sahaja sehinggakan penderitaan orang Palestin dan kezaliman yang dilakukan ke atas mereka oleh rejim Zionis Israel tidak langsung diberi perhatian oleh dunia.
Menurut Dr. Mahathir, dunia tahu apa yang berlaku di Palestin. Dunia tahu bahawa krisis yang terjadi pada mulanya adalah atas asas pertikaian wilayah. Bumi Palestin dirampas dan wilayahnya dikuasai. Tetapi dunia berdiam diri dan membiarkan orang Palestin menderita, membiarkan mereka merana tanpa bantuan dan simpati.
Lantaran itu, yang mencetuskan keganasan ke atas manusia, siapa sebenarnya? Kenapa rakyat Palestin dianggap pengganas. Sikap dan realiti yang dipaksakan ke atas rakyat Palestin adalah suatu ciptaan. Pemaksaan realiti inilah juga yang menjadikan negara-negara umat Islam yang terjajah selama beratus-ratus tahun dianggap sebagai bangsa hina, bangsa yang tidak bertamadun, dan bangsa yang hanya tahu mengenai kekerasan.
Selama itulah juga mereka dianggap hidup dalam keadaan ketinggalan. Tetapi dunia Barat terus meragui Islam. Realiti yang mereka lakarkan dan paksakan ke atas dunia tentang watak dan perilaku umat Islam menjadikan mereka sendiri hidup dalam hambatan ketakutan. Mereka cuba mencari-cari dengan pelbagai kaedah ilmu tentang kedudukan masyarakat Islam. Mereka lupa apa yang telah mereka ciptakan dalam sejarah tentang watak dan perilaku umat Islam.
Dr. Mahathir menekankan keganasan yang terjadi hari ini bukan disebabkan oleh masalah pertentangan kelas. Tetapi ia adalah kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam. Berkali-kali dinyatakan bahawa untuk menghapuskan keganasan, puncanya perlu dicari. Tetapi pandangan ini diketepikan sama sekali. Sehingga hari ini belum ada usaha bersungguh-sungguh untuk memahaminya.
Apabila umat Islam bertindak mengatakan apa yang berlaku hari ini adalah serangan ke atas Islam, maka ia adalah suatu kewajaran.
Akibatnya kuasa dunia kehilangan fokus. Kuasa yang ada tidak digunakan untuk menghentikan peperangan dan keganasan. Tetapi sebaliknya ia digunakan untuk meneruskan acuman-acuman perang dan keganasan. Di sebelah pihak ia bertindak menghentikan keganasan yang ada kaitan dengan umat Islam, di sebelah pihak lain keganasan terus dibiarkan berlaku ke atas umat Palestin. Sikap berat sebelah dan talam dua muka ini bukannya dapat menghentikan keganasan sebaliknya ia menggalakkan lagi keganasan.
Tanggapan Dr. Mahathir tersebut terus diulas dengan baik oleh seorang ahli Parlimen Jepun bahawa apa yang berlaku dan sikap tidak peduli kuasa besar berpunca daripada tiga fahaman yang sedang mengongkong mereka.
Pertama, pemikiran formalistik dan realistik khususnya dalam dasar hubungan antarabangsa yang terlalu menekankan kepada kejadian di depan mata tanpa memikirkan sebab musabab. Sebagai kuasa besar mereka bertindak melakukan apa sahaja asalkan kedudukan mereka terpelihara.
Kedua, pemikiran satu arah dan singular yang tidak langsung mahu mendengar nasihat dan pandangan orang lain. Mereka tidak langsung mahu membenarkan kepelbagaian. Sebagai contoh mereka menganggap bahawa liberal kapitalis sahaja yang menjadi ideologi mutlak yang tidak boleh diganggu gugat.
Ketiga, pemikiran yang terlalu menekankan persaingan yang ekstrem. Mereka inilah yang mendabik dada bahawa mereka sahaja yang berkuasa di dunia ini; merekalah negara yang paling hebat. Akibatnya mereka sering kali mempamerkan lagak sebagai penguasa yang boleh melakukan apa sahaja jika mereka mahu berbuat demikian. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak berupaya melakukan apa-apa untuk menyekat mereka.
Dr. Mahathir menanggapi pandangan itu dengan menambah bahawa itulah hakikat yang berlaku di dunia hari ini. Katanya, sering kali kita mendengar retorika-retorika bahawa dunia ini sudah bertamadun dan manusia sudah jauh lebih maju dan moden. Lantas sudah tidak ada lagi peperangan, dominasi, penguasaan, penganiayaan, dan keganasan terhadap orang lain.
Tetapi nampaknya apa yang berlaku adalah sebaliknya. Semakin maju dan berkuasa sesebuah negara, semakin kuat pula pemikiran zaman batu iaitu might is right - mereka yang kuat, dia dapat.
Sains dan teknologi semakin berkembang maju, tetapi manusia sering kali tidak dapat lagi menguasai damir (hati) mereka. Ada sahaja keinginan mereka untuk menggunakan senjata bagi membunuh orang lain.
Sikap kehilangan damir (the loss of human impulse), menurut Dr. Mahathir lagi, menyebabkan ada negara yang bercita-cita mahu menjadi kuasa besar di rantau ini cuba melaksanakan doktrin preemptive action. Tindakan itu tidak bersifat diplomatik, dan sudah tidak lagi menghormati prinsip kedaulatan sesebuah negara.
Kalau ini berlaku, tegas Dr. Mahathir, dunia tidak akan aman lagi. Sebabnya semua negara berhak melaksanakan doktrin itu sekiranya difikirkan sesebuah negara lain mendatangkan bahaya kepadanya. Akhirnya dunia akan terjebak dalam kancah peperangan.
Kita memerlukan kepelbagaian sistem. Kita tidak boleh memaksa orang lain untuk mengikut acuan dan sistem sesebuah negara. Umpamanya demokrasi. Adalah menjadi projek besar bagi mewujudkan sebuah dunia yang bebas dan hak menentukan kerajaan diletakkan dalam tangan rakyat.


Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah wujud demokrasi yang dipaksakan iaitu hanya satu brand demokrasi yang dibenarkan. Kalau tidak ikut brand demokrasi yang dikehendaki, akibatnya ialah perang. Jadi, tanya Dr. Mahathir, apa erti demokrasi yang sebenarnya?
Bukankah demokrasi itu bermakna kuasa rakyat untuk memilih kerajaan dan pemimpin secara bebas. Namun kenapa apabila orang yang tidak disukai oleh kuasa pemuka tetapi dipilih rakyat menjadi pemimpin, lalu ia dianggap tidak demokratik. Inilah nasib yang berlaku di sebahagian negara Islam.


Lantaran itu sebagai menjawab pertanyaan seorang pemikir terkenal Jepun, Profesor Nakamura, mengenai ekstremisme Islam dan keganasan di Asia Tenggara selepas peristiwa pengeboman di Bali, Dr. Mahathir menekankan bahawa dunia perlu jujur untuk menerima kedurjanaan dan penindasan yang dilakukan ke atas Palestin dan di lain-lain tempat di dunia Islam.


Dunia perlu kepada kesungguhan menghapuskan keganasan seperti yang dilaksanakan oleh Malaysia. Kebencian yang ditanam terlalu dalam. Ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan bertindak mengebom dan membunuh mereka yang disyaki. Langkah yang perlu dilakukan ialah mengadakan dialog dan bersama-sama menangani masalah yang melanda dunia.
Dalam menangani kemelut ini, Dr. Mahathir menyatakan bahawa Jepun barangkali mampu untuk menjadi kepala. Jepun belum terpalit dengan peristiwa keganasan ini. Jepun tidak menjadi sasaran keganasan. Jepun adalah antara negara maju di dunia dan pemimpin dalam ekonomi. 

Tentunya pandangan Jepun akan didengar oleh masyarakat antarabangsa.
Dalam jangka masa lebih dua jam Dr. Mahathir berdialog dengan para ilmuwan dan diplomat ternyata kalangan yang hadir begitu puas dengan beliau. Seorang diplomat dari Fiji berkata kepada saya: ``Kamu harus berbangga mempunyai seorang negarawan dan pemimpin yang intelektual dan mampu berbicara dan bersoal jawab dengan peserta secara terbuka.''


http://arkib.mykmu.net/

No comments:

Post a Comment