Monday, January 31, 2011

Nik Aziz mengikut pandangan Dr Mahathir


1. Kata Nik Aziz, "Melayu (di Malaysia) tolak Islam lebih teruk daripada Kwan Yew". Ternampak Nik Aziz lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Lee Kwan Yew. Nik Aziz anggap nasionalis Melayu lebih teruk ke-Islaman mereka.

2. Di zaman British ramai pembesar Melayu minum arak dan ada pekerja Melayu yang minum toddy. Masjid pun tidak banyak dan ramai yang tidak sembahyang. Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi Kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang Kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam. Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?

3. Sebaliknya apakah yang dilakukan oleh PAS dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar ialah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan PAS itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam.

4. PAS turut memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia sekali lagi apabila PAS mengadakan sembahyang Jumaat dua Imam, larangan terhadap perkahwinan orang PAS dengan orang UMNO, larangan ahli PAS menghadiri kenduri orang UMNO dan pengasingan kubur orang PAS dari orang UMNO, seolah-olah di Akhirat juga PAS ingin pecah belah orang Melayu Islam terus berlaku.

5. Apabila PAS bertanding dalam Pilihanraya 1955 dan seterusnya hingga 1986 ia mendakwa bahawa UMNO yang bekerjasama dengan orang bukan Islam, mereka menjadi kafir. Ini juga memecahkan perpaduan orang Islam di Malaysia.

6. Kemudian PAS bergabung tenaga dengan Semangat 46 dan DAP dalam Pilihanraya 1990 dan 1995. Dengan ini Semangat 46, serpihan dari UMNO mendapat nafas dan orang Melayu Islam terbahagi kepada tiga kumpulan.

7. Alhamdulillah Semangat 46 kembali semula kepada UMNO dan perpaduan orang Melayu Islam dalam UMNO dipulih semula. Tetapi apabila Timbalan Presiden UMNO di keluarkan dari parti, Nik Aziz dengan cepat memberi sokongan kuat kepadanya supaya parti serpihan yang ditubuh boleh menarik keluar sebahagian daripada ahli UMNO dan penyokongnya supaya parti orang Melayu Islam yang terbesar ini menjadi lemah.

8. Hasil daripada sokongan Nik Aziz orang Melayu sekali lagi berpecah tiga. Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu PAS mendakwa kerjasama oleh UMNO dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadi Pakatan musuh UMNO yang kuat. Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal.

9. Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Bahawa satu dari ajaran Islam yang penting ialah orang Islam itu bersaudara tidak dihirau oleh Nik Aziz.

10. Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu.

11. Cadangan Lee Kuan Yew ini dianggap oleh Nik Aziz sebagai lebih baik dari segala-gala yang dilakukan oleh nasionalis Melayu di Malaysia. Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal, Kit Siang, Guan Eng. Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

sumber :

http://chedet.co.cc/chedetblog/

Friday, January 28, 2011

menonton teater muzikal Tun Mahathir 2 di Istana Budaya




“Babak terakhir itu antara memori yang sukar dilupakan sehingga ke hari ini."
“Saya juga kagum dengan barisan pelakon yang menjayakan teater ini terutama pelakon kanak-kanak,”

Tun Dr Mahathir Mohamad menonton teater muzikal Tun Mahathir 2 di Istana Budaya.

Monday, January 24, 2011

BERSARA

1. Saya setuju saya patut bersara dan serah segala-galanya kepada generasi muda. Tetapi saya sering menasihat kawan-kawan yang bersara supaya terus aktif kerana jika tidak mereka akan tua lebih cepat dan akan pergi lebih awal.

2. Saya juga cuba supaya tidak pergi lebih awal dengan mengaktifkan diri saya. Harap kawan-kawan saya membenarkan orang tua ini terus aktif. Akan sampai masanya yang saya tidak lagi boleh aktif walaupun saya ingin aktif. Pada masa itu saya akan terima apa yang ditakdirkan bagi saya oleh Allah subhanawata'ala.

3. Selagi Allah s.w.t. memberi kesihatan dan tenaga kepada saya, saya tidak akan membazirkan kurniaan Tuhan ini.

Dr Mahathir Mohamad

sumber :

http://chedet.co.cc/chedetblog/

KAUM MELAYU SINGAPURA

1. Tan Malaka yang namanya amat terkenal di zaman Sukarno mendakwa Melayu Singapura lebih disiplin (daripada Melayu Malaysia). Ini memang benar. Bahkan rakyat Singapura tanpa mengira bangsa juga amat disiplin.

2. Sebagai contoh mereka tidak akan buang sampah di jalan. Dengan itu jalan-jalan di Singapura amat bersih.

3. Tetapi apabila mereka menyeberang ke tanah besar Malaysia mereka akan buang sampah dari kereta mereka dalam perjalanan.

4. Ada pelawak yang memanggil Singapura "a fine city". Sebabnya kerana bagi tiap kesalahan kecil rakyatnya akan dikenakan denda iaitu "fine".

5. Rakyat Malaysia pun bila ke Singapura akan berjaga-jaga supaya tidak dikenakan fine.

6. Di Malaysia buang sampah selori di tepi jalan pun tidak diambil apa-apa tindakan. Sudah tentu rakyat Malaysia di Malaysia tidak disiplin dalam soal kebersihan dan lain-lain.

7. Mungkin ini kerana kita demokratik. Parti-parti politik takut rakyat tidak akan sokong mereka jika mereka bertindak terlalu keras supaya rakyat berdisiplin.

8. Parti pemerintah Singapura tidak takut kepada rakyat. Jika rakyat pilih bukan calon PAP, dia akan diheret ke mahkamah, didenda dan dijadikan bankrap. Selepas itu dia tidak dapat ke Parlimen untuk membantah perlakuan pemerintah.

9. Jika dia dibenar mengambil tempat di Parlimen, dia tidak akan berani berkata apa-apa.

10. Mungkin Tan Malaka lebih senang jika amalan di Singapura didapati di Malaysia.

11. Jika "demokrasi" ala Singapura diamal disini saya yakin bukan sahaja Melayu Malaysia akan disiplin tetapi semua kaum akan disiplin.

12. Sesungguhnya keadaan di Singapura amat mengagumkan sesetengah daripada kita di Malaysia. Apa tidak. Masalah Kampung Baru dapat diselesaikan dengan mudah. Pindahkan sahaja penduduk Kampung Baru, dan bangunkan rumah pangsa yang akan diduduki oleh sesiapa sahaja. Seperti hilangnya Geylang dan Pasir Panjang akan hilanglah Kampung Baru.

13. Menteri-Menteri pun lega kerana jika dicalonkan semula oleh parti, kemenangan terjamin walaupun menidakkan hak bersuara rakyat.

Dr Mahathir Mohamad

sumber :

http://chedet.co.cc/

Thursday, January 20, 2011

PERKIM




Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad ADALAH Yang Dipertua PERKIM sejak 2006 sehingga sekarang.

Sehingga 2009 Perkim telah berjaya mengislamkan seramai 17,460 orang saudara islam baru .

sumber :

http://www.perkim.net.my/

Dr Mahathir melawat Melaka











Terima kasih Tun kerana meluangkan masa melawat Melaka.























Tuesday, January 18, 2011

PROGRAM DR MAHATHIR DI MELAKA



DEWAN UTEM,DURIAN TUNGGAL MELAKA

20 JANUARI 2011

8 PAGI - 12 TENGAHARI

Monday, January 10, 2011

Kampung Baru


1. Di antara kegagalan saya semasa menjadi Perdana Menteri ialah pemulihan dan pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur.

2. Setelah mengumumkan rancangan Kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru KL, beberapa masalah timbul berkenaan dengan pemilikan tanah dan harga tanah.

3. Ramai penduduk Kampung Baru yang asal telah pun pindah dari situ kerana mereka setelah mencapai kemajuan mendapati Kampung Baru sudah tidak lagi selesa bagi mereka.

4. Di masa yang sama ramai tuan tanah telah meninggal dunia dan siapa pewaris mereka sukar dikesan.

5. Tuntutan harga oleh tuan tanah yang dikesan adalah terlalu tinggi dan ini akan menyebabkan kos pembangunan juga amat tinggi. Dengan ini orang Melayu tidak mungkin dapat membeli kedai atau ruang untuk kediaman apabila dibina. Mungkin orang bukan Melayu sahaja yang mampu.

6. Jika harta yang dibangunkan dijual kepada bukan Melayu maka akan hilanglah Kampung Baru sebagai kawasan Melayu di KL.

7. Untuk menentukan penduduk Kampung Baru terus berada di situ maka satu syarat yang telah dikenakan kepada pemaju ialah penduduk Kampung Baru bukan sahaja dibayar harga tanah tetapi mereka akan diberi tempat perniagaan dan kediaman di bangunan yang akan didirikan. Syarat ini boleh menjamin orang Melayu yang sekarang berada di situ akan terus berada di situ. Mereka tidak akan terusir keluar.

8. Tetapi sekali lagi syarat in akan menaikkan kos pembanguan. Pemaju Melayu mungkin tidak berminat. Bukan Melayu juga mungkin tidak berminat kerana kemampuan Melayu membeli amat rendah. Hari ini pun banyaklah tempat kediaman dan kedai yang diperuntuk kepada orang Melayu tidak dapat dibeli oleh mereka.

9. Oleh sebab ini pembangunan Kampung Baru KL gagal dilaksanakan semasa saya menjadi Perdana Menteri.

10. Saya berdoa Kerajaan kini akan berjaya membangunkan semula Kampung Baru supaya pelawat ke Kuala Lumpur tidak akan lihat kedaifan orang Melayu di negara mereka sendiri. Di tengah-tengah ibu kota yang penuh dengan bangunan pencakar langit, yang moden dan mewah terdapat kampung setinggan Melayu dengan rumah kayu berbumbung zink karat.

sumber :

http://chedet.co.cc/

Thursday, January 6, 2011

Tun Mahathir Galak Rakyat Simpan Emas


Tun Mahathir Galak Rakyat Simpan Emas

KUALA LUMPUR 17 Dis 2010. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihatkan orang ramai supaya menyimpan emas berbanding mata wang kerana nilai emas lebih terjamin dan sukar untuk jatuh.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, nilai mata wang tidak terjamin kerana ia bergantung kepada pasaran tukaran mata wang dunia yang sentiasa berubah-ubah.

Menurutnya, ada kalanya nilai mata wang akan jatuh dengan teruk apabila berlaku sesuatu krisis kewangan di dalam sesebuah negara.

"Mata wang hanyalah sehelai kertas yang digunakan untuk mewakili nilai tertentu tetapi bukan nilai sebenar, namun emas boleh mewakili nilai sebenar kerana ia sebuah logam berharga di seluruh dunia.

"Simpanan emas lebih terjamin kerana fungsi komoditi itu sebagai penyimpan nilai kalis inflasi dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan ekonomi global yang sedang melanda ekonomi dunia ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pelancaran Produk Emas Genneva Malaysia berkonsepkan syariah di sini, kelmarin.

Produk emas Genneva Malaysia dihasilkan dalam bentuk jongkong oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-Arab Saudi (MSAF) dan Persatuan Usahawan Jongkong Emas Malaysia (GBEAM) yang dikeluarkan memenuhi keperluan Syariah.

MSAF dan GBEAM menyasarkan syarikat swasta dan orang ramai untuk mendapatkan produk berkenaan sebagai urusan dalam pelbagai transaksi terutamanya jualan dan belian.

Dr. Mahathir berkata, suatu ketika dahulu, satu auns emas bernilai AS$30 (RM109.79) tetapi kini satu auns emas bernilai kira-kira AS$1,400 (RM4,390.40).

Beliau berkata, perbezaan antara menyimpan emas fizikal dan emas yang siap diproses (barang kemas, syiling emas) adalah dari sudut keuntungan.

sumber :Bernama

Wednesday, January 5, 2011

Dr Mahathir diwawancara Siti Nurhaliza



PETALING JAYA – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengaku berasa janggal apabila ditemu bual oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin sebagai salah seorang tetamu dalam program bual bicara pertama artis itu yang diberi nama Siti.

Tokoh negarawan berusia 85 tahun itu berkata, beliau sebelum ini hanya mendengar Siti Nurhaliza menyanyi ketika mengadakan persembahan pentas.

“Ini merupakan kali pertama saya ditemu bual oleh Siti. Saya rasa ganjil sikit. Namun, saya dapati dia sangat fasih sewaktu mengendalikan program pertamanya ini.

“Malah, saya nampak dia cepat dan mahir menjadi seorang pengacara dengan melontarkan soalan-soalan yang bernas,” jelasnya ketika ditemui pada rakaman episod pertama Siti di Filem Negara Malaysia di sini semalam.

sumber :

KOSMO

Sunday, January 2, 2011

Melayu Hilang Kuasa Jika Pembangkang Memerintah – Dr M

Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa orang Melayu bakal kehilangan kuasa dan suara jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini.

Menurutnya, apa yang di nyatakan itu bukan satu igauan tetapi telah menjadi kenyataan kerana perkara itu sudah pun berlaku di negeri pakatan pembangkang, walaupun ketua pentadbiran di negeri itu di ketuai orang Melayu.

“Kita lihat Nizar (Mohamad Nizar Jamaluddin) di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan dari Dap sehingga dia jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN (Barisan Nasional) menjatuhkan kerajaan Cina.

“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya kepada UMNO-online.

Bekas Perdana Menteri itu mengatakan, walaupun Nizar itu mewakili Pas yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi mereka sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.

Menurutnya, menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak tertakluk kepada orang Melayu atau mereka yang beragama Islam, jawatan berkenaan terbuka kepada sesiapa sahaja, yang utama ialah mendapat sokongan di parlimen.

“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi Perdana Menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa.

Dr Mahathir berkata, apa yang dilakukan oleh Keadilan (PKR) bukan untuk memperjuangkan orang Melayu tetapi lebih kepada untuk merealisasikan cita-cita peribadi seseorang pemimpin mereka untuk menjadi Perdana Menteri.

“Malangnya UMNO telah gugur orang ini, dalam perasaan marah peluang dia sudah terputus, dia tubuh parti lain, perjuangannya hanya satu sahaja bukannya untuk bangsa, agama dan negara tapi untuk jadi Perdana Menteri.

“Trend itu tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi kepada apa saya dapa, apa kau dapat, lebih kepada peribadi, itunya terbentuk keadilan, keadilan itu nama sahaja. Tubuh Keadilan (PKR) seolah-olah negara ini tidak ada keadilan,” katanya.

Beliau mengingatkan supaya tidak terpedaya dengan apa yang dilakukan oleh pembangkang, mereka itu hanya untuk mengejar cita-cita menjatuhkan BN dari tampuk pemerintahan negara.

Menurutnya apa yang diperkatakan itu bukannya bersifat perkauman, tetapi kepada kestabilan, sedangkan DAP sering membangkit pelbagai perkara berunsur perkauman sejak dahulu lagi. –

sumber :

MediaUMNO.

Fitnah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad



Pengguna forum Cari memfitnah Tun Dr Mahathir Mohamad.....