Monday, April 25, 2011

Tahniah!



Blog Chedet telah mencatatkan 30 juta pelawat!Tahniah Tun!

Saturday, April 23, 2011

Dr. M bimbang sokongan Cina



DR MAHATHIR Mohamad melayan salah seorang peminatnya semasa sesi autograf buku A Doctor In the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur,
semalam



Dr. M bimbang sokongan Cina


KUALA LUMPUR 23 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat pelbagai kaum di negara ini perlu disatukan kerana beliau bimbang dengan trend sokongan masyarakat Cina yang kini dilihat lebih cenderung kepada pakatan pembangkang terutama DAP.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau juga bimbang dengan kebebasan yang dibenarkan untuk diamalkan di negara ini, akan memberi ruang kepada pergerakan ‘pengganas’ yang kehadiran mereka bukan untuk memberi kebaikan tetapi bertujuan demi kepentingan diri sendiri.

“Malaysia negara pelbagai kaum, tidak boleh ada pembahagian, selama 50 tahun, negara ini aman, sebab rakyat pelbagai kaum bekerja antara satu sama lain. Mereka bersetuju berkongsi negara ini secara adil antara satu sama lain.

“Tetapi sekarang kita lihat apa berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 lalu, kaum Cina hanya mahu bersama kaumnya dan tidak mahu bekerja dengan orang Melayu. Sekarang orang Melayu pula hendak tubuhkan gerakan 1Melayu, 1Bumi, saya rasa ini tidak baik untuk negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memoirnya bertajuk A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dibeli pengunjung sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 di sini, hari ini.

Bekas perdana menteri itu diminta mengulas mengenai kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk menubuhkan gerakan 1Melayu, 1Bumi bagi menyatupadukan masyarakat Melayu.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, kerajaan perlu menimbang keperluan masyarakat Cina di negara ini termasuk menyediakan peluang perniagaan yang lebih banyak bagi meraih sokongan mereka.

Ini kerana, katanya, sebagai masyarakat yang berorientasikan perniagaan, kaum Cina memerlukan peluang yang banyak dan berterusan bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau turut menolak dakwaan masyarakat Cina tidak pernah menyokong Barisan Nasional (BN) kerana kaum itu sebelum ini telah memberikan sokongan yang kuat kepada parti itu.

“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, kita lihat pada Pilihan Raya Umum 1999, sokongan teguh masyarakat Cina telah membantu BN memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Dr. Mahathir menyarankan supaya golongan berkemampuan di negara ini mewujudkan perpustakaan persendirian yang menempatkan pelbagai buku termasuk buku-buku lama yang mempunyai nilai yang amat tinggi.

Menurut beliau, amalan sedemikian telah pun diamalkan di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS).

“Apabila golongan berkemampuan di Barat meninggal dunia, mereka akan menyumbang atau membuat tawaran buku-buku yang dimiliki menjadi harta milik awam dan perpustakaan.

“Budaya ini tidak diamalkan di Malaysia. Sepatutnya golongan berkemampuan di negara ini mewujudkan perpustakaan yang mengandungi pelbagai jenis buku dan apabila meninggal dunia, buku-buku itu didermakan kepada perpustakaan untuk kegunaan orang ramai,” katanya.

Dr. Mahathir turut gembira kerana ramai orang berminat membaca buku-buku yang ditulisnya dan mendapat manfaat daripadanya.

Sumber : Utusan

Saturday, April 16, 2011

Sokong produk tempatan - Dr. M


Tun Dr. Mahathir Mohamad kesal dengan sikap sesetengah rakyat negara ini yang sering menganggap barangan buatan tempatan sebagai tidak berkualiti.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, produk yang dikeluarkan syarikat tempatan memerlukan sokongan rakyat negara ini supaya ia dapat dikembangkan ke pasaran antarabangsa.

"Jika kita sentiasa ragu-ragu dengan produk tempatan, maka sukar untuk syarikat anak tempatan memasuki pasaran antarabangsa," katanya selepas melancarkan kapal tunda sepanjang 36 meter yang dibina syarikat pembinaan kapal tempatan, NGV Tech Sdn. Bhd. untuk Marine Services Co. Ltd. dari Arab Saudi di Kampung Sijangkang di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas perkara sama, Dr. Mahathir berkata, rakyat negara ini perlu menjadikan Jepun sebagai contoh kerana rakyat negara itu sentiasa menyokong produk buatan mereka.

"Di Jepun, rakyatnya akan tetap menggunakan kereta buatan mereka walaupun kereta yang dikeluarkan mempunyai masalah tertentu. Sebaliknya, kita di Malaysia lebih gemar mengkritik kereta buatan Proton yang merupakan produk tempatan," jelasnya.

Dalam pada itu ketika berucap pada majlis itu, Dr. Mahathir berkata, beliau berbangga dengan NGV Tech Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh anak Melayu kerana telah terbukti berjaya membina kapal bertaraf antarabangsa.

"Saya lihat, syarikat ini dimiliki oleh orang Melayu dan pekerjanya juga ramai di kalangan orang Melayu dan ini membuktikan yang Melayu boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

"Orang Melayu hanya perlu berusaha dengan lebih gigih jika ingin berjaya dan jika ini diteruskan, saya yakin Wawasan 2020 akan dapat dicapai," ujarnya.

Tambahnya, semasa melihat brosur mengenai NGV Tech, beliau sendiri tidak yakin terhadap kemampuan syarikat itu membina kapal-kapal berspesifikasi tinggi termasuk untuk pelanggan dari luar negara seperti industri minyak dan gas.

Namun, setelah melawat NGV Tech tahun lepas dan melihat sendiri, barulah beliau yakin terhadap kemampuan syarikat pembinaan kapal tempatan yang diterajui sepenuhnya oleh usahawan bumiputera itu.



sumber :Utusan