Monday, November 28, 2011

Najib Berada Di Landasan Untuk Capai Wawasan 2020 - Dr Mahathir

Najib Berada Di Landasan Untuk Capai Wawasan 2020 - Dr Mahathir



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berada di landasan untuk membawa Malaysia mencapai Wawasan 2020.

"Beliau (Najib) berusaha keras. Saya tidak boleh kata yang beliau berupaya untuk (membawa negara) mencapai Wawasan 2020 tetapi banyak orang berkata Malaysia sudahpun menjadi sebuah negara maju," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata Najib berdepan "kesukaran" berikutan mempunyai majoriti kecil di Parlimen dan perlu menguruskan krisis.

"Beliau tidak mempunyai majoriti sepertimana yang saya ada. Saya mempunyai (lebih besar) majoriti yang membolehkan saya mengendalikan pembangkang. Jadi, beliau berdepan kesukaran," katanya kepada pemberita selepas menganjurkan majlis makan tengah hari untuk perwakilan yang menghadiri Forum Antarabangsa bertema "Transformasi Politik, Ekonomi dan Sosial Dalam Era Krisis Global" sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini.

Terdahulu, semasa merasmikan forum itu, Najib secara berseloroh berkata "Saya beritahu Dr Mahathir 'anda lakukan bahagian mudah, anda lakukan bahagian "apa", tetapi saya perlu lakukan bahagian 'bagaimana'."

Mengenai Umno, Dr Mahathir berkata parti itu semakin berkembang maju dan "jauh lebih baik daripada pada 2008".

"Pada (pilihan raya umum) 2008, saya tahu banyak anggota Umno mengundi pembangkang bukan kerana mereka "kurang sayangkan Umno" tetapi mereka tidak sukakan kepimpinan pada masa itu," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir menggesa semua negara bersiap sedia menangani krisis global yang "berjangkit" akibat globalisasi.

"Hakikat yang kita perlu terima ialah kita tidak lagi boleh mengasingkan diri kita daripada apa yang berlaku di seluruh dunia.

"Malahan, jika kita kaji apa yang belaku di seluruh dunia dan mengandaikan apa yang berlaku di seluruh dunia juga akan berlaku di negara kita, dan kita lihat bagaimana masalah itu ditangani, dengan itu kita boleh lakukan perubahan yang sama di negara kita untuk membendung sebarang pemberontakan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata pemulihan yang serupa mungkin tidak sesuai untuk setiap negara dalam menangani krisis global berikutan persekitaran berbeza.

"Anda perlu sesuaikan diri anda dengan perubahan persekitaran. Ia bergantung kepada negara anda.

"Malaysia cuba melakukan banyak transformasi. Saya berharap kerajaan akan berjaya dalam mentransformasikan ekonomi dan masyarakatnya sendiri. Saya harap dengan berbuat demikian, mereka akan terus mendapat sokongan rakyat dan negara kekal makmur," katanya.

Sumber - BERNAMA

Dr M: Malaysia tak akan dijangkiti Arab Spring

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kemungkinan besar Arab Spring tidak akan merebak ke Malaysia kerana kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah bekerja keras dalam memenuhi tuntutan rakyat.

"Jika kerajaan tidak beri perhatian kepada masalah-masalah rakyat, maka rakyat akan memberontak.

"Tetapi Malaysia sejak kemerdekaan, telah bekerja keras untuk mewujudkan peluang kepada rakyat ... Saya tidak nampak bagaimana Arab Spring boleh menjangkiti kita," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai prestasi Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju bahawa Datuk Seri Najib Razak gigih berusaha tetapi menghadapi satu tugas yang sukar berbanding zamannya.

"Dia tidak mempunyai majoriti yang saya miliki, (saya ada) majoriti untuk mengendalikan ramai pembangkang, beliau mempunyai majoriti yang kecil jadi ini adalah bahagian yang sukar."

Sambil memberi amaran bahawa amalan rasuah akan menjadi penghalang kepada program transformasi kerajaan, Dr Mahathir berkata beiau berpuas hati dengan kemajuan transformasi Najib.

"Jika ia boleh berjaya 100 peratus, itu soalan lain. Rasuah tidak mudah untuk dibendung, rasuah terdapat di mana-mana sahaja.

"Jika ia adalah rasuah di bawah meja, maka ini lebih mudah untuk dibendung, tetapi jika rasuah adalah di atas meja dan telah menjadi satu budaya, maka ia lebih sukar ditangani," katanya.


Walau bagaimanapun, Dr Mahathir berkata bahawa Malaysia masih belum terjerumus ke satu peringkat yang membimbangkan.

Sambil memuji tindakan pantas reaksi kerajaan terhadap bantahan ke atas Akta Perhimpunan Aman, beliau berkata terpulang kepada rakyat untuk mentafsirkan sama ada kerajaan "tunduk” ataupun "sensitif" terhadap keperluan rakyat.

"Saya fikir kerajaan mendengar suara rakyat dan bertindak dengan cepat. Semasa zaman saya, saya tidak mempedulikannya langsung,” katanya sinis.

Empat hari selepas dibentangkan di Dewan Rakyat, kabinet memutuskan rang undang-undan itu perlu dipinda tetapi menegaskan perhimpunan jalanan tetap diharamkan.

sumber : Malaysiakini

Wednesday, November 23, 2011

Sokong pembentangan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman



DR. MAHATHIR Mohamad memasukkan tangan ke dalam -60 darjah Celcius Super Freezer selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembuatan peti ais -60 celcius antara Dairei Asia Sdn. Bhd. dan Zun Utara Industry Sdn. Bhd. di Jitra, semalam.




Sokong pembentangan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman




Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyokong pembentangan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, rang undang-undang itu diharap berjaya mengawal perhimpunan supaya ia merupakan perhimpunan sebenar dan tidak terjadi sebarang keganasan atau perbuatan yang merugikan pihak lain.

"Kalau adakan perhimpunan di jalan raya ada orang yang menjalankan perniagaan di situ dan mereka yang jadi mangsa kerana tidak dapat berniaga kerana perhimpunan tersebut.

"Jadi saya fikir itulah tujuan mengapa rang undang-undang ini dibentangkan iaitu untuk mengelakkan krisis-krisis seperti ini berlaku," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembuatan peti ais -60 celcius antara Dairei Asia Sdn Bhd dan Zun Utara Industry Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang dibentang serentak dengan rang undang-undang lain iaitu Akta Kanun Tatacara Jenayah (pindaan) 2010, Akta Keterangan (pindaan) 1950 serta Akta Polis (pindaan) 1967 di Dewan Rakyat semalam.

Antara kandungan penting dalam undang-undang yang dicadangkan itu ialah notis awal 30 hari perlu untuk berhimpun, kecuali mereka yang berada di kawasan yang ditetapkan oleh Menteri Dalam Negeri.


Menurut Mahathir, perhimpunan jalanan yang diadakan di negara ini membawa masalah kepada peniaga kecil yang pendapatan mereka hanya umpama kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang.

"Jadi sebab itu kena nak kena juga lindung hak-hak mereka (peniaga kecil), hak untuk buat demonstrasi kita bagi tapi hak orang lain kita kena jaga juga.

"Selain itu mereka yang ingin buat perhimpunan ditempat tertentu kita tidak ada masalah dengan itu cuma kita tidak mahu mereka menjadi ganas sahaja," ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pakatan pembangkang di negara ini yang dikatakan ingin mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 secara berasingan, Mahathir berkata perkara tersebut ialah satu pembaziran wang negara.

sumber :Utusan

Gerakan seksualiti merdeka wajib ditolak - Dr. M

Gerakan seksualiti merdeka wajib ditolak - Dr. M


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, gerakan seksualiti merdeka atau amalan seks bebas wajib ditolak kerana ia bukan sahaja berdosa malah boleh meruntuhkan struktur masyarakat negara ini.

Beliau berkata, meskipun setiap tegahan dalam agama tidak dinyatakan sebabnya tetapi penyakit HIV/AIDS telah mula dikesan di kalangan pengamal seks songsang di California, Amerika Syarikat (AS) dan sehingga kini tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit tersebut.

Seperkara lagi kata beliau, manusia yang bertamadun tidak akan menurut nafsu semata-mata namun budaya Barat pada masa ini menggalakkan manusia mengikut nafsu.

''Bagi mereka kebebasan bermakna apa sahaja yang didorong oleh nafsu tidak boleh ditegah oleh agama atau undang-undang manusia.

''Sebenarnya sifat ini adalah sifat haiwan. Manusia memiliki akal fikiran. Orang yang bertamadun menggunakan akal fikiran untuk menghalang diri daripada terikut-ikut dengan kehendak nafsu. Nafsu perlu dibendung kerana tamadun yang utamakan nafsu akan runtuh akhirnya," katanya dalam blog http://chedet.cc/blog, baru-baru ini.

Awal bulan ini, negara telah digemparkan dengan penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 bertujuan menuntut hak kesaksamaan gender serta mengiktiraf pengamal seks songsang seperti gay, lesbian, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak mengharamkan penganjuran Seksualiti Merdeka yang bermula pada 1 hingga 13 November kerana bertentangan dengan Islam dan moral kemanusiaan.

Dr. Mahathir berkata, selain menghalalkan seks songsang masyarakat Barat juga mengiktiraf perkahwinan sejenis iaitu antara lelaki dengan lelaki mahupun wanita dengan wanita.

''Akhirnya perlakuan seks dibebaskan di Barat sehingga mereka menerima apa sahaja yang dilakukan oleh masyarakat sebagai hak seseorang manusia. Anak perempuan dan anak lelaki belasan tahun pun boleh tidur dengan sesiapa sahaja, melakukan apa jenis seks sesuka hati mereka. Tidak ada lagi anak dara atau teruna semasa berkahwin.

''Sebenarnya kita sedang melihat keruntuhan akhlak dalam masyarakat Barat. Sementara agama mereka melarang seks songsang, paderi mereka secara terbuka mengamalkan seks songsang. Mereka ditugaskan untuk mengahwini sepasang lelaki dan perempuan. Apakah maknanya apabila mereka menasihati pasangan itu supaya setia kepada masing-masing?'' katanya.

Sesungguhnya, beliau berkata, institusi perkahwinan dan kekeluargaan sudah luput dalam masyarakat Barat dan akibatnya ramai di kalangan mereka tidak tahu siapa bapa masing-masing.

''Kemungkinan besar akan berlaku perkahwinan atau hubungan seks antara adik dengan abang, kakak dengan adik, bapa dengan anak, anak dengan ibu.

''Mereka yang taksub dengan kebebasan akan berkata apa salahnya jika ini berlaku. Percayalah, masyarakat selepas ini akan dipenuhi dengan manusia yang cacat tubuh-badan, cacat akal fikiran dan besar kemungkinan aneka jenis penyakit baru akan menyerang masyarakat itu," katanya lagi.

Dalam blognya Dr. Mahathir turut mempersoalkan kewajaran masyarakat negara ini menerima segala-galanya yang dilakukan di Barat memandangkan budaya serta nilai hidup mereka telah runtuh disebabkan ketaksuban terhadap kebebasan.

sumber :Utusan

Monday, November 21, 2011

Perpecahan jadikan Melayu minoriti

Perpecahan jadikan Melayu minoriti



Perpecahan orang Melayu yang semakin membimbangkan ketika ini akan menyebabkan kaum itu bakal kehilangan lebih banyak hak dan akhirnya menjadi kaum minoriti di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, orang Melayu perlu sedar bahawa kekuatan yang dimiliki bukan sesuatu yang hanya dikira mengikut jumlah sebaliknya melalui perpaduan.

"Walaupun orang Melayu itu majoriti, jika terus hidup berpecah belah dan berpuak-puak, mereka akan menjadi kaum minoriti.

"Realitinya memang sudah terbukti pada masa sekarang. Orang Melayu berpecah kepada beberapa bahagian mengikut parti seperti UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), bahkan orang Melayu juga sudah ada di dalam DAP," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Daerah 2011 di sini hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Menteri kementerian tersebut, Datuk Hasan Malek dan Datuk Joseph Entulu Belaun; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad dan Pengarah Institut Kemajuan Desa (Infra), Mohd. Shafie Jusoh.

Mesyuarat dua kali setahun melibatkan pentadbir peringkat negeri dan daerah di seluruh negara itu bertujuan mencari penyelesaian masalah berkaitan pembangunan luar bandar.

Shafie berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang mengingatkan orang Melayu akan terus kehilangan kuasa sekiranya masalah perpaduan tidak diatasi.

Katanya, antara punca kepada masalah perpaduan yang semakin serius itu adalah sifat sesetengah pihak yang mementingkan diri demi mencapai matlamat politik dan kuasa.

"Perpecahan berlaku kerana ada yang ingin menjadi presiden parti, menjadi pemimpin dan ada juga berpaling tadah menjadi calon Bebas kerana tidak puas hati," katanya.

Shafie berkata, masalah perpecahan orang Melayu tidak akan berlaku sekiranya pemimpin berpegang pada konsep berpolitik untuk membantu rakyat.

Justeru, beliau menyeru orang Melayu supaya bersama-sama bangkit meningkatkan perpaduan demi manfaat yang lebih besar kepada rakyat di negara ini.

"Jika orang Melayu lebih bersatu-padu, manfaat itu bukan hanya akan dinikmati oleh mereka bahkan kepada semua bangsa.

"Kalau orang Melayu sedar bahawa kekuatan itu dapat dipadukan lagi, saya yakin kita akan menjadi negara lebih stabil," katanya.

sumber : Utusan

Debat dapat sokongan Dr. Mahathir

Debat dapat sokongan Dr. Mahathir


CUBAAN Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk memecahkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan mengadakan Debat Bahasa Melayu Tanpa Henti 211 Jam mulai 24 November hingga 2 Disember ini mendapat sokongan negarawan negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu dijangka akan menghadirkan diri sebagai peserta dalam acara yang akan berlangsung di Anjung Sri Budiman, UiTM Shah Alam, Selangor.

Ia juga bakal disertai beberapa artis terkenal tanah air dan kira-kira 1,300 pendebat yang terdiri daripada pelajar sekolah, kolej, politeknik, institut perguruan dan institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara.

Program debat ala perbahasan di Parlimen itu adalah kesinambungan daripada rekod terdahulu yang berjaya dicatatkan dalam MBR iaitu selama 100 jam, 10 minit dan 44 saat.

Rekod itu telah dicipta oleh pelajar UiTM pada 2006 dengan bantuan sebilangan pendebat dari luar. Program itu telah dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan UiTM.

Sebanyak 211 usul akan dikemukakan dalam usaha terbaru untuk memecah rekod yang berlangsung secara berterusan selama sembilan hari.

Antara usul-usul yang dicadangkan selaras dengan tema debat iaitu 'Transformasi dan Perpaduan Bangsa Dalam Mengangkat Martabat Bahasa Melayu' adalah ' Demi Kestabilan Negara, ISA Perlu Dipertahankan'.

Usul lain adalah Perlembagaan Kita Sudah Tidak Lagi Dijunjung; Rukun Negara Hanya Hafalan, Bukan Amalan; Ketidakseimbangan Etnik Dalam Sektor Swasta: Salah Mereka; Dialog Antara Agama Perkukuh Integrasi Nasional dan Pendidikan dan Perpaduan, Seiring Tidak Sehaluan.

Ia merupakan anjuran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM, Yayasan Oreator bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti Pendidikan UiTM.

Felo Impak UiTM, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, perdebatan itu diharap dapat memupuk kesedaran untuk mengutamakan fakta dalam melakukan transformasi perpaduan negara dan bukannya berlandaskan emosi semata-mata.

Tambah beliau, usaha untuk mencipta rekod MBR itu merupakan satu pendedahan awal kepada mahasiswa tentang tata susila dan adab perdebatan di Parlimen di samping memupuk budaya perpaduan berbilang kaum di negara ini.

''Usaha untuk meningkatkan soal perpaduan adalah penting bagi generasi muda untuk membentuk masyarakat yang berdisiplin pada masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Irmohizam menjelaskan, persediaan untuk mencipta rekod MBR itu berjalan lancar dengan segala persiapan dari segi logistik telah pun dibuat untuk memastikan keselesaan lebih 30,000 pengunjung.

''Kerancakan debat ini sudah mula dapat dirasai apabila ramai di kalangan kumpulan pelajar UiTM telah mendaftar untuk menjadi sebahagian daripada pendebat.

''Penyertaan dibuka kepada mereka yang berumur 15 tahun ke atas dengan setiap pasukan mempunyai lapan anggota iaitu tiga pencadang, tiga pembangkang dan dua calon simpanan.'' ujarnya.

Baru-baru ini, UiTM dan Utusan Melayu (M) Bhd. turut menjalin kerjasama bagi menjayakan program berkenaan dengan matlamat untuk memartabatkan kedudukan pendidikan orang Melayu, penyelidikan dan perkembangan bahasa Melayu.

Kerjasama itu dimeterai melalui satu memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi tersebut untuk memartabatkan kedudukan bangsa Melayu dan bumiputera di negara ini, termasuk meningkatkan kedudukan bahasa Melayu serta tulisan jawi.

Utusan diwakili Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin manakala UiTM pula diwakili Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.

Dalam pada itu, Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, akhbar berkenaan akan memberikan liputan penuh sepanjang acara itu berlangsung.

''Orang ramai juga boleh mengetahui perkembangan sepanjang acara itu secara terus dalam talian melalui laman web Utusan Online," ujarnya.

Tambah beliau, Kumpulan Utusan juga akan membuka gerai jualan buku dan majalah sepanjang acara itu berlangsung.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia ke UiTM baru-baru ini mendapati telah diadakan klinik debat yang dikendalikan oleh Penasihat program debat tanpa henti berkenaan, Noriza Hussin.

Klinik debat yang disertai pelajar kokurikulum satu dan pengucapan awam UiTM di Dewan Dedaru, Fakulti Pendidikan, UiTM Shah Alam turut memfokuskan teknik debat dan tanggungjawab setiap pendebat.

Bermula dengan tanggungjawab pencadang pertama disusuli dengan pencadang kedua dan pencadang ketiga, seterusnya peranan ketua pembangkang, timbalan ketua pembangkang dan pembangkang ketiga serta diakhiri dengan sesi penggulungan bagi kedua-dua pihak.

Selain itu, klinik perdebatan itu juga membantu peserta bagaimana untuk membina usul berdasarkan tema program itu.

Ia juga memberi fokus kepada kemahiran berkomunikasi khususnya dalam aspek kualiti nada dan penguasaan istilah-istilah bahasa Melayu di samping melatih peserta untuk berfikir secara kritikal.

sumber :Utusan

Isytihar perang sebagai jenayah

Isytihar perang sebagai jenayah


Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) George W. Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair “dibicarakan” di Kuala Lumpur. Mereka dibicarakan kerana dituduh melakukan jenayah perang terhadap Iraq pada 2003. Akibat jenayah itu dianggarkan 1.4 juta orang awam di Iraq terkorban, berjuta yang lain menderita krisis makanan dan kesihatan.

Walaupun kedua-dua pemimpin yang dianggap “paksi kejahatan dunia” itu tidak ada di Kuala Lumpur, perbicaraan diteruskan di hadapan tujuh panel hakim dan disaksikan oleh orang ramai.

Bush dan Tony Blair didapati melanggar piagam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka melancarkan perang atas Iraq untuk menumpaskan Presiden Saddam Hussein dengan alasan Iraq mempunyai loji senjata nuklear. Tetapi setelah didapati alasan itu tidak benar, PBB dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) gagal mengambil tindakan terhadap terhadap kedua-dua mereka.

Membicarakan dua bekas pemimpin Barat itu memperlihatkan kesungguhan Malaysia memperjuangkan keadilan kepada mangsa jenayah perang sekaligus keamanan dunia. Pada masa yang sama Malaysia mendesak dunia mengiktirafkan perang sebagai jenayah dan mereka yang melakukan jenayah ini mesti dihukum. Walaupun Perang Dunia Kedua telah berakhir lebih 60 tahun lalu, kuasa besar Barat mengenepikan badan dunia seperti PBB untuk melancarkan perang atas negara lain yang merdeka.

Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur dianjurkan oleh Yayasan Keamanan Global Perdana yang diusahakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Perbicaraan ini juga sindiran tajam kepada PBB dan ICC yang gagal melaksanakan tanggungjawab untuk memberi keadilan sekaligus memperjuangkan hak asasi manusia untuk hidup aman. Ini memperlihatkan dengan jelas bahawa kedua-dua bekas pemimpin itu mempengaruhi PBB dan ICC untuk tidak menghukum mereka.

Perbicaraan dijalankan di depan tujuh panel hakim yang terdiri daripada Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Dr. Zakaria Yatim, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tunku Sofiah Jewa, Profesor Salleh Buang, Alfred L. Webre, Profesor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi, profesor undang-undang UiTM dan Profesor Niloufer Bhagwat. Tujuannya untuk membuktikan Bush dan Tony Blair melakukan jenayah di Iraq yang akhirnya mengakibatkan krisis kemanusiaan yang teruk.

Walaupun dipadankan dari sebuah tribunal jenayah perang Vietnam 1967 anjuran kerajaan Sweden dan Denmark untuk mendakwa AS membunuh orang awam Vietnam, Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur lebih berwibawa. Ini kerana Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur menyediakan bukti-bukti yang sangat kukuh dan tidak boleh ditepis oleh tertuduh.

Antaranya rakaman pengakuan rakyat Iraq yang menjadi mangsa perang dan mereka yang didera di luar batas kemanusiaan semasa dalam tahanan. Pengumpulan bukti walaupun mengambil masa yang lama iaitu lebih dua tahun tetapi berhasil mengemukakan pertuduhan yang kukuh terhadap Bush dan Tony Blair. Inilah kali pertama sebuah tribunal membicarakan bekas pemimpin AS dan Britain itu selepas perang Iraq pada 2003.

Bagi tuduhan pertama, Bush dan Tony Blair dituduh melakukan jenayah dan menakluki sebuah negara yang merdeka, Iraq pada 19 Mac 2003. Ini menyalahi piagam PBB yang melarang serangan atas negara lain kecuali mempertahankan diri. Tuduhan kedua, Bush bersama lapan pegawai kanan dituduh melakukan penyeksaan dan mengeluarkan perintah eksklusif untuk mengecualikan semua konvensyen antarabangsa termasuk Konvensyen Geneva III 1949 terhadap penglibatan mereka di Afghanistan pada 2001 dan di Iraq pada 2003.

Serangan

Selain Bush dan Tony Blair, turut dituduh dalam Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur ialah bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney, bekas Setiausaha Pertahanan, Donald Rumsfeld, bekas Peguam Negara Alberto Gonzales, bekas Penasihat Jabatan Pertahanan, William Haynes dan profesor undang-undang, John Yoo. Kalau ada yang masih ingat, perang Iraq adalah ujian penting Rumsfeld mengendalikan serangan AS dengan teknologi pemusnah paling moden.

Seperti kata Dr. Mahathir, ini bukan mahkamah main-main kerana ada pendakwaan, ada tertuduh dan ada juga peguam untuk membela tertuduh. Dr. Mahathir memberi tanggungjawab kepada barisan panel hakim yang berwibawa dalam undang-undang antarabangsa untuk menghukum Bush, Tony Blain dan yang lain. Ini adalah keputusan berteraskan undang-undang bukan perasaan.

Usaha ini memperlihatkan walaupun Malaysia kecil tetapi tidak mengecilkan diri. Malaysia berusaha memperjuangkan keamanan sejagat dan sentiasa memerhati tingkah laku PBB yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan adil. Cara Malaysia perjuangkan keamanan bukan menggunakan senjata seperti AS. Tribunal ini juga seharusnya memalukan ICC yang gagal mendakwa Bush dan Tony Blair padahal asasnya cukup kukuh. Keputusan perbicaraan ini digunakan untuk mendesak dunia memulaukan kedua-dua bekas pemimpin ini dari sebarang kegiatan termasuk mengundang mereka memberi ceramah.

Hak asasi manusia telah dicabuli kuasa-kuasa besar Barat. Mangsa perang dinafikan mendapat keadilan sebaliknya didera melampaui kemanusiaan. Maka Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur mengambil tanggungjawab untuk memberi keadilan.

Pemimpin kuasa besar dunia tidak boleh memberikan apa alasan sekalipun untuk mewajarkan perang terhadap negara lain. Tidak ada istilah perang untuk keamanan seperti yang dislogankan oleh AS semasa menyerang Afghanistan. Sepuluh tahun AS memburu Osama Ben Laden dan berjuta yang menjadi korban. ternyata tidak ada istilah perang untuk keamanan. Lebih malang yang terkorban sama ada di Iraq atau Afghanistan sebahagian besarnya rakyat biasa.

Mana-mana pemimpin yang mewajarkan perang adalah menghalalkan pembunuhan beramai-ramai. Pembunuhan dan penyeksaan terhadap rakyat Palestin sejak tahun 1948 hingga kini oleh Israel disebabkan AS menghalalkan perang. Dalam perang Iraq, AS bukan sahaja menghalalkan pembunuhan dan penyeksaan malah menjadikan Iraq sebagai medan menguji teknologi senjata pembunuh termoden. Ini bukan rahsia lagi. Belanjanya ditanggung oleh kerajaan Iraq yang menjadi boneka AS sekarang ini. Ternyata “pertolongan” AS menjatuhkan Saddam bukanlah percuma. Ia dibayar dengan kehilangan nyawa, harta benda dan khazanah budaya berharga zaman kegemilangan Baghdad suatu waktu dulu.

Banyak pemimpin dunia yang terlibat dengan jenayah perang dibawa ke muka pengadilan. Bekas pemimpin rejim Khmer Rouge di Kemboja, Pol Pot yang membunuh lebih dua juta orang awam akhirnya dihadapkan ke muka pengadilan di negaranya. Tetapi ICC yang mempunyai pengaruh lebih besar tidak mendakwa Bush dan Tony Blair yang melakukan jenayah yang sama. Inilah jawapannya kenapa Malaysia memikul tanggungjawab dan menganjurkan Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur. Mercutanda keadilan dan kemanusiaan disuburkan dari negara ini.

sumber :Utusan

Pandangan Dr. M cabaran UMNO

Pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai peranan UMNO yang dilihat masih tidak mencukupi dalam membantu orang Melayu disifatkan sebagai satu cabaran kepada kaum itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemikiran Dr. Mahathir itu dilontarkan bagi melihat sama ada orang Melayu sendiri mampu untuk menyahut apa yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri itu mengenai orang Melayu dan peranan UMNO.

“Bagi saya apa yang dikatakan oleh Dr. Mahathir berhubung budaya cantas-mencantas dan peranan UMNO tidak cukup untuk membantu orang Melayu, bagi saya ia bukan satu perkara unik yang berlaku kepada UMNO sahaja.

“Malah saya tidak nafikan bahawa apa yang berlaku itu boleh membelenggu proses dalam kita merombak atau melakukan transformasi kepada parti, lebih-lebih lagi menentukan kelangsungan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

“Dan mengenali Tun (Dr. Mahathir), menjelang persidangan (Perhimpunan Agung UMNO), selalunya cabaran dan pemikiran sebegini dilontarkan untuk melihat sama ada kita mampu atau tidak menyahut cabaran beliau itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Amanat Presiden Kepada Pemuda dan Puteri UMNO 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.


sumber :Utusan

Orang Indonesia mengkagumi Dr Mahathir



Tahniah Tun!

Saturday, November 19, 2011

Perang bagus untuk perniagaan-Dr M

Tun Dr Mahathir Mohamad mengutuk pihak yang melancarkan perang dalam ucapannya yang penuh sindiran-sindiran tajam dengan tajuk ringkas "Perang" pada satu persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur.

"Perang bagus untuk perniagaan. Membunuh orang dengan senjata juga bagus untuk perniagaan. Maka, tolak keamanan. Bantah rundingan. Tolak timbang tara. Tolak mahkamah undang-undang. Pergi berperang. Bunuh, bunuh, bunuh. Itulah caranya untuk menyelesaikan pertikaian antara negara-negara," kata beliau dengan nada mengejek.

Selain membunuh orang, perang juga memufliskan negara, kata beliau.

"Tetapi perang tidak boleh dihapuskan atau dijadikan satu jenayah terhadap kemanusiaan. Ia merupakan suatu yang begitu menguntungkan dan inilah yang memberikan kuasa kepada negara-negara paling berkuasa," kata Dr Mahathir pada persidangan gerakan intifada negara Arab anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF).

Dr Mahathir, yang juga Presiden PGPF, berkata pembunuh beramai-ramai kini menamakan senjata perang mereka sebagai "angkatan pertahanan" tetapi jelas sekali ia tidak hanya digunakan untuk pertahanan semata-mata.

"Mereka dilengkapi untuk menyerang, menceroboh, mengejutkan dan menimbulkan rasa gerun terhadap mangsa-mangsa mereka," kata Dr Mahathir, dan menambah kata bahawa kerajaan dan industri membelanjakan sejumlah wang yang besar dalam rekaan senjata-senjata baru.

"Bahkan alat mainan kanak-kanak memberi idea untuk senjata pembunuh yang lebih baik. Kapal terbang mainan kawalan jauh bagi kanak-kanak membawa kepada idea untuk UAV - Pesawat Udara Tanpa Pemandu. Pada mulanya digunakan untuk mengambil gambar dari udara, tetapi kini ia dilengkapi dengan senapang, peluru berpandu dan bom," katanya.

Beliau berkata gas, kuman dan sinaran pelbagai jenis kini sedang dikaji dan potensi untuk membunuh manusia dikenal pasti dan dibangunkan.

"Kesemua penyelidikan, pembangunan, ujian dan pengeluaran menelan perbelanjaan besar sehingga melibatkan jumlah berbilion pada setiap tahun. Namun bagi mesin-mesin pembunuh ini, apa jua jumlah wang adalah berbaloi," kata beliau.

Dr Mahathir berkata ironinya adalah orang sama yang suka terhadap pembunuhan beramai-ramai adalah orang yang begitu kritikal terhadap hukuman mati mandatori yang dikenakan ke atas mereka yang memiliki dadah serta pembunuh.

- Bernama

Thursday, November 10, 2011

Contohi sifat malu orang Jepun-Dr M

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat Malaysia harus meniru sifat malu orang Jepun yang berjaya memartabatkan bangsa itu sebagai antara tamadun yang paling berjaya dalam dunia moden.

Katanya, adanya sifat itu telah membentuk orang Jepun mengadaptasi budaya kerja yang tinggi di mana kegagalan langsung tidak boleh diterima hingga membuatkan mereka berasa malu.

“Perasaan malu ini cukup kuat sehinggakan dia sanggup bunuh diri selepas kalah perang di mana ratusan ribu tenteranya bunuh diri kerana gagal mempertahankan empayar mereka (semasa perang dunia kedua),” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika menjawab soalan editor Bernama, Mahrus Ibrahim yang bertanya tentang tamadun dunia moden yang berjaya semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan Syarahan Perdana Budaya di sini hari ini.

Turut hadir Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Pengurus Besar Bernama, Datuk Hasnul Hassan.

Syarahan itu sempena dengan pelancaran buku bergambar, Che Det yang mengandungi lebih 470 keping gambar hasil usaha Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

“Orang Jepun apabila diberi tugas akan cuba buat sebaik mungkin kerana kalau buruk, mereka akan berasa malu.

“Perasaan malu perlu ada dalam masyarakat kita juga, kalau kita tidak capai kejayaan 100 peratus, kita sepatutnya berasa malu,” katanya.

Beliau berkata, pada hari ini pertembungan tamadun antara Barat dan Timur sedang berlaku dan Malaysia sedang membentuk tamadunnya sendiri tetapi dengan tidak meninggalkan nilai-nilai mulia dalam diri seseorang individu serta masyarakat.

Dr. Mahathir berkata, masyarakat Barat mungkin melihat masyarakat Timur sebagai kurang bertamadun seperti di Malaysia contohnya masih mengenakan hukuman gantung sampai mati ke atas pembunuh dan pengedar dadah.

Sebaliknya, kata beliau, bangsa yang menganggap diri mereka bertamadun juga melakukan pembunuhan beramai-ramai iaitu dengan melancarkan perang.

“Walaupun tamadun mereka tinggi tetapi mereka tidak segan-segan melancarkan peperangan, bagi mereka dalam peperangan kita boleh bunuh kerana ia tidak menjadi jenayah. Bagi kita pula, membunuh seorang pembunuh adalah satu cara untuk mencegah supaya pembunuhan tidak meluas dalam masyarakat kita,” katanya.

Dr. Mahathir juga berkata, Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk maju kerana keunikan budayanya.

Katanya, bangsa bertamadun ialah bangsa yang mampu mengawal diri daripada nafsu untuk melakukan sesuatu yang salah seperti menolak rasuah.

“Jika masyarakat mula menganggap rasuah sebagai perkara biasa, percayalah kita (Malaysia) tidak akan maju,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, rasuah besar padahnya hingga menyebabkan kos meningkat dan boleh membawa bencana misalnya bangunan yang dibina boleh runtuh kerana menggunakan bahan mutu rendah kerana perbuatan rasuah.

“Jika amalan rasuah menjadi budaya di kalangan kakitangan kerajaan dan kemudian menular di kalangan orang politik, negara ini akan musnah jika pemimpin dipilih melalui amalan rasuah.”

“Kerajaan mengamalkan rasuah tidak mungkin dapat memajukan negara,” katanya.

Beliau juga memberitahu, asas kepada demokrasi ialah memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan tetapi barat telah menokok tambah perkara ini dengan mewujudkan kebebasan bersuara.

“Malaysia tidak mampu mengikut acuan kebebasan bersuara ala Barat kerana wujudnya kepelbagaian kaum di negara ini dan tidak mustahil kebebasan bersuara ini akan disalah guna sehingga menimbulkan kekacauan.”

“Alasan kebebasan bersuara, satu hari kalau tidak dibendung, kita akan hidup dalam negara yang tegang suasana politiknya,” kata Dr. Mahathir.

“Umpamanya demonstrasi, ini kononnya adalah hak kebebasan bersuara, memang ada hak untuk demonstrasi tetapi kalau sudah dibuat besar-besaran, ini akan mengganggu pihak lain umpamanya peniaga,” katanya.

Katanya, adakah kerajaan akan menjadi lebih adil apabila memberi kebebasan kepada orang yang mahu membangkitkan kebencian atau pun kebebasan kepada peniaga yang mahu mencari makan.

sumber : Utusan

Pelancaran buku Che Det





'Che Det' dilancarkan secara rasmi oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 10 November, 2011 di Hotel Palace of Golden Horses, Seri Kembangan.

Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad, ialah perdana menteri Malaysia keempat dan presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang kelima dari 1981 hingga 2003.

Sepanjang perkhidmatannya, Tun Dr Mahathir diberi pengiktirafan yang tidak ternilai sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa. Nama beliau terukir sebagai Negarawan Ulung, Bapa Pemodenan Malaysia, Jurujual No. 1 Malaysia dan Wira Dunia Ketiga.

Buku ini diterbitkan bagi menghargai jasa dan sumbangan besar Tun Dr Mahathir kepada rakyat dan negara.

sumber : Bernama

Wednesday, November 9, 2011

Hasrat DAP tidak wajar – Tun M



Pelajar Jurusan Sains Komputer, Shahizul Muhamad mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mahathir Mohamad selepas menerima tandatangan di Dewan Universiti Putra Malaysia, Serdang,


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan hasrat DAP untuk mengecilkan jumlah penjawat awam dengan memecat mereka merupakan satu langkah yang tidak wajar.

Namun katanya, DAP perlu menjelaskan terlebih dahulu kaedah yang akan digunakan mereka bagi memastikan kakitangan awam itu mendapat pembelaan sewajarnya.

Katanya, beliau juga pernah mengurangkan jumlah kakitangan kerajaan semasa pentadbirannya, namun penjawat awam itu diserapkan ke dalam syarikat berkaitan kerajaan.

‘‘Bila mereka bekerja dengan syarikat, syarikat itu yang membayar gaji mereka, sekali gus kuranglah perbelanjaan kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program dari kaca mata Tun Dr. Mahathir Dilema Ekonomi Bangsa Malaysia di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Dr. Mahathir dalam pada itu menyifatkan jumlah kakitangan awam kira-kira 1.3 juta ketika ini adalah wajar dan seimbang dengan jumlah penduduk Malaysia yang kini berjumlah 28 juta.

Beliau berkata, untuk mentadbir urus negara yang mempunyai penduduk sebanyak itu memerlukan kerajaan untuk meningkatkan jumlah kakitangannya.

Katanya, memberi contoh, kegiatan mencuri hasil kayu di Pulau Langkawi berlaku oleh kerana kurangnya penguatkuasaan berikutan jumlah kakitangan pegawai perhutanan kurang.

‘‘Dahulu masa saya jadi Perdana Menteri, rakyat Malaysia hanya sebanyak 13 juta namun semasa saya berhenti, jumlah itu meningkat sehingga 26 juta. Jadi, takkan kita mahu mentadbir 26 juta rakyat tanpa memerlukan banyak kakitangan,” katanya.

Sumber :Utusan

Perdana Global Peace Foundation




President
Tun Dr. Mahathir Mohamad

Honourable Advisers
Tun Dr. Siti Hasmah Hj. Mohd Ali
Dato’ Mukhriz Mahathir

Chairman
Tan Sri Norian Mai

Deputy Chairman
Tan Sri Nik Mohamed Nik Yaacob

Executive Director
Dr. Zulaiha Mohamed Ismail

Treasurer
Tan Sri Dato’ Sri Hj Abdul Halil Hj Abd Mutalif

Board of Trustees
General Tan Sri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Rtd.)
Tan Sri Dato’ Sri Dr. Samsudin Hitam
Tan Sri Dato’ Ahmad Fuzi Abdul Razak
Tengku Tan Sri Dr. Mahaleel Tengku Ariff
Datuk Badariah Arshad
Datuk Ahmad Abd. Talib

source :

http://www.perdana4peace.org

War Is A Crime: Exhibition, Conference & Tribunal




Brief details of the programmes are as follows:

a.EXHIBITION: “WAR IS A CRIME”
18-27 November 2011
Location – PGPF No. 88, Jalan Perdana, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur

b. INTERNATIONAL CONFERENCE: “THE ARAB UPRISING”
18 November 2011 (MORNING)

c. KUALA LUMPUR WAR CRIMES TRIBUNAL
Organised by Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War (KLFCW)
19-22 November 2011
Location – PGPF No. 88, Jalan Perdana, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur


source : http://www.perdana4peace.org

Friday, November 4, 2011

Sokong bukan tidak mahu daulat Bahasa Melayu


Menyokong Penga­jaran dan pembelajaran Sains dan Matematik Dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bukan bermakna seseorang itu tidak setia atau enggan mendaulatkan Bahasa Melayu, sebaliknya bagi memenuhi keperluan semasa perkembangan sains.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengajaran sains dan bahan penyelidikan mengenainya tidak mampu diterokai dalam bahasa ibunda kerana ia lebih banyak dalam bahasa asing termasuk Inggeris.

Beliau berkata, Malaysia juga tidak tersenarai dalam kedudukan teratas dari segi pencapaian sains dan hasil penyelidikan berbanding negara lain di peringkat antarabangsa.

“Jadi untuk terus berdaya saing dengan negara lain di peringkat global, PPSMI wajar dikekalkan untuk kebaikan rakyat Malaysia untuk terus berjaya dalam penyelidikan sains yang semakin berkembang dengan begitu pesat sejak kebelakangan ini.

“Mata pelajaran lain boleh kekal atau terus diajar dalam Bahasa Melayu,” katanya kepada media selepas merasmikan Hotel Four Points dan sambu tan 20 tahun Sheraton Langkawi Beach Resorts di sini, semalam.

Turut hadir Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Penasihat Kumpulan Global Upline, Tan Sri Ting Pek Khing dan isteri serta Pengerusi dan Presiden Starwood Asia Pasifik, Miguel Ko.

Dr Mahathir diminta mengulas gesaan sesetengah pihak yang meminta agar PPSMI dikekalkan dalam keadaan sekarang manakala pejuang bahasa mahu ia dimansuhkan dan kembali diajar dalam Bahasa Melayu.

Ditanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh mengubah keputusan kerajaan atau Kementerian pelajaran, Dr Mahathir ia boleh dilakukan demi kebaikan rakyat.

“Bukan sahaja Perdana Menteri tetapi setiap orang atau rakyat boleh mengubah keputusan itu,” katanya.

Mengenai pembangunan Lang-kawi Dr Mahathir berkata, walaupun makin ramai pelancong yang datang, namun masih banyak produk pelancongan yang boleh diperkenalkan sebagai tarikan baru.

“Saya nampak Langkawi perlu mempunyai satu lagi pelabuhan kerana permintaannya tinggi dan kemudahan yang ada tidak dapat menampung keperluan dalam jangka panjang.

“Kita juga tidak meneroka pelbagai kemudahan dan peluang yang ada di gunung atau kawasan tinggi. Ramai yang suka dengan aktiviti lasak seperti mountain bike. Kita boleh anjur pertandingan peringkat antarabangsa kerana ramai yang akan menyertainya.

Mengenai cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Tanah Besar, beliau berkata, cadangan itu tidak wajar kerana ia menyebabkan pe­ngunjung kurang menginap di Langkawi sebaliknya hanya datang dan pulang pada hari yang sama.

Sumber :Sinar Harian