Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat Malaysia harus meniru sifat malu orang Jepun yang berjaya memartabatkan bangsa itu sebagai antara tamadun yang paling berjaya dalam dunia moden.
Katanya, adanya sifat itu telah membentuk orang Jepun mengadaptasi budaya kerja yang tinggi di mana kegagalan langsung tidak boleh diterima hingga membuatkan mereka berasa malu.
“Perasaan malu ini cukup kuat sehinggakan dia sanggup bunuh diri selepas kalah perang di mana ratusan ribu tenteranya bunuh diri kerana gagal mempertahankan empayar mereka (semasa perang dunia kedua),” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika menjawab soalan editor Bernama, Mahrus Ibrahim yang bertanya tentang tamadun dunia moden yang berjaya semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan Syarahan Perdana Budaya di sini hari ini.
Turut hadir Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Pengurus Besar Bernama, Datuk Hasnul Hassan.
Syarahan itu sempena dengan pelancaran buku bergambar, Che Det yang mengandungi lebih 470 keping gambar hasil usaha Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
“Orang Jepun apabila diberi tugas akan cuba buat sebaik mungkin kerana kalau buruk, mereka akan berasa malu.
“Perasaan malu perlu ada dalam masyarakat kita juga, kalau kita tidak capai kejayaan 100 peratus, kita sepatutnya berasa malu,” katanya.
Beliau berkata, pada hari ini pertembungan tamadun antara Barat dan Timur sedang berlaku dan Malaysia sedang membentuk tamadunnya sendiri tetapi dengan tidak meninggalkan nilai-nilai mulia dalam diri seseorang individu serta masyarakat.
Dr. Mahathir berkata, masyarakat Barat mungkin melihat masyarakat Timur sebagai kurang bertamadun seperti di Malaysia contohnya masih mengenakan hukuman gantung sampai mati ke atas pembunuh dan pengedar dadah.
Sebaliknya, kata beliau, bangsa yang menganggap diri mereka bertamadun juga melakukan pembunuhan beramai-ramai iaitu dengan melancarkan perang.
“Walaupun tamadun mereka tinggi tetapi mereka tidak segan-segan melancarkan peperangan, bagi mereka dalam peperangan kita boleh bunuh kerana ia tidak menjadi jenayah. Bagi kita pula, membunuh seorang pembunuh adalah satu cara untuk mencegah supaya pembunuhan tidak meluas dalam masyarakat kita,” katanya.
Dr. Mahathir juga berkata, Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk maju kerana keunikan budayanya.
Katanya, bangsa bertamadun ialah bangsa yang mampu mengawal diri daripada nafsu untuk melakukan sesuatu yang salah seperti menolak rasuah.
“Jika masyarakat mula menganggap rasuah sebagai perkara biasa, percayalah kita (Malaysia) tidak akan maju,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, rasuah besar padahnya hingga menyebabkan kos meningkat dan boleh membawa bencana misalnya bangunan yang dibina boleh runtuh kerana menggunakan bahan mutu rendah kerana perbuatan rasuah.
“Jika amalan rasuah menjadi budaya di kalangan kakitangan kerajaan dan kemudian menular di kalangan orang politik, negara ini akan musnah jika pemimpin dipilih melalui amalan rasuah.”
“Kerajaan mengamalkan rasuah tidak mungkin dapat memajukan negara,” katanya.
Beliau juga memberitahu, asas kepada demokrasi ialah memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan tetapi barat telah menokok tambah perkara ini dengan mewujudkan kebebasan bersuara.
“Malaysia tidak mampu mengikut acuan kebebasan bersuara ala Barat kerana wujudnya kepelbagaian kaum di negara ini dan tidak mustahil kebebasan bersuara ini akan disalah guna sehingga menimbulkan kekacauan.”
“Alasan kebebasan bersuara, satu hari kalau tidak dibendung, kita akan hidup dalam negara yang tegang suasana politiknya,” kata Dr. Mahathir.
“Umpamanya demonstrasi, ini kononnya adalah hak kebebasan bersuara, memang ada hak untuk demonstrasi tetapi kalau sudah dibuat besar-besaran, ini akan mengganggu pihak lain umpamanya peniaga,” katanya.
Katanya, adakah kerajaan akan menjadi lebih adil apabila memberi kebebasan kepada orang yang mahu membangkitkan kebencian atau pun kebebasan kepada peniaga yang mahu mencari makan.
sumber : Utusan
No comments:
Post a Comment