Monday, November 21, 2011

Perpecahan jadikan Melayu minoriti

Perpecahan jadikan Melayu minoriti



Perpecahan orang Melayu yang semakin membimbangkan ketika ini akan menyebabkan kaum itu bakal kehilangan lebih banyak hak dan akhirnya menjadi kaum minoriti di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, orang Melayu perlu sedar bahawa kekuatan yang dimiliki bukan sesuatu yang hanya dikira mengikut jumlah sebaliknya melalui perpaduan.

"Walaupun orang Melayu itu majoriti, jika terus hidup berpecah belah dan berpuak-puak, mereka akan menjadi kaum minoriti.

"Realitinya memang sudah terbukti pada masa sekarang. Orang Melayu berpecah kepada beberapa bahagian mengikut parti seperti UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), bahkan orang Melayu juga sudah ada di dalam DAP," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Penyelarasan Pembangunan Daerah 2011 di sini hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Menteri kementerian tersebut, Datuk Hasan Malek dan Datuk Joseph Entulu Belaun; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad dan Pengarah Institut Kemajuan Desa (Infra), Mohd. Shafie Jusoh.

Mesyuarat dua kali setahun melibatkan pentadbir peringkat negeri dan daerah di seluruh negara itu bertujuan mencari penyelesaian masalah berkaitan pembangunan luar bandar.

Shafie berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang mengingatkan orang Melayu akan terus kehilangan kuasa sekiranya masalah perpaduan tidak diatasi.

Katanya, antara punca kepada masalah perpaduan yang semakin serius itu adalah sifat sesetengah pihak yang mementingkan diri demi mencapai matlamat politik dan kuasa.

"Perpecahan berlaku kerana ada yang ingin menjadi presiden parti, menjadi pemimpin dan ada juga berpaling tadah menjadi calon Bebas kerana tidak puas hati," katanya.

Shafie berkata, masalah perpecahan orang Melayu tidak akan berlaku sekiranya pemimpin berpegang pada konsep berpolitik untuk membantu rakyat.

Justeru, beliau menyeru orang Melayu supaya bersama-sama bangkit meningkatkan perpaduan demi manfaat yang lebih besar kepada rakyat di negara ini.

"Jika orang Melayu lebih bersatu-padu, manfaat itu bukan hanya akan dinikmati oleh mereka bahkan kepada semua bangsa.

"Kalau orang Melayu sedar bahawa kekuatan itu dapat dipadukan lagi, saya yakin kita akan menjadi negara lebih stabil," katanya.

sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment