Monday, November 28, 2011

Dr M: Malaysia tak akan dijangkiti Arab Spring

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kemungkinan besar Arab Spring tidak akan merebak ke Malaysia kerana kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah bekerja keras dalam memenuhi tuntutan rakyat.

"Jika kerajaan tidak beri perhatian kepada masalah-masalah rakyat, maka rakyat akan memberontak.

"Tetapi Malaysia sejak kemerdekaan, telah bekerja keras untuk mewujudkan peluang kepada rakyat ... Saya tidak nampak bagaimana Arab Spring boleh menjangkiti kita," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas mengenai prestasi Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju bahawa Datuk Seri Najib Razak gigih berusaha tetapi menghadapi satu tugas yang sukar berbanding zamannya.

"Dia tidak mempunyai majoriti yang saya miliki, (saya ada) majoriti untuk mengendalikan ramai pembangkang, beliau mempunyai majoriti yang kecil jadi ini adalah bahagian yang sukar."

Sambil memberi amaran bahawa amalan rasuah akan menjadi penghalang kepada program transformasi kerajaan, Dr Mahathir berkata beiau berpuas hati dengan kemajuan transformasi Najib.

"Jika ia boleh berjaya 100 peratus, itu soalan lain. Rasuah tidak mudah untuk dibendung, rasuah terdapat di mana-mana sahaja.

"Jika ia adalah rasuah di bawah meja, maka ini lebih mudah untuk dibendung, tetapi jika rasuah adalah di atas meja dan telah menjadi satu budaya, maka ia lebih sukar ditangani," katanya.


Walau bagaimanapun, Dr Mahathir berkata bahawa Malaysia masih belum terjerumus ke satu peringkat yang membimbangkan.

Sambil memuji tindakan pantas reaksi kerajaan terhadap bantahan ke atas Akta Perhimpunan Aman, beliau berkata terpulang kepada rakyat untuk mentafsirkan sama ada kerajaan "tunduk” ataupun "sensitif" terhadap keperluan rakyat.

"Saya fikir kerajaan mendengar suara rakyat dan bertindak dengan cepat. Semasa zaman saya, saya tidak mempedulikannya langsung,” katanya sinis.

Empat hari selepas dibentangkan di Dewan Rakyat, kabinet memutuskan rang undang-undan itu perlu dipinda tetapi menegaskan perhimpunan jalanan tetap diharamkan.

sumber : Malaysiakini

No comments:

Post a Comment