Isytihar perang sebagai jenayah
Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) George W. Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair “dibicarakan” di Kuala Lumpur. Mereka dibicarakan kerana dituduh melakukan jenayah perang terhadap Iraq pada 2003. Akibat jenayah itu dianggarkan 1.4 juta orang awam di Iraq terkorban, berjuta yang lain menderita krisis makanan dan kesihatan.
Walaupun kedua-dua pemimpin yang dianggap “paksi kejahatan dunia” itu tidak ada di Kuala Lumpur, perbicaraan diteruskan di hadapan tujuh panel hakim dan disaksikan oleh orang ramai.
Bush dan Tony Blair didapati melanggar piagam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Mereka melancarkan perang atas Iraq untuk menumpaskan Presiden Saddam Hussein dengan alasan Iraq mempunyai loji senjata nuklear. Tetapi setelah didapati alasan itu tidak benar, PBB dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) gagal mengambil tindakan terhadap terhadap kedua-dua mereka.
Membicarakan dua bekas pemimpin Barat itu memperlihatkan kesungguhan Malaysia memperjuangkan keadilan kepada mangsa jenayah perang sekaligus keamanan dunia. Pada masa yang sama Malaysia mendesak dunia mengiktirafkan perang sebagai jenayah dan mereka yang melakukan jenayah ini mesti dihukum. Walaupun Perang Dunia Kedua telah berakhir lebih 60 tahun lalu, kuasa besar Barat mengenepikan badan dunia seperti PBB untuk melancarkan perang atas negara lain yang merdeka.
Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur dianjurkan oleh Yayasan Keamanan Global Perdana yang diusahakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Perbicaraan ini juga sindiran tajam kepada PBB dan ICC yang gagal melaksanakan tanggungjawab untuk memberi keadilan sekaligus memperjuangkan hak asasi manusia untuk hidup aman. Ini memperlihatkan dengan jelas bahawa kedua-dua bekas pemimpin itu mempengaruhi PBB dan ICC untuk tidak menghukum mereka.
Perbicaraan dijalankan di depan tujuh panel hakim yang terdiri daripada Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Dr. Zakaria Yatim, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tunku Sofiah Jewa, Profesor Salleh Buang, Alfred L. Webre, Profesor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi, profesor undang-undang UiTM dan Profesor Niloufer Bhagwat. Tujuannya untuk membuktikan Bush dan Tony Blair melakukan jenayah di Iraq yang akhirnya mengakibatkan krisis kemanusiaan yang teruk.
Walaupun dipadankan dari sebuah tribunal jenayah perang Vietnam 1967 anjuran kerajaan Sweden dan Denmark untuk mendakwa AS membunuh orang awam Vietnam, Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur lebih berwibawa. Ini kerana Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur menyediakan bukti-bukti yang sangat kukuh dan tidak boleh ditepis oleh tertuduh.
Antaranya rakaman pengakuan rakyat Iraq yang menjadi mangsa perang dan mereka yang didera di luar batas kemanusiaan semasa dalam tahanan. Pengumpulan bukti walaupun mengambil masa yang lama iaitu lebih dua tahun tetapi berhasil mengemukakan pertuduhan yang kukuh terhadap Bush dan Tony Blair. Inilah kali pertama sebuah tribunal membicarakan bekas pemimpin AS dan Britain itu selepas perang Iraq pada 2003.
Bagi tuduhan pertama, Bush dan Tony Blair dituduh melakukan jenayah dan menakluki sebuah negara yang merdeka, Iraq pada 19 Mac 2003. Ini menyalahi piagam PBB yang melarang serangan atas negara lain kecuali mempertahankan diri. Tuduhan kedua, Bush bersama lapan pegawai kanan dituduh melakukan penyeksaan dan mengeluarkan perintah eksklusif untuk mengecualikan semua konvensyen antarabangsa termasuk Konvensyen Geneva III 1949 terhadap penglibatan mereka di Afghanistan pada 2001 dan di Iraq pada 2003.
Serangan
Selain Bush dan Tony Blair, turut dituduh dalam Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur ialah bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney, bekas Setiausaha Pertahanan, Donald Rumsfeld, bekas Peguam Negara Alberto Gonzales, bekas Penasihat Jabatan Pertahanan, William Haynes dan profesor undang-undang, John Yoo. Kalau ada yang masih ingat, perang Iraq adalah ujian penting Rumsfeld mengendalikan serangan AS dengan teknologi pemusnah paling moden.
Seperti kata Dr. Mahathir, ini bukan mahkamah main-main kerana ada pendakwaan, ada tertuduh dan ada juga peguam untuk membela tertuduh. Dr. Mahathir memberi tanggungjawab kepada barisan panel hakim yang berwibawa dalam undang-undang antarabangsa untuk menghukum Bush, Tony Blain dan yang lain. Ini adalah keputusan berteraskan undang-undang bukan perasaan.
Usaha ini memperlihatkan walaupun Malaysia kecil tetapi tidak mengecilkan diri. Malaysia berusaha memperjuangkan keamanan sejagat dan sentiasa memerhati tingkah laku PBB yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan adil. Cara Malaysia perjuangkan keamanan bukan menggunakan senjata seperti AS. Tribunal ini juga seharusnya memalukan ICC yang gagal mendakwa Bush dan Tony Blair padahal asasnya cukup kukuh. Keputusan perbicaraan ini digunakan untuk mendesak dunia memulaukan kedua-dua bekas pemimpin ini dari sebarang kegiatan termasuk mengundang mereka memberi ceramah.
Hak asasi manusia telah dicabuli kuasa-kuasa besar Barat. Mangsa perang dinafikan mendapat keadilan sebaliknya didera melampaui kemanusiaan. Maka Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur mengambil tanggungjawab untuk memberi keadilan.
Pemimpin kuasa besar dunia tidak boleh memberikan apa alasan sekalipun untuk mewajarkan perang terhadap negara lain. Tidak ada istilah perang untuk keamanan seperti yang dislogankan oleh AS semasa menyerang Afghanistan. Sepuluh tahun AS memburu Osama Ben Laden dan berjuta yang menjadi korban. ternyata tidak ada istilah perang untuk keamanan. Lebih malang yang terkorban sama ada di Iraq atau Afghanistan sebahagian besarnya rakyat biasa.
Mana-mana pemimpin yang mewajarkan perang adalah menghalalkan pembunuhan beramai-ramai. Pembunuhan dan penyeksaan terhadap rakyat Palestin sejak tahun 1948 hingga kini oleh Israel disebabkan AS menghalalkan perang. Dalam perang Iraq, AS bukan sahaja menghalalkan pembunuhan dan penyeksaan malah menjadikan Iraq sebagai medan menguji teknologi senjata pembunuh termoden. Ini bukan rahsia lagi. Belanjanya ditanggung oleh kerajaan Iraq yang menjadi boneka AS sekarang ini. Ternyata “pertolongan” AS menjatuhkan Saddam bukanlah percuma. Ia dibayar dengan kehilangan nyawa, harta benda dan khazanah budaya berharga zaman kegemilangan Baghdad suatu waktu dulu.
Banyak pemimpin dunia yang terlibat dengan jenayah perang dibawa ke muka pengadilan. Bekas pemimpin rejim Khmer Rouge di Kemboja, Pol Pot yang membunuh lebih dua juta orang awam akhirnya dihadapkan ke muka pengadilan di negaranya. Tetapi ICC yang mempunyai pengaruh lebih besar tidak mendakwa Bush dan Tony Blair yang melakukan jenayah yang sama. Inilah jawapannya kenapa Malaysia memikul tanggungjawab dan menganjurkan Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur. Mercutanda keadilan dan kemanusiaan disuburkan dari negara ini.
sumber :Utusan
No comments:
Post a Comment