Friday, November 4, 2011

Sokong bukan tidak mahu daulat Bahasa Melayu


Menyokong Penga­jaran dan pembelajaran Sains dan Matematik Dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bukan bermakna seseorang itu tidak setia atau enggan mendaulatkan Bahasa Melayu, sebaliknya bagi memenuhi keperluan semasa perkembangan sains.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengajaran sains dan bahan penyelidikan mengenainya tidak mampu diterokai dalam bahasa ibunda kerana ia lebih banyak dalam bahasa asing termasuk Inggeris.

Beliau berkata, Malaysia juga tidak tersenarai dalam kedudukan teratas dari segi pencapaian sains dan hasil penyelidikan berbanding negara lain di peringkat antarabangsa.

“Jadi untuk terus berdaya saing dengan negara lain di peringkat global, PPSMI wajar dikekalkan untuk kebaikan rakyat Malaysia untuk terus berjaya dalam penyelidikan sains yang semakin berkembang dengan begitu pesat sejak kebelakangan ini.

“Mata pelajaran lain boleh kekal atau terus diajar dalam Bahasa Melayu,” katanya kepada media selepas merasmikan Hotel Four Points dan sambu tan 20 tahun Sheraton Langkawi Beach Resorts di sini, semalam.

Turut hadir Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Penasihat Kumpulan Global Upline, Tan Sri Ting Pek Khing dan isteri serta Pengerusi dan Presiden Starwood Asia Pasifik, Miguel Ko.

Dr Mahathir diminta mengulas gesaan sesetengah pihak yang meminta agar PPSMI dikekalkan dalam keadaan sekarang manakala pejuang bahasa mahu ia dimansuhkan dan kembali diajar dalam Bahasa Melayu.

Ditanya sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh mengubah keputusan kerajaan atau Kementerian pelajaran, Dr Mahathir ia boleh dilakukan demi kebaikan rakyat.

“Bukan sahaja Perdana Menteri tetapi setiap orang atau rakyat boleh mengubah keputusan itu,” katanya.

Mengenai pembangunan Lang-kawi Dr Mahathir berkata, walaupun makin ramai pelancong yang datang, namun masih banyak produk pelancongan yang boleh diperkenalkan sebagai tarikan baru.

“Saya nampak Langkawi perlu mempunyai satu lagi pelabuhan kerana permintaannya tinggi dan kemudahan yang ada tidak dapat menampung keperluan dalam jangka panjang.

“Kita juga tidak meneroka pelbagai kemudahan dan peluang yang ada di gunung atau kawasan tinggi. Ramai yang suka dengan aktiviti lasak seperti mountain bike. Kita boleh anjur pertandingan peringkat antarabangsa kerana ramai yang akan menyertainya.

Mengenai cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Tanah Besar, beliau berkata, cadangan itu tidak wajar kerana ia menyebabkan pe­ngunjung kurang menginap di Langkawi sebaliknya hanya datang dan pulang pada hari yang sama.

Sumber :Sinar Harian

No comments:

Post a Comment