Wednesday, January 23, 2013

Jangan Banyak Berhutang-Datok Mokhzani Mahathir


Oleh Muhammad Azli Shukri

(Wawancara ini telah disiarkan di dalam Majalah Dewan Ekonomi edisi Januari 2008) 


Bolehkah Dato’ terangkan secara ringkas sejarah penubuhan Kencana Petroleum?


Kencana Petroleum bertapak sejak 25 tahun yang lalu. Encik Chong Hin Loon merupakan individu yang bertanggungjawab dalam penubuhan syarikat ini. Sewaktu itu, Kencana Petroleum dikenal sebagai Syarikat HL Engineering yang menawarkan perkhidmatan pembuatan. Sekitar tahun 2001, Hin Loon mula mengorak langkah dengan membeli tanah di Pelabuhan Industri di Lumut, Perak yang bertujuan memajukan dan mengembangkan perniagaannya.


Ketika itu, perniagaan yang saya terajui mengalami masalah dan selaku pemegang saham utama syarikat, saya menjual semua saham di Tongkah Holdings dan Pantai Medicare Centre. Keadaan yang berlaku telah merunsingkan fikiran saya. Saya berusaha memikirkan jalan yang terbaik untuk meneruskan kehidupan dan perniagaan yang saya inginkan. Sewaktu itu, Encik Hin Loon sedang mencari rakan niaga bumiputera yang berkemahiran dalam bidang petroleum untuk bersama-sama mengusahakan perniagaan tersebut.


Melalui beberapa rakan rapat, saya diperkenalkan dengan Encik Hin Loon. Saya yang berkelulusan Sarjana Kejuruteraan Petroleum bersetuju untuk bekerjasama dengan beliau. Memang menjadi satu kebetulan. Hal ini demikian kerana, sejak tahun 1989, semasa saya mengambil alih sesebuah syarikat, pastinya syarikat tersebut bukannya datang daripada bumiputera dan secara kebetulan juga berlaku dalam syarikat ini. 


Penguasaan saham sebanyak 60 peratus dalam syarikat Kencana telah membawa saya sebagai pemegang syer terbesar dalam syarikat tersebut. Kencana Petroleum mula mengembangkan syarikatnya pada tahun 2001. Ketika itu, industri petroleum tidak secerah kini, harga minyak ketika itu sekitar AS$22 setong. Atas usaha dan keyakinan yang tinggi untuk berjaya dalam perniagaan serta semangat yang cekal dan gigih, akhirnya kami berjaya diiktiraf oleh Petronas sebagai sebuah syarikat Minor mengikut perlesenan Petronas.


Dengan lesen tersebut, kami diberi kepercayaan sepenuhnya oleh syarikat Murphy Oil yang berpangkalan di luar negara untuk membina struktur pelantar laut. Hal ini menjadi bukti yang menunjukkan kami mampu dan berkebolehan dari segi teknikal, kepakaran dan kemahiran pekerja serta kewangan yang mencukupi untuk mengendalikan projek besar.


Semenjak itu, kami sentiasa diberi kepercayaan oleh Petronas untuk mengendalikan projek yang besar di dalam dan luar negara. Peluang perniagaan sentiasa kami terokai, antaranya termasuklah mengikut Petronas ke Sudan. Walaupun ketika itu kami mengalami pengalaman yang sukar serta tidak begitu mendatangkan keuntungan kepada syarikat, kami berbangga kerana mampu membina satu projek besar yang merupakan satu pengalaman yang sangat berharga.


Kepercayaan dan pengalaman yang sedia ada telah menjadikan Kencana Petroleum antara syarikat pilihan ketika ini. Apakah cabaran utama yang perlu dihadapi dalam industri ini?


Cabaran utama bukanlah datang melalui persaingan antara syarikat semata-mata. Memanglah persaingan merupakan cabaran yang besar, misalnya, antara tujuh pemain utama di Malaysia, mungkin tiga yang lebih kurang sama perkhidmatannya dengan Kencana, iaitu Sime Darby, MIAC dan MMHE. Walau bagaimanapun, terdapat faktor lain yang amat membimbangkan serta menjadi satu ancaman kepada industri ini dan hal ini sebenarnya perlu dipandang serius oleh semua pihak, iaitu mencari pekerja mahir dalam bidang ini.


Hal ini juga merupakan isu yang sangat besar diperkatakan ketika ini. Pengalaman Kencana sendiri, kami pernah menerima teguran daripada Petronas supaya tidak cuba “memancing” pekerja mahir syarikat lain dengan menawarkan gaji yang lebih tinggi, kemudahan lain, atau sebagainya. Keadaan ini akan melemahkan sesebuah syarikat dan kami tidak akan dikatakan sebagai pesaing yang baik.


Sebenarnya, Malaysia memang mempunyai pekerja yang mahir dalam industri ini, tetapi kerana gaji yang agak kurang lumayan berbanding dengan di luar negara, menyebabkan kami semakin sukar mencari pekerja mahir. Kebanyakan pekerja mahir di Malaysia lebih berminat bekerja di Timur Tengah. Mereka dibayar upah yang berlipat ganda berbanding dengan di Malaysia, walaupun terpaksa melakukan kerja yang berat. Misalnya, di Qatar, kami tidak perlu hairan apabila melihat majoriti pekerja dalam industri petroleum di sana ialah rakyat Malaysia dan mereka selesa berkomunikasi dalam bahasa Melayu.


Industri ini tidak banyak pesaingnya dan menyebabkan pekerja mahir ini mudah mengetahui syarikat yang bakal memperoleh kontrak yang tinggi. Melalui pemerhatian tersebut, pekerja mahir ini akan melobi diri untuk bekerja dengan harga yang tinggi. Hal ini merupakan suatu situasi yang tidak sihat untuk industri. Terdapat juga syarikat besar yang melakukan pemindahan pekerja mahir dan teknologi untuk mengurangkan ketandusan kepakaran.


Hal ini merupakan suatu langkah yang dilihat sangat positif dan perkara ini telah diajukan kepada Petronas. Hasilnya, pertemuan tersebut melegakan syarikat petroleum di Malaysia apabila Petronas menjanjikan bahawa mereka sedang menumpukan perhatian pada program latihan dan merekrut pekerja untuk bekerja dalam industri ini yang menjanjikan gaji yang lumayan. Perkara ini sejajar dengan rancangan kerajaan yang menumpukan pembangunan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai kepakaran. 


Apakah pandangan Dato’ tentang perkembangan petroleum dunia ketika ini?


Pertama kalinya, saya ingin menegaskan di sini bahawa kestabilan harga dan produksi itu merupakan perkara yang berbeza. Kestabilan harga banyak bergantung pada isu politik, misalnya isu di Amerika, Iraq, dan sebagainya. Hal ini memang tidak dapat dikawal dan di luar jangkaan semasa. Namun begitu, dari segi produksi dan mencari gali minyak, perkembangannya masih cerah. Terdapat beberapa kawasan yang masih belum dieksploitasi dan sekarang menunjukkan simpanan minyak dan gas itu agak besar.


Ketika ini, kedengaran berita yang mengatakan bahawa minyak di Malaysia akan habis dalam jangka masa dua hingga tiga tahun lagi dan hal itu tidak benar. Namun begitu, hal yang demikian bukanlah jaminan untuk tempoh 20 tahun akan datang, tetapi yang pasti, tidak lama lagi kami akan menjadi negara pengimport yang lebih besar berbanding dengan aktiviti mengeksport.


Keduanya, berkenaan dengan penggunaan gas yang telah meningkat sejak belakangan ini. Isunya sekarang, kami perlu mencari sumber gas tersebut agar dapat menampung permintaan dan keadaan pasaran masa kini. Syarikat Gas Thailand bersepakat dengan Malaysia untuk bekerjasama mencari minyak dan gas yang terdapat di perairan Malaysia - Thailand. Hasil daripada kerjasama tersebut, akan menguntungkan kedua-dua pihak kerana sistem pemasangan paip akan dijalankan di kedua-dua buah negara. Seterusnya, perkembangan ini mampu membantu pertumbuhan ekonomi dan mengeratkan hubungan dua hala negara masing-masing.


Apakah perancangan masa hadapan yang dilihat mampu mempelbagaikan pendapatan syarikat atau adakah sebarang usaha untuk menerokai bidang baharu dalam industri tersebut?


Setiap syarikat sentiasa memikirkan cara untuk mengekalkan keuntungan semasa, selain merancang pelan strategi bagi jangka masa akan datang. Hal ini tidak terkecuali dengan Kencana Petroleum. Dari awal kami telah cuba menerokai peluang pasaran domestik dan antarabangsa kerana di Malaysia terdapat tujuh pemain utama yang bergiat aktif dalam industri ini. Setakat ini, kami berjaya memperoleh kontrak di Thailand, India, Australia dan New Zealand.


Kami sentiasa memasarkan dan melibatkan diri dalam pameran antarabangsa bagi mempromosikan produksi kepada pelanggan baharu dan pelanggan sedia ada. Baru-baru ini, kami menyertai Dubai Exhibition Petroleum untuk memastikan agar kami berjaya memperoleh projek baharu. Selain itu, kami cuba menumpukan perhatian pada beberapa perkara khusus untuk menjadi jaguh dalam bidang tertentu. Hal ini merupakan strategi penting dalam memastikan peluang yang ada supaya dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya, di samping menggunakan tenaga dan kepakaran yang sedia ada.


Berkenaan dengan menerokai bidang baharu pada masa hadapan, kami akan terus memberikan tumpuan utama pada pengeluaran minyak dan gas. Keperluan dan permintaan bahan tersebut sangat meluas dan kami akan terus membida projek yang mampu mendatangkan keuntungan kepada syarikat. Keadaan ini disokong melalui margin keuntungan syarikat sejak tiga tahun belakangan ini yang mencatatkan keuntungan yang terbaik. 


Apakah kenangan yang cukup bermakna kepada Dato' ketika menerajui Kencana Petroleum?


Semua projek yang telah dan akan dilaksanakan menjadi sesuatu yang istimewa kepada saya khususnya, dan Kencana amnya. Namun demikian, yang paling membanggakan saya ialah kontrak pertama yang diperoleh Kencana daripada Murphy Oil pada tahun 2002. Setelah diaudit beberapa kali oleh syarikat terbabit dan Petronas melalui bahagian teknikal, akhirnya kami berjaya dianugerahkan kontrak membina pelantar laut yang diidamkan. Walaupun nilai kontrak adalah kecil, sekitar lima hingga enam juta, projek ini merupakan kontrak permulaan dalam industri petroleum.


Ketika itu, syarikat kami masih diiktiraf sebagai peniaga kecil, tetapi tetap diberi peluang. Antara lain syarikat di Lumut, Perak, yang pernah mengendalikan projek yang istimewa dan unik seperti Mobile Production Unit dan sekarang sedang membina pelantar untuk pelanggan di New Zealand, dan pelantar ini akan menjadi pelantar laut yang tertinggi secara tegak dengan ketinggian yang mencecah 150 meter. Pelantar ini merupakan pelantar yang kedua dibina di dunia dan diiktiraf sebagai pelantar terbesar di dunia.


Sementara itu, sesuatu yang seperti mimpi menjadi kenyataan ialah apabila kami berjaya mengembangkan syarikat daripada Sdn. Bhd. kepada Berhad. Sejak Disember tahun selepas, Kencana Petroleum berjaya disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia, saham syarikat melonjak daripada harga IPO ketika itu sekitar 41 sen dibuka pada 81 sen dan sekarang sekitar RM2.40.


Bagaimanakah Kencana Petroleum mengekalkan momentum kriteria yang ditetapkan oleh Petronas mengikut akta, dan bagaimanakah pula urusan urus niaga di luar negara?


Kami menyediakan program latihan kepada pekerja yang baharu dan lama yang berpusat di Lumut, Perak. Selain itu, bekerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Mara untuk memastikan kursus yang diberikan kepada pelajar sejajar dengan apa-apa yang diperlukan dalam industri. Kami perlu mengikut standard yang ditetapkan, jika tidak, kami tidak boleh mengambil mereka bekerja.


Ada juga langkah lain yang diambil bagi memastikan kepakaran yang sedia ada ditambah baik dan dikekalkan dengan menghantar pekerja ke luar negara untuk projek di luar negara. Kebaikannya, mereka akan belajar dan memahami budaya kerja di sana dan membawa pulang segala apa-apa yang dipelajari.


Melalui kepakaran baharu dan pengalaman yang diperoleh, mereka dapat memberikan tunjuk ajar kepada pekerja di Malaysia. Kepakaran luar juga kami gunakan, contohnya kerjasama dengan syarikat di Thailand. Kami turut membuat pemindahan teknologi, orang kami dan orang Thailand bekerjasama atas tujuan memudahkan sesuatu perkara di negara masing-masing.


Di luar negara, kami mengamalkan konsep terbuka, kami akan mendapatkan tender secara profesional. Saya ingin menjelaskan di sini, syarikat yang ingin menceburi industri petroleum perlu mendaftar dan mendapatkan lesen yang dikeluarkan oleh Petronas terlebih dahulu. Hal ini merupakan syarat yang termaktub dalam akta yang ditetapkan. Ada juga syarikat yang tidak berdaftar dan mereka hanya menjadi subkontraktor kepada syarikat berdaftar dan berlesen.


Petronas hanya mengeluarkan lesen kepada syarikat yang benar-benar memenuhi kriteria atau standard tertentu sebelum lesen tersebut diluluskan. Apabila lesen diterima, Petronas akan mengawal dan memastikan syarikat tersebut agar sentiasa berkebolehan dan bersedia terhadap kontrak-kontrak akan datang. Setiap syarikat yang mempunyai lesen akan dijemput untuk mendapatkan tender, sama ada berminat atau tidak, hal itu terpulang kepada syarikat masing-masing.


Kebanyakan pihak salah faham terhadap kontrak yang dikeluarkan oleh Petronas. Tidak semestinya kontrak tersebut datang daripada Petronas, mungkin kontrak datang daripada Shell, misalnya kontrak cari gali atau kontrak minyak. Maksudnya, Petronas seperti orang tengah dalam urus niaga yang berkaitan dengan industri tersebut. Petronas merupakan pemegang saham di semua produksi, mereka ditugas dan dipertanggungjawabkan untuk kendalikan semua kontraktor dalam industri dan semua kontrak diuruskan oleh Petronas. Petronas hanya menguruskan hal yang berkaitan dengan tender sahaja, tetapi pelanggan mungkin daripada syarikat Shell, Esso, dan sebagainya.

Nasihat Dato’ terhadap generasi muda yang ingin berniaga, apakah kelengkapan yang perlu ada untuk memastikan mereka berdaya saing?


Generasi muda yang benar-benar ingin berjaya dalam perniagaan seharusnya menggunakan pengalaman yang ada untuk menjayakan inspirasi dan cita-cita mereka. Seseorang itu perlu bersabar dan kejayaan tidak datang dengan mudah. Jika gagal, jangan mudah putus asa, sebaliknya teruskan usaha dan tekun menjalankan kerja. Hal ini merupakan falsafah yang sinonim dewasa ini.

Seelok-eloknya, timbalah pengalaman di syarikat lain dahulu dan suatu hari apabila kita berpeluang dan ada potensi diri untuk berniaga sendiri, maka teruskanlah cita-cita itu. Namun begitu, seseorang itu perlu menerima hakikat bahawa bukan semua individu boleh menjadi pengarah urusan dalam syarikat sendiri.

Selain itu, jangan sesekali berhutang. Kemampuan untuk berbelanja adalah berlandaskan wang yang ada di tangan. Mungkin tidak menjadi had kepada orang ramai, saya sendiri berhutang untuk berniaga dan apabila keadaan ekonomi jatuh merudum, kami terpaksa mengambil langkah yang drastik untuk menyelamatkan diri. Alhamdulillah, saya bernasib baik dan bangun untuk mencuba dalam bidang yang lain.


Pengalaman yang pahit hendaklah dijadikan iktibar pada masa mendatang. Bagi saya, falsafah yang saya guna sebagai garis panduan untuk berniaga ialah jangan atau kurangkan pinjaman peribadi atau syarikat. Mungkin pinjaman syarikat perlu untuk menampung projek yang besar, tetapi perlu disegerakan bayarannya.


http://azlishukri.blogspot.com

No comments:

Post a Comment