Saturday, January 26, 2013

Kronologi Perselisihan Pendapat Antara Dr Mahathir Dengan Abdullah

Bertitik tolak dengan isu penjelasan Permit Import (AP) bagi mengimport kereta sehinggalah kepada isu Proton Holdings Berhad, satu persatu penjelasan dipohon tetapi masih kurang memuaskan.

Perkara itu tidak terhenti setakat itu sahaja, konflik yang mulanya dilihat kecil akhirnya sampai ke kemuncak apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut penjelasan daripada kerajaan berhubung pembatalan pembinaan jambatan yang menghubungkan Johor dan Singapura bagi menggantikan Tambak Johor.

Pengumuman pembatalan pembinaan yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 12 April lepas, dilihat sebagai pencetus konflik pendapat antara dua pemimpin negara yang disanjungi itu.

Pelbagai pihak mula muncul membuat andaian mereka sendiri berhubung kemelut yang sedang melanda kedua-dua pemimpin yang menjadi tunggak kemajuan dan kecemerlangan negara.

Bagaimanapun, segalanya terungkai apabila kedua-duanya bertemu bagi menjernihkan suasana hari ini, pertemuan yang berlangsung menjelang Aidilfitri itu amat dinanti-nantikan oleh semua yang menyanjungi ketokohan kepimpinan mereka.

Berikut merupakan kronologi kemuncak perselisihan pendapat antara kedua-dua pemimpin yang bermula daripada isu pembatalan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

* 27 April - Dr Mahathir kemukakan alasan 16 perkara mengenai pembinaan jambatan selepas beliau langsung tidak dapat menerima alasan keputusan pembatalan pembinaan jambatan yang dibuat kerajaan.

* 14 Mei - Dr Mahathir membuat kenyataan bahawa beliau hanya berbeza pendapat dengan kerajaan berhubung isu pembatalan "Jambatan Indah" sahaja kerana pembinaannya tidak melibatkan Singapura.

* 28 Mei - Selepas lebih sebulan pembatalan projek jambatan, Perdana Menteri bertemu dengan Dr Mahathir sewaktu lawatan kerja ke Tokyo. Bagaimanapun tiada sebarang perbincangan berlangsung.

* 9 Jun - Dr Mahathir menyuarakan kritikan kerasnya terhadap pentadbiran Perdana Menteri yang menurutnya bukan bertujuan untuk menentang, sebaliknya hanya mahukan jawapan terhadap soalan yang dibangkitkannya.

* 14 Julai - Pelbagai dakwaan dibuat oleh Dr Mahathir berhubung pembatalan pembinaan jambatan menyebabkan kerajaan mengambil tindakan mengklasifikasikan beberapa dokumen rahsia yang relevan untuk diterbitkan bagi membolehkan rakyat memahami sebab keputusan itu diambil.

* 19 Julai - Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Dr Mahathir walaupun pentadbirannya dikritik.

* 25 Julai - Dr Mahathir mengakui bahawa Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob menemuinya. Khalil bertindak sebagai orang tengah bagi menyelesaikan perselisihan antara kedua-dua pemimpin itu. Bagaimanapun tiada sebarang pertemuan diadakan.

* 28 Julai - Timbul isu kononnya Dr Mahathir mahu menjadi Perdana Menteri semula tetapi disangkalnya dengan alasan beliau telah berkhidmat terlalu lama sebagai Perdana Menteri iaitu 22 tahun.

* 28 Julai - Berlaku insiden Dr Mahathir disembur dengan bahan pemedih mata sewaktu beliau membuat lawatan sehari ke Kelantan, insiden yang berlaku pada Julai lepas menimbulkan kemarahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

* 8 Ogos - Dr Mahathir menafikan berebut jawatan dengan Perdana Menteri berikutan beliau sering mengkritik keras kerajaan pentadbiran Perdana Menteri.

* 9 Ogos - Dr Mahathir membuat kenyataan bahawa beliau akan terus bertanya kepada kerajaan selagi belum mendapat jawapan, kenyataan itu dibuat selepas dua hari Perdana Menteri muncul dalam wawancara di televisyen bagi menjawab dakwaan kononnya terdapat unsur nepotisme dan kronisme dalam pemerintahan Abdullah.

* 11 Ogos - Persatuan Bekas Wakil Rakyat Perak (Mubarak) merancang mengatur pertemuan antara Perdana Menteri dengan Dr Mahathir bagi menyelesaikan perselisihan pendapat antara keduanya.

* 13 Ogos - Perdana Menteri enggan mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa tindakan berterusan Dr Mahathir mengutuk kerajaan tadbirannya bertujuan menjatuhkannya.

* 11 Sept - Dr Mahathir yang bertanding untuk menjadi anggota perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung Umno November ini, kalah dan mendakwa ia berlaku kerana wujud unsur rasuah.

* 12 Sept - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Dr Mahathir membuat laporan kepada jawatankuasa disiplin Umno sekiranya wujud unsur rasuah dalam pemilihan perwakilan Kubang Pasu pada 9 Sept lepas.

* 18 Okt - Dr Mahathir menyatakan persetujuannya untuk bertemu dengan Abdullah sebelum sambutan Aidilfitri bagi membincangkan perkara-perkara berbangkit.

* 18 Okt - Perdana Menteri menyatakan persetujuan untuk bertemu dengan Dr Mahathir sebelum Aidilfitri dan berharap pertemuan itu akan membawa kebaikan kepada semua.

-- BERNAMA 

22 Oktober, 2006


No comments:

Post a Comment