Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad mengingatkan orang Melayu agar tidak alpa atau meberdepan dengan risiko kehilangan kuasa di negara sendiri sekiranya semua hak yang dimiliki mereka akhirnya terlepas.
Menurutnya, tidak mustahil orang Melayu menerima nasib seperti kaum Red Indian yang sebenarnya penduduk asal Amerika Syarikat tetapi terlepas sedikit demi sedikit kuasanya kepada pendatang pada zaman dahulu.
Katanya, orang Melayu perlu mempertahankan ketuanan Tanah Rizab Melayu sebagai hak tetapi tidak mustahil ia boleh terlepas jika cuai dan terlupa.
"Jangan jadi seperti bangsa Red Indian di Amerika yang akhirnya hanya tinggal di tanah rizab puak itu dan jika tanah itu pun ditarik balik, maka secara perlahan-lahan kaum Red Indian pun hilang.
"Samalah dengan orang Melayu. Sekarang, masih ada lagi tanah Rizab Melayu tetapi jika sedikit demi sedikit (hilang) maka penempatan Melayu pun mengecil dan suatu hari nanti nasib kita malang seperti Red Indian," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada ucaptama konvensyen Transformasi Ekonomi dan Pelajaran Melayu Pulau Pinang anjuran Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) di sini semalam.
Konvensyen sehari di Dewan Utama Universiti Teknologi Mara cawangan Permatang Pauh itu dirasmikan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan dihadiri kira-kira 5,000 orang.
Dalam pada itu, pada sidang akhbarnya, Mahathir menyelar sesetengah pihak di negara ini yang tidak tahu bersyukur malah mempertikaikan hak serta kepentingan orang Melayu walaupun telah mendapat banyak yang dihajati.
Tegas beliau, orang Melayu sanggup mengurangkan banyak kepentingan dan hak mereka serta berkongsi kuasa dengan pihak-pihak lain atas semangat muafakat tetapi masih terus dipertikaikan sesetengah pihak.
sumber:KOSMO
No comments:
Post a Comment