Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata iklim politik di Kelantan ketika ini sudah jauh berubah dan rakyat negeri itu sudah mula yakin terhadap usaha yang dilakukan Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu beliau yakin rakyat Kelantan akan kembali memilih BN pada pilihan raya umum ke-13 ini berdasarkan kepada sokongan yang begitu besar terhadap BN ketika ini.
"Saya tengok rakyat Kelantan sangat bersemangat untuk hadir beramai-ramai pada program seperti ini yang satu ketika dahulu saya tidak pernah lihat.
"Saya nampak sekarang mereka (rakyat Kelantan) sangat bersemangat dan sama-sama melaungkan kata-kata Tukar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Panglima Raja, Lemal di sini hari ini.
Turut hadir isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Datuk Ibrahim Ali.
Dr Mahathir berkata Pas telah gagal membangunkan Kelantan sejak 23 tahun lalu dan apa yang terdapat sekarang adalah hasil usaha pembangunan yang dirancang BN selama ini.
Sementara itu dalam ucapannya, Dr Mahathir kesal kerana Pas termasuk Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggunakan Islam hanya untuk mencapai cita-cita politik agar pembangkang menang pada pilihan raya umum ini.
"Apa yang dibuat Nik Aziz tidak selari dengan Islam. Sepatutnya Islam ajar kita bersatu dan bukannya untuk berpecah belah," katanya.
Beliau berkata Kelantan sepatutnya sudah menjadi negeri contoh namun apa yang berlaku negeri itu terus mundur.
"Orang Melayu boleh berjaya jika mereka bersatu padu kerana ia menjadi satu kekuatan. Kita mundur kerana kita berpecah," katanya.
SUMBER - Bernama
No comments:
Post a Comment