Monday, March 11, 2013

Kejayaan terbesar Pas timbulkan kebencian rakyat terhadap Umno

Tun Dr Mahathir Mohammad berkata kejayaan tebesar Pas ialah melaksana pendekatan yang menimbulkan kebencian rakyat terhadap Umno serta mengkafirkan orang yang tidak menyokong parti itu.
   
Bekas Perdana Menteri itu berkata pendekatan berkenaan diguna pemimpin Pas bagi menakutkan rakyat supaya tidak menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).
   
"Pas juga mengajar penyokongnya supaya membenci orang yang tidak menyokong atau mengundi Pas sebagai bukan Islam.
   
"Mereka kena wujudkan kebencian dalam diri orang Islam, termasuk penyokong Pas sendiri, supaya mereka tidak menyokong Umno dan BN," katanya sewaktu berucap pada program Bersama Negarawan di sini hari ini.
   
Program anjuran Umno Kulim/Bandar Baharu dengan kerjasama BN Kedah itu turut dihadiri isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan kira-kira 5,000 pemimpin serta anggota komponen BN negeri.

Dr Mahathir berkata ramai penyokong Pas kini meninggal parti itu kerana sedar pendekatan yang digunakan selama ini bertentangan dengan ajaran Islam.
   
Beliau berkata Pas sebenarnya lemah kerana perlukan sokongan parti lain dalam pakatan pembangkang sehingga sanggup menggugurkan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksana hukum hudud apabila digertak rakan sendiri.
   
"Umno sahaja yang boleh mempertahan hak rakyat pelbagai kaum kerana BN adalah parti campuran, bukan pakatan. Pakatan ni macam 'pakat-pakat' sahaja, tidak sempurna. Nak pakat mencuripun boleh, kemudian buat hal sendiri.
   
"Di Selangor, nak dapat tender projek kerajaan kena beritahu sokong parti mana, sedangkan BN tidak pernah bertanyapun. Masalah air di Kelantan tidak selesai walaupun lebih 20 tahun memerintah. Di Pulau Pinang, dulu depa marah saya buat jambatan, sekarang nak buat terowong pula," katanya.
   
Dr Mahathir berkata rakyat seharusnya boleh membuat penilaian bijak terhadap pencapaian pakatan pembangkang selepas lima tahun mereka memerintah empat negeri
bermula 2008.
 
Sambil berseloroh, Dr Mahathir berkata beliau kini berkempen bagi membalas jasa orang terdahulu yang mengangkatnya menjadi Perdana Menteri.
   
"Orang kata saya dah tua, tak larat dah tapi saya kena balas jasa mereka," katanya yang mendapat tepukan gemuruh hadirin.
   
Bercakap kepada pemberita selepas itu, bekas Perdana Menteri itu berkata beliau melihat keutuhan Umno dan BN serta sokongan positif rakyat terhadap parti komponen berkenaan bertambah baik adalah petanda BN mampu meraih kejayaan lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
   
"Saya yakin matlamat kita untuk menang lebih banyak kerusi Parlimen dan Dun (Dewan Undangan Negeri) boleh tercapai. Di Kedah juga saya lihat rakyat dah menolak pakatan pembangkang," katanya.
   
Mengulas cakap-cakap perebutan jawatan Menteri Besar Kedah jika BN menang pada PRU-13 kelak, Dr Mahathir berkata perkara itu tidak memberi kesan atau menjejas peluang BN kerana anggota parti berkenaan telah diberi peringatan berhubung isu tersebut.
 
Dr Mahathir berkata beliau sempat bertemu jawatankuasa Perhubungan Umno Negeri sebelum ke sini dan semua mengaku akan mengutamakan kemenangan parti, bukan diri sendiri.
   
"Ada pula orang tanya berkaitan anak saya (Mukhriz) adakah dia calon MB. Saya kata biarlah dia bertanding dulu, Dun atau Parlimen, tidak mengapalah.
   
"Yang penting, semua anggota bagi pengakuan untuk sokong siapa sahaja yang dipilih Perdana Menteri sebagai calon.
   
"Orang Kedah dah rasa dah... tiada apapun jasa Pas terhadap negeri ini, banyak rosak lagi ada la yang dia buat," katanya. 

SUMBER  - Bernama

No comments:

Post a Comment