Wednesday, March 20, 2013

Pilih pemimpin utamakan keselamatan negara - Dr. Mahathir


Rakyat Malaysia perlu menggunakan hak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti untuk memilih pemimpin berilmu, cekap dan mempunyai kredibiliti membangunkan negara.


Pada masa yang sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengajak rakyat menilai semula pendirian mereka jika masih menaruh sokongan kepada pemimpin biadab yang sanggup menghina pengorbanan nyawa, darah serta keringat anggota keselamatan.


Jelas beliau, peranan rakyat terhadap keselamatan negara terutama dalam memilih pemimpin berkelayakan sangat penting supaya negara tidak mudah diceroboh anasir luar selain memastikan kesinambungan transformasi berjalan lancar.


"Jangan pilih pemimpin kerana rasa suka dan fikir dia baik, tetapi pilihlah dia kerana kredibilitinya dalam mempertahankan negara," katanya ketika berucap pada majlis bual bicara bertajuk 'Pertahanan Negara Tanggungjawab Bersama', di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, insiden pencerobohan di Sabah yang meragut nyawa 10 anggota keselamatan negara wajar membuka mata rakyat dalam menilai dan memilih pemimpin sebenar.


Sambil melahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pemimpin pembangkang yang tergamak menuduh insiden pencerobohan berdarah itu sandiwara kerajaan, beliau berkata, golongan terbabit adalah sekelompok manusia yang tidak tahu bersyukur.


"Terpulanglah kepada rakyat kalau mereka suka pemimpin jenis ini. Sebaliknya, saya berpendapat orang jenis ini biadab dan langsung tidak bersyukur sedangkan keselamatan dia sendiri adalah hasil pengorbanan ekstrem anggota keselamatan yang sanggup bergadai nyawa demi keamanan," katanya.


Sementara itu, Dr. Mahathir ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut berkata, rakyat wajar memberi perhatian terhadap kemampuan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri selepas pembentangan laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) semalam.


Katanya, laporan itu bukan sahaja menampilkan banyak perkara positif yang berjaya dilaksanakan Najib selepas mengambil tampuk pemerintah negara tetapi turut mengetengahkan idea-idea baharu.


Mengenai hasrat Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu melaksanakan projek mega pembinaan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion, Dr. Mahathir berkata, projek tersebut adalah satu pembaziran.


"Jambatan jauh lebih murah daripada membina terowong, saya tidak nampak ada alasan yang baik dan ini membazir duit rakyat kerana kebiasaannya terowong dasar laut dibina bagi mengelak halangan laluan kapal, tetapi sekarang memang telah tersekat dengan jambatan," ujarnya.

sumber : UTUSAN 

No comments:

Post a Comment