Kerajaan sudah tidak ada pilihan selain melancarkan serangan balas bagi menghapuskan sama sekali pasukan penceroboh bersenjata di Sabah, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, tindakan kekerasan itu sudah tidak dapat dielakkan kerana kumpulan pengganas itu tidak menghargai usaha baik kerajaan untuk menyelesaikan situasi itu melalui pendekatan diplomasi dan rundingan.
"Kerajaan cukup berhati-hati dalam perkara ini pada mulanya kerana berharap dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah tetapi malangnya ini tidak dihargai oleh pasukan Sulu itu dan mereka sanggup membunuh pasukan keselamatan kita.
"Sekarang ini, saya fikir tidak ada jalan lain melainkan kerajaan melancarkan serangan balas supaya dapat dihapuskan sama sekali pasukan itu, walaupun dengan ini ramai daripada mereka terbunuh tetapi ini tidak dapat dielakkan kerana mereka yang menyerang Sabah, bukan kita yang menyerang mereka," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas berucap lebih sejam di hadapan lebih 15,000 hadirin pada Program Perhimpunan Rakyat anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini hari ini.
Setakat ini, seramai lapan anggota pasukan keselamatan negara dilaporkan terbunuh di Sabah apabila diserang hendap oleh pasukan pengganas yang menggelarkan diri mereka sebagai Tentera Diraja Kesultanan Sulu sejak pertempuran pertama meletus kelmarin.
Menurut Dr. Mahathir, kerajaan juga perlu membuat persiapan bagi menghadapi serangan hendap ala gerila secara berterusan daripada kumpulan pengganas itu kerana ancaman tersebut tidak akan dapat ditamatkan dengan begitu sahaja.
"Mereka akan mengadakan serangan-serangan hendap di masa hadapan. Sebab itu, saya harap kerajaan akan membuat persediaan menghadapi serangan berturut-turut itu dan kita perlu hantar tentera laut kita untuk mengawal mana-mana bot yang datang dari kepulauan Tawi-Tawi dan Solo, Filipina kerana mereka mungkin membawa pasukan dan menyeludup senjata.
"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana walaupun pada mulanya kita anggap percubaan seramai 150 orang untuk menawan Sabah adalah suatu percubaan yang sia-sia tetapi kita tahu mereka akan menjadi gerila dan mereka akan melancarkan serangan-serangan pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata, pada awalnya, kerajaan tidak mahu menggunakan pendekatan ketenteraan kerana menganggap ancaman tersebut datang daripada mereka yang berada di dalam wilayah negara tetapi sekarang jelas, serangan itu datang dari luar dan tindakan ketenteraan akan diambil.
Kata Dr. Mahathir lagi, kerajaan juga tidak mahu membunuh kumpulan penceroboh itu kerana mengambil kira mereka mempunyai ramai saudara-mara dan rakan-rakan di kalangan rakyat Malaysia di Sabah dan mereka juga beragama Islam.
"Kita orang Islam tidak mahu tergesa-gesa membunuh orang Islam lain seperti yang berlaku di negara lain. Sebab itu, pada mulanya tidak ada tindakan diambil terhadap mereka tetapi mereka menunjukkan niat jahat mereka dengan menembak mati anggota polis kita," jelas beliau.
UTUSAN
No comments:
Post a Comment