Monday, March 4, 2013

Perpecahan di kalangan umat Islam kerana abai ajaran Islam — Dr M


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) berkata umat Islam berpecah kerana mereka mengabaikan ajaran Islam.
Beliau berkata ekoran perselisihan pendapat di antara mereka, umat Islam cenderung untuk bergaduh sesama mereka dan enggan bekerjasama dengan negara-negara Islam yang lain.
“Kita (umat Islam) perlu berpandukan Quran, ia panduan terbaik untuk semua. Andai anda mengikut Quran, anda tidak akan berpecah kepada parti-parti politik berbeza...tetapi apabila kita mengabaikan Quran, kita lupa bahawa sumber agama Islam ialah Quran yang mengandungi firman Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Islam Global mengenai Perpaduan dan Ekonomi anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata faktor lain yang mungkin menjadi punca kepada perpecahan antara masyarakat Islam ialah kelemahan dalam menguruskan kekayaan dan asset serta kegagalan mengekalkan kestabilan.
Tegasnya negara-negara Islam dirahmati dengan banyak aset seperti minyak tetapi persoalannya ialah sama ada wang yang dijana daripada sumber berkenaan digunakan dengan cekap.
“Saya yakin kita mempunyai wang untuk membiayai orang miskin di dunia Islam, kita mempunyai kapasiti untuk membantu mereka.
“...Sekiranya kita gunakan kekayaan kita dengan betul, kita boleh menyediakan infrastruktur untuk semua negara-negara Islam yang miskin, mereka akan mempunyai rawatan perubatan, sekolah-sekolah dan mereka ini akan memajukan negara mereka dan dapat menyumbang kepada pembangunan ummah,” katanya.
Beliau berkata kestabilan sesebuah negara amat penting untuk menarik lebih banyak pelaburan yang rakyatnya akan mendapat manfaat.

sumber  — Bernama

No comments:

Post a Comment