Monday, March 25, 2013

Dr M: Melayu perlu berpandu al-Quran elak berpecah

Orang Melayu hendaklah berpandu kepada al-Quran sebagai amalan hidup supaya tidak berpecah belah walaupun mempunyai
fahaman politik berbeza, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.  
    
Beliau berkata al-Quran jelas menekankan peranan persaudaraan sesama sendiri, justeru orang Melayu perlu membina peradaban bangsa berteraskan tamadun Islam. 
    
"Kalau di negara Arab, bukan semua orang Arab itu adalah Islam, ada yang menganut agama lain, tetapi di Malaysia, orang Melayu mestilah beragama Islam, jadi kita perlu membina tamadun yang berteraskan al-Quran dan hadis yang sahih.
    
"Selain itu, orang Melayu juga perlu berusaha menjadi bangsa yang maju dan kita perlu belajar daripada orang lain seperti Jepun, China atau Korea yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam," katanya pada forum perdana Membina Peradaban Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam di Bangunan Parlimen hari ini.
    
Selain Dr Mahathir, turut menjadi anggota panel pada forum anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu adalah bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad dan tokoh korporat Tan Sri Muhammad Ali Hashim. 

Dr Mahathir berkata jika orang Melayu ingin membina tamadun bangsa yang berteraskan agama, fahaman tentang Islam perlu jelas supaya ia lebih menepati kehendak agama itu sendiri.
    
"Saya yakin kalau kita ikut kehendak agama Islam sebagai Ad-din dalam kehidupan kita, orang Melayu akan menguasai sains, dapat mencipta alatan kita sendiri dan bukan sebagai pengguna semata-mata. Apabila kita menjadi negara maju, ia akan menjadi sebahagian daripada tamadun kita," katanya.
    
Beliau berkata orang Melayu perlu membentuk tamadun Melayu Islam yang boleh mempertahan umat serta menguasai ilmu pelbagai bidang lebih daripada orang lain.
    
"Kalau kita cekap dan sedar tentang tanggungjawab kita kepada bangsa Melayu yang dikaitkan dengan Islam, kita akan berusaha memajukan bangsa kita, janganlah kita berpecah belah kerana ia tidak disebut dalam agama kita. 
    
"Apabila kita mempunyai kuasa, guna kuasa itu dengan baik, tidak ada penindasan dan kita juga mesti pertahankan agama Islam dan tidak membiarkan agama kita diperlekeh oleh sesiapa, itulah sepatutnya menjadi sumbangan orang Melayu kepada agama Islam," katanya.

Abdul Hamid pula berkata bangsa Melayu jangan menjadi bangsa yang terlepas
 peluang serta perlu ke depan agar tidak ketinggalan dengan pembangunan sosio-ekonomi yang sedang pesat berkembang. 
    
"Bangsa Arab mempunyai ramai pemimpin tetapi pada abad ini, mereka terbukti tidak mampu memimpin dan memanfaatkannya. Sebaliknya di Malaysia, orang Melayu senyap-senyap telah membina tamadun ini dengan prinsip syariah yang mana kita dalam proses pembinaan. Saya yakin jika bangsa Melayu bersatu, kita pasti boleh," katanya.
    
Beliau berkata cabaran itu perlu difikir dengan serius oleh 18 juta bangsa Melayu yang merupakan penggerak ekonomi, sosial dan agama di negara ini.
    
Sementara itu, Muhammad Ali berkata usaha melahir lebih ramai usahawan Melayu perlu diterap dari peringkat akar umbi bagi memastikan orang Melayu terus menjadi pemacu ekonomi negara. 
    
"Ibu bapa perlu mendedahkan dunia perniagaan kepada anak mereka sejak kanak-kanak lagi, supaya mereka inovatif dan berdaya saing," katanya.
    
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam ucapannya berkata sokongan serta perpaduan orang Melayu penting bagi memastikan segala kebajikan, peningkatan ekonomi dan martabat agama dipertahan tanpa mengabaikan bangsa dan agama lain di negara ini.

"Kita perlukan sokongan orang Melayu dengan mendapatkan dua pertiga majoriti dalam Pilihan Raya Umum akan datang. Politik Melayu Islam sekarang perlukan perubahan agar bangsa Melayu tidak hilang di dunia," katanya.
    
sumber - Bernama

No comments:

Post a Comment