Tuesday, January 7, 2014

PUTRAJAYA

Oleh Dr Mahathir Mohamad


1. Saya berterimakasih kerana interpretasi yang sering dibuat berkenaan pemikiran saya. Tetapi kadang-kadang interpretasi berbeza dari pemikiran saya yang sebenar.
2. Berkenaan dengan Putrajaya. Yang sebenarnya tujuannya ialah untuk mendiri sebuah Bandar pentadbiran. Kita mendapat ilham dari bandar-bandar dunia untuk tujuan ini.
3. Di antara yang mempengaruhi rekabentuk Putrajaya ialah ibu kota Perancis, iaitu Paris.
4. Yang kita pilih sebagai contoh ialah Champs Elysees, boulevard utama yang melintasi tengah Bandar Paris.
5. Boulevard ini mempunyai jalan tengah yang luas untuk lalu-lintas kereta dan dua buah jalan kecil antara jalan tengah dengan deretan bangunan di kiri kanan untuk pelawat ke kedai dan restoran.
6. Tingkat bawah bangunan-bangunan ini terdapat kedai-kedai makan dan barangan dan juga pusat hiburan seperti Lido. Memanglah restoran menjual barangan yang tidak halal.
7. Sesungguhnya Champs Elysees dipenuhi dengan pembeli-belah tempatan dan pelancong dalam dan luar negeri sepanjang masa. Ramainya mereka di sini kerana terdapat kedai dan restoran mewah. Lido mempunyai tarikan hiburan yang istimewa.
8. Kita tidak berhasrat meniru segala-galanya yang terdapat di Champs Elysees di Paris. Kita juga tidak ingin menjadi Putrajaya sebagai Bandar pentadbiran yang penuh dengan pejabat Kerajaan semata-mata.

9. Di Negara maju terdapat CBD – Central Business District yang penuh dengan pejabat-pejabat syarikat terkemuka di Bandar besar. Pada siang hari ramailah pekerja dan pelawat membanjiri CBD. Apabila pejabat tutup pada 5 petang, CBD menjadi senyap sunyi. CBD juga berbahaya pada waktu malam kerana ramai penjenayah merayau-rayau dan menyamun orang yang masuk kawasan ini.
10. Sudah tentu jika ramai orang terdapat di mana kawasan, kemungkinan penjenayah bermaharajalela akan berkurangan.
11. Saya cadang kepada pengurusan Putrajaya supaya diadakan kedai-kedai makanan dan barangan sepanjang jalan tengah Putrajaya. Dalam pada itu pusat hiburan ringan juga perlu diadakan.
12. Pada malam Sambutan Ambang Tahun Baru hampir 100,000 orang, kebanyakannya Melayu telah dihibur dengan lagu-lagu merdu dan tarian. Mereka tidak mungkin datang jika tidak ada hiburan.
13. Adanya hiburan ini tidak bercanggah dengan idea Putrajaya.
14. Saya tidak bersetuju jika diadakan kedai arak dan tarian bogel di Putrajaya. Tetapi jika diadakan sedikit hiburan tidak mengapa.
15. Saya tak pernah pergi ke Hard Rock Café. Mungkin ia tidak sesuai. Tetapi ia dan pusat hiburan lain boleh disesuaikan jika sanggup mengadakan hiburan yang tidak lucah. Kita perlu kepada hiburan. Jika ada acara persandingan di dewan-dewan di Putrajaya tidak ada larangan terhadap hiburan. Kenapa tidak pusat hiburan di restoran.
16. Perubahan sedang dilakukan oleh Tan Sri Aseh kepada Putrajaya. Saya lihat semakin ramai pelawat datang ke Putrajaya sebelah malam kerana perubahan-perubahan ini.

No comments:

Post a Comment