Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta pengarang majalah mingguan Katolik 'The Herald', Paderi Lawrence Andrew supaya menghormati keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil berbahasa Melayu.
    
Beliau menegaskan paderi itu perlu menghormati sensitiviti masyarakat Islam di negara ini sebagaimana umat Islam menghormati agama lain.
    
"Yang rujuk kes ini ke mahkamah adalah mereka tapi bila mahkamah buat keputusan mereka tak peduli. Apa jadi kalau masyarakat tak hormat keputusan mahkamah?
    
"Penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak telah lama, tak apalah, tapi di sini apa sebab tiba-tiba nak gunakan?" soal Dr Mahathir ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada seminar Pengarah-pengarah Korporat Tabung Haji (TH) di Kelana Jaya.
    
Beliau mengulas kenyataan Andrew 27 Disember lepas bahawa gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya dalam bahasa Melayu meskipun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam.

Kenyataan beliau telah menimbulkan bantahan pelbagai pihak dan umat Islam terutama di Selangor dan semalam Andrew menegaskan tidak akan memohon maaf seperti yang didesak oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno Selangor dan PERKASA atas pendiriannya itu.
    
Dr Mahathir mengingatkan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang aman walaupun mempunyai rakyat pelbagai agama serta kaum, dan ini perlu dikekalkan dengan mengelak melakukan perkara yang menyentuh sensitiviti agama lain.

- Bernama