Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan Lembaga Tabung Haji dan dana lain menceburi pelaburan dalam industri berteknologi tinggi.
    
“Malaysia mempunyai pelbagai tabung dengan dana mencecah berbilion ringgit, tapi kebanyakan pelaburan tertumpu kepada pembangunan bangunan pencakar langit, sedangkan pelaburan dalam sektor industri canggih juga sebenarnya boleh membantu menjadikan kita negara maju,“ kata Dr Mahathir.
    
Beliau berkata pembinaan bangunan tidak menggunakan teknologi tinggi, bahkan kebanyakan pekerja mereka merupakan warga asing, yang akhirnya akan menyalurkan pendapatan mereka keluar dari negara ini.
    
"Sekiranya kita menceburi dalam industri berteknologi tinggi, kita dapat menggunakan kepakaran saintis dan jurutera kita dengan memberikan ganjaran yang lebih tinggi, selaras dengan sasaran kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi, kata Dr Mahathir.
    
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada seminar Pengarah Korporat keenam anjuran Tabung Haji di ibunegara hari ini.
    
Dr Mahathir bagaimanapun berkata ukuran bagi sebuah negara maju bukan terletak pada pendapatan per kapita dan pendapatan kasar negara sahaja, malah turut dilihat dari aspek kecanggihan dan kemajuan teknologi yang ada.

Banyak negara Islam, sebagai contoh, mempunyai pendapatan per kapita yang sangat tinggi, namun tidak dilihat sebagai negara maju memandangkan ia tidak mempunyai pengetahuan dan kepakaran tinggi, katanya.
    
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Ismee Ismail berkata secara kebetulannya Tabung Haji sedang meneliti beberapa cadangan pelaburan dalam industri berkenaan.
    
Beliau berkata kemungkinan besar Tabung Haji akan mengkaji beberapa pelaburan dalam bidang itu selain pelaburan sedia ada seperti hartanah, pelaburan tetap dan saham.
    
Menurutnya bagi 2014, Tabung Haji akan meneruskan dasar dan strategi pelaburan sedia ada iaitu mengikut aset dan lokasi.
     
“Buat masa ini Tabung Haji mempunyai dana mencukupi untuk pengurusan dan pentadbiran, mencecah RM45 bilion. Kita akan terus mengukuhkan kedudukan dan akan terus meneliti destinasi pelaburan yang mempunyai pulangan baik,” katanya.
    
Menyentuh lokasi pelaburan, beliau berkata Malaysia masih lagi menjadi lokasi utama bagi sektor hartanah di samping meninjau peluang yang ada di United Kingdom, Australia dan Arab Saudi.
    
Bernama