Saturday, January 11, 2014

Dr M beri amaran kesan sampingan buruk FTA kepada ekonomi

Nasib syarikat pengeluar kereta tempatan Australia, Holden yang sedang berhadapan dengan risiko penutupan syarikat adalah sebagai amaran kepada Putrajaya untuk berfikir dengan teliti sebelum menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).
Beliau berkata Holden dijangka akan menghentikan pengeluaran walaupun mendapat geran tahunan kerajaan Australia berjumlah A$200 juta (RM600 juta) yang diberi kepada General Motors, pemilik Holden.
Dalam posting terbaru di blognya, Dr Mahathir berkata urus niaga Holden tidak begitu berjaya kerana pengguna lebih senang memilih kenderaan buatan negara luar.
"Sebaik sahaja kereta Jepun memasuki pasaran Australia , ia memberi petanda buruk kepada Holden. Kerajaan Australia melihat Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sebagai penyelamat."
"Mereka fikir jika berjaya meliberalisasikan import melalui FTA, akan ada pasaran yang lebih besar untuk produk dalam negera," katanya.
Dr Mahathir mendedahkan bahawa beliau belajar banyak perkara mengenai pasaran automotif Australia semasa lawatannya ke sana baru-baru ini.
"Malangnya, Australia mendapati produknya tidak dapat bersaing dengan produk rakan dagangan dari segi kualiti, reka bentuk dan harga.
"Di dalam negara  sahaja produk Australia berjuang untuk hidup  apatah lagi jika di luar negara di mana minat dan pelanggan adalah kurang."
Dr Mahathir berkata, Australia  seperti negara-negara maju Eropah, mengamalkan idea-idea sosialis seperti meningkatkan gaji dan upah setiap tahun walaupun perniagaan tidak mendapat keuntungan.
"FTA telah memburukkan lagi keadaan ini apabila kebanjiran barang-barang asing masuk ke dalam pasaran Australia tanpa keadaan yang sama berlaku kepada barangan tempatan," tambah beliau.
Beliau berkata dengan penutupan pengeluar kereta Australia , vendor bagi komponen dan alat ganti  Australia telah kehilangan pasaran mereka.
"Tetapi mereka tidak perlu bimbang kerana Malaysia akan menyelamatkan mereka. Mereka telah dijemput untuk datang dan membuka pembuatan komponen di sini," kata Dr Mahathir.
"Dengan tenaga kerja di Malaysia yang murah, Australia akan berdaya saing semula sedangkan vendor di Malaysia akan kehilangan pasaran tempatan mereka, terutamanya jika TPPA ditandatangani."
Beliau juga menegaskan bahawa Putrajaya telah mengambila langkah yang salah bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 kerana bangunan pencakar langit dan hebat tidak akan membantu negara.
Beliau berkata Malaysia lebih tertarik kepada Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah untuk pembinaan bangunan-bangunan .
"Walaupun ia membabitkan sejumlah wang yang besar, saya tidak fikir Malaysia memperoleh manfaat yang banyak daripadanya. Teknologi yang digunakan mereka bentuk dan membina bangunan-bangunan adalah sesuatu yang bukan dimiliki sepenuhnya oleh Malaysia.
"Pembinaan bangunan-bangunan itu memberi manfaat kepada pekerja asing lebih daripada ia memberi manfaat kepada Malaysia. Pekerja-pekerja asing akan menerima gaji dan menghantar balik ke tanah air mereka."
Dr Mahathir berkata apa yang Malaysia perlu lakukan untuk meningkatkan pendapatan adalah pelaburan dalam industri berteknologi tinggi memandangkan rakyat Malaysia yang berkelayakan tinggi boleh bekerja dalam bidang ini.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa terdapat ramai rakyat Malaysia yang berkelayakan dalam pasaran sambil menegaskan bahawa ribuan kekosongan jawatan dalam kerajaan telah menarik lebih sejuta permohonan.
"Bagi Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju, kita perlu mempelbagaikan. Bangunan-bangunan hebat dan pencakar langit tidak bermakna Malaysia adalah sebuah negara maju tetapi adalah pendapatan per kapita."
Dr Mahathir yang pernah memegang portfolio kewangan berkata pada masa ini, kerajaan memberi penekanan dalam memastikan barangan import asing adalah murah untuk kegunaan tempatan.
"Ini membawa kepada pengaliran keluar dana yang menyumbang kepada defisit. Ia menjadikan defisit fiskal negara lebih teruk," katanya.
"Pasaran berkurangan bagi produk tempatan boleh membawa kepada pemberhentian pengeluaran tempatan, yang akan menyebabkan kuasa beli tempatan lebih rendah dan kekurangan wang untuk membeli barang-barang import .
"Pendapatan per kapita dan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia juga akan terjejas kerana kurangnya penggunaan," kata Dr Mahathir sambil menegaskan beliau tidak pasti sama ada ia adalah baik atau tidak untuk pertumbuhan ekonomi.
Beliau mempersoalkan sama ada Malaysia mahu pendapatan tinggi untuk beberapa perkara tetapi per kapita yang rendah atau pertumbuhan dan pembangunan untuk memenuhi syarat bagi menjadi sebuah negara maju. – 11 Januari, 2014.

No comments:

Post a Comment