Thursday, September 8, 2011

Ucapan Dr Mahathir Mohamad Di Persidangan Pemerintahan Dalam Masyarakat Majmuk

Ucapan Dr Mahathir Mohamad Di Persidangan Pemerintahan Dalam Masyarakat Majmuk


Tarikh : 17/08/1995

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya mengucapkan terima kasih kepada IKIM kerana menjemput saya untuk merasmikan Persidangan Pemerintahan Masyarakat Majmuk anjurannya pada hari ini.

2. Pemerintahan masyarakat majmuk bukannlah terhad kepada kerajaan Islam sahaja tetapi kerajaan bukan Islam juga kerap memerintah masyarakat majmuk. Dan di antara anggota masyarakat berbilang kaum di negara bukan Islam terdapat juga orang Islam. Di zaman ini terutamanya, terdapat ramai daripada rakyat negara-negara bukan Islam yang terdiri dairpada orang Islam sehingga mereka menjadi kumpulan minoriti yang terbesar di antara rakyat negara-negara berkenaan.

3. Memandang kepada keadaan ini kita tidak boleh ketepikan masalah masyarakat Islam dalam majmuk yang bukan Islam. Jika kita berbuat demikian, maka kita akan gagal memberi panduan kepada mereka. Dengan ini orang Islam mungkin melakukan sesuatu yang boleh membinasakan diri mereka.

4. Teladan penting yang didapati dari zaman Nabi Muhammad s.a.w. ialah apabila sekumpulan daripada orang Islam pengikut Nabi pergi ke Habsyah untuk mencari perlindungan daripada musuh-musuh Islam di Mekah. Mereka ini diterima dan diberi perlindungan oleh Raja Habsyah yang beragama Kristian. Baginda telah menolak tuntutan Quraish pelarian Islam ini dikembalikan ke Mekah.

5. Orang Islam kerap mengulangi cerita ini dan menghargai sikap pemerintahan Kristian Habsyah. Tentulah rakyat Islam yang pergi ke negara Habsyah ini tidak membuat sesuatu yang melanggar undang-undang negara Habsyah. Tentulah mereka menghormati pentadbiran dan budaya orang tempatan. Tentulah mereka tidak mencetuskan huru-hara di negara tumpangan mereka. Dengan itu, terselamatlah mereka dan agama Islam yang mereka anuti.

6. Demikian jugalah di zaman ini. Apabila orang Islam terpaksa bermastautin di negara bukan Islam, maka tentulah mereka perlu menghormati pemerintahan dan penduduk negara tersebut. Mereka tentu tidak suka ditindas atau dipisahkan daripada agama mereka secara paksa. Selagi mereka dibenar untuk terus menganuti agama Islam dan selagi mereka tidak diusik, mereka tidak harus menimbulkan masalah kepada negara tumpangan mereka.

7. Seperti juga dengan orang Islam yang menjadi minoriti di negara bukan Islam, orang bukan Islam yang menjadi minoriti di negara Islam patut menerima layanan yang sama. Hanya kerana orang Islam menjadi pemerintah dan majoriti tidak bermakna yang orang bukan Islam tidak berhak. Contoh layanan baik terhadap orang bukan Islam dalam masyarakat majmuk yang diperintah oleh orang Islam berlaku di Madinah semasa pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w. Cara mentadbir masyarakat majmuk yang mengandungi orang Muhajirin dan Ansar Islam bersama dengan orang Yahudi dan Nasrani telah ditentukan oleh Perlembagaan atau Sahifah Madinah. Orang Yahudi dan Nasrani tidak dipaksa memeluk agama Islam. Bahkan undang-undang yang dikuatkuasakan ke atas mereka ialah undang-undang agama mereka sendiri. Demikian apabila sepasang orang Yahudi melakukan zina, hukuman yang dikenakan adalah `rejam dengan batu' yang merupakan hukum yang terdapat dalam Kitab Taurat.

8. Dalam hal ini, Allah S.W.T. telah berfirman dalam Surah Al-Baqaah ayat 256 yang bermaksud "Tidak ada paksaan dalam Islam". Dalam Surah Al-Kaafiruun ayat 6 dijelaskan bahawa bagi orang bukan Islam agama mereka, tetapi bagi orang Islam agama Islam. "Lakun dinukum waliadin".

9. Selain daripada itu, hukum-hukum yang sama berat dikenakan ke atas orang Islam dan bukan Islam. Tidak ada bukti bahawa dalam pemerintahan Madinah orang bukan Islam dikenakan tanggungjawab atau hukuman yang lebih berat daripada orang Islam.

10. Keadilan dalam Islam tida berbeza daripada konsep keadilan yang universal. Jika penindasan atau ketidaksamaan hukum dianggap tidak adil dalam pandangan universal, demikian jugalah dalam Islam. Tetapi tekanan kepada keadilan lebih jelas dalam agama Islam. Dalam al-Quran dan juga hadis yang sahih, beratus-ratus kali disebut tentang betapa Allah menyuruh umat Islam berlaku adil dan melarang perbuatan yang zalim. Jika ada perbuatan yang tidak adil dan zalim yang dilakukan oleh orang islam atau Kerajaan Islam ianya bukanlah kerana Islam atau disuruh oleh agama Islam tetapi ianya adalah oleh kerana orang Islam dan Kerajaan-kerajaan Islam tidak menghiraukan ajaran Islam dan suka mengikut nafsu. Malangnya apabila orang Islam atau Kerajaan orang Islam membuat sesuatu yang tidak adil mereka suka mengaitkannya dengan ajaran Islam untuk menghalalkan perbuatan mereka. Bahkan mereka kerap memaksa ulama-ulama suruhan dan ketua-ketua agama seperti mufti atau Sheikh-ul-Islam untuk membuat fatwa yang menghalalkan kezaliman mereka.

11. Dalam sejarah manusia sejak dari zama Firaun lagi terdapat pemerintahan yang zalim terhadap orang bukan daripada agama atau bangsa pemerintah. Kedatangan Islam dan pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w. di Madinah dan kemudian di Mekah telah membawa pemerintahan yang adil dan bertimbangrasa. Demikian hamba-hamba abdi yang biasaya dairapda bangsa bukan Arab diberi layanan yang adil dan saksama. Layanan yang adil daripada Pesuruh Allah yang membawa agama Islam inilah yang menyebabkan ramai daripada orang kulit hitam yang menjadi hamba menerima agama Islam dan mempertahankan agama ini dengan gigih. Contoh yang utama ialah Bilal, yang menjadi orang pertama melaungkan azan. Tekanan terhadap Bilal kerana menerima agama Islam amatlah berat tetapi beliau kekal dengan pegangannya kepada Islam.

12. Sekali lagi dibuktikan bukan paksaan yang menjayakan Islam di zaman Nabi, tetapi keadilan yang diberi bukan selepas memeluk agama Islam tetapi sebelum penerimaan agama Islam oleh orang bukan Islam.

13. "Rahmah" (kasihan) dan ihsan (gemar melakukan kebaikan) kepada orang lain adalah sesuatu yang disuruh agama Islam. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 134 bermaksud:

"Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik".
Firman ini menjadi panduan yang jelas apabila kita menangani masalah masyarakat yang mengandungi orang Islam dan bukan Islam.
14. Namun demikian, selepas wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. dan selepas pemerintahan khalifah-khalifah Al-Rasyidin, terdapat banyak pemerintahan yang zalim di dalam negara Islam. Adil atau zalim pemerintahan Islam di Al-Andalus atau Sepanyol bergantung kepada siapa yang menjadi raja. Ada raja yang memberi layanan yang saksama kepada orang Yahudi dan Kristian yang tinggal di negeri-negeri mereka. Di waktu ini ramai yang memeluk agama Islam. Tetapi kemudian apabila raja yang zalim memerintah, mereka bukan sahaja tidak adil kepada orang bukan Islam tetapi juga kepada orang yang telah memeluk agama Islam walaupun sudah beberapa generasi.

15. Akhirnya semua wilayah Islam di Sepanyol ditakluk semula oleh orang Kristian. Di waktu ini juga dilancarkan `Spanish Inquisition' yang begitu kejam terhadap orang Islam dan juga orang Kristian yang disyaki menyeleweng daripada ajaran katolik.

16. Orang Islam dan Yahudi dipaksa memeluk agama Katolik. Dengan itu ramai orang Islam berhijrah ke Maghribi diikuti dengan orang Yahudi yang percaya mereka tidak akan dizalimi oleh Kerajaan Islam Maghribi.

17. Di Turki juga ada Kerajaan Islam yang adil dan yang zalim kepada penduduk yang bukan beragama Islam. Gereja-gereja di wilayah Eropah Timur yang ditakluk oleh Turki tidak dimusnah. Sebaliknya dijadikan masjid. Apabila Empayar Turki ditakluk semula oleh orang Eropah, mereka dapat menggunakan balik gereja-gereja mereka. Sebaliknya hari ini puak Serb meruntuhkan semua masjid orang Islam Bosnia.

18. Hari ini, di merata negara di dunia terdapat masyarakat majmuk yang menganuti agama-agama yang berlainan. Di satu negara satu bangsa yang menganuti agama tertentu memerintah masyarakat yang mempunyai minoriti yang terdiri daripada bangsa lain yang menganuti agama lain. Sebaliknya di negara lain pula bangsa yang memerintah di negara pertama tadi menjadi puak minoriti di bawah pemerintahan bangsa yang menjadi minoriti di negara mereka.

19. Jika di negara pertama pemerintahan tidak adil kepada puak minoriti, di negara kedua, mereka yang menjadi puak minoriti tentulah terdedah keapda kezaliman oleh kerajaan puak yang dizalimi oleh mereka di negara mereka.

20. Jika mana-mana kaum atau penganut agam tertentu tidak suka mereka dizalimi apabila mereka menjadi minoriti, maka apabila mereka memerintah janganlah mereka menzalimi orang lain. Jika orang Islam di negara orang bukan Islam tidak suka dizalimi, maka di negara orang Islam janganlah mereka menindas dan berlaku tidak adil kepada kaum atau penganut agama lain yang tinggal di negara mereka.

21. Sebenarnya kerajaan negara Islam atau yang dikuasai oleh orang Islam, tetapi mempunyai rakyat dan penduduk daripada berbagai-bagai bangsa dan menganuti agama yang bukan Islam, jika mereka mengikuti ajaran Islam tetap tidak akan menindas penduduk bukan Islam mereka. Tidak ada di mana-mana dalam ajaran Islam yang sebenar, sama ada daripada al-Quran atau Hadis yang sahih yang menyuruh pemerintahan Islam melakukan ketidakadilan ke atas rakyat bukan Islam. Yang ditekan berulang kali oleh Islam ialah supaya berlaku adil dan membuat yang baik, menolak sebarang bentuk kezaliman dan keburukan.

22. Hanya jika orang lain bermusuh dengan Kerajaan orang Islam baharulah disuruh orang Islam memerangi mereka. Namun tidak juga disuruh Kerajaan Islam berlaku zalim kepada mereka, walaupun ke atas mereka yang ditawan.

23. Agama Islam menyuruh orang Islam tidak memaksa sesiapa untuk memeluk agama Islam atau memerintah orang bukan Islam secara yang zalim dan tidak adil. Dengan itu Kerajaan Islam, atau Kerajaan orang Islam tentulah kerajaan yang bertimbangrasa, adil dan baik. Jika ianya zalim dan tidak baik, jika ia menindas rakyat sama ada islam atau bukan Islam, maka kerajaan itu bukanlah Kerajaan Islam atau kerajaan yang berpandukan kepada ajaran Islam. Bahawa yang berkuasa dalam kerajaan ialah orang Islam tidak bermakna pemerintahan mereka ialah pemerintahan Islam atau pemerintahan yang berpandukan kepada ajaran Islam. Hanya apabila pemerintahan oleh mereka berpandu dan mengikut lunas-lunas Islam baharulah kerajaan itu boleh dianggap Islam.

24. Di zaman moden ini terdapat berbagai-bagai bentuk pemerintahan. Tidak ada satu pun sistem pemerintahan yang bebas seratus peratus daripada penyelewengan daripada nilai-nilai mulia yang universal dan nilai-nilai mulia yang disarankan oleh agama. Adanya kecacatan ini adalah disebabkan oleh kelemahan manusia.

25. Tetapi kadangkala di negara-negara tertentu terdapat pemerintahan yang terkenal bengis dan zalim, dan juga tentangan terhadap kerajaan oleh orang yang tidak kurang bengis dan zalim. Di Bosnia-Herzegovina hari ini kita melihat kerajaan yang diketuai oleh orang Islam ditentang oleh orang Serbia yang melakukan `ethnic cleansing' iaitu pembunuhan kerana kaum dan agama.

26. Mengikut prinsip keadilan dalam Islam hukuman mestilah sama dan setimpal dengan jenayah. Tetapi Allah S.W.T. menyukai orang yang bertimbangrasa da sanggup memaafkan. Oleh itu, walaupun puak Serb melakukan jenayah dasyat, membalaskan dengan `ethnic cleansing' juga bukan dimestikan. Hanya yang salah sahaja yang mesti dihukum. Jika bangsa Serb dibunuh kerana jenayah beberapa orang Serb, mungkin mereka yang tidak terlibat juga akan menjadi mangsa. Ini bukan keadilan mengikut ajaran Islam.

27. Persidangan ini akan membincangkan suatu tajuk yang amat relevan di zaman ini dan di negara kita.

28. Malaysia adalah negara majmuk dengan penduduk dan rakyat yang menganuti berbagai-bagai agama. Kerajaan Malaysia diterajui oleh orang Islam, bahkan Malaysia mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi.

29. Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia dalam menguatkuasakan undang-undang tetap mempunyai pengaruh terhadap persepsi dunia mengenai pemerintahan orang Islam. Jika pemerintahan Malaysia dipandang sebagai tidak adil, maka gama Islam akan terpalit juga. Sebaliknya jika pemerintahan Kerajaan Malaysia, terutama daripada segi keadilan kepada kaum-kaum dan penganut-penganut agama-agama bukan Islam didapati adil, maka sudah tentu imej dan kebersihan agama Islam akan terpelihara.

30. Dalam membincangkan tajuk ini janganlah kita membenarkan emosi mempengaruhi kita atau kita berpegang kepada pandangan yang sempit atau tafsiran-tafsiran yang tidak mempunyai asas yang kukuh.

31. Agama Islam telah dicemar kerana kepentingan-kepentingan lain, kepentingan yang bukan Islam. Janganlah kita membenarkan kepentingan-kepentingan lain ini mempengaruhi pendapat kita terutama dalam membahas dan mencari panduan bagi pemerintahan masyarakat majmuk.

32. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Pemerintahan Dalam Masyarakat Majmuk.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.





sumber :

www.pmo.gov.my/

No comments:

Post a Comment