Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu seharusnya dibiarkan terus banyak bercakap bagi membolehkan rakyat negara ini mengetahui dengan jelas tembelang sebenar perjuangannya dan rakan dalam pakatan pembangkang.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pemimpin nombor dua PAS yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu kini bersikap berani dalam menidakkan perjuangan pasukan keselamatan negara melawan komunis sebelum ini kerana menganggap dirinya semakin kuat.
“Biar dia cakap banyak, baru kita tahu lubuk hati dia yang sebenar. Dia memang begitu kerana itulah perjuangannya yang sebenar. Kalau dia tak cakap, kita tidak tahu siapa rakan belakang dia. Sekarang ini kita tahu, mereka sebenarnya adalah penyokong komunis dan pengganas.
“Sebab itu, saya ingat tak perlulah tangkap dia, beri dia cakap banyak-banyak supaya kita akan tahu semua jenis orang di belakangnya. Ini rakyat harus tahu kerana kalau tidak, mereka terus tertipu sepanjang masa.
“Sekarang ini, dia (Mat Sabu) cerita hal betul dalam hati dia. Saya percaya, satu masa akan datang, kita akan dapat balas dengan cara yang halus tapi berkesan,” katanya pada program Wacana Pemikiran Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Seri Negeri, di sini, semalam.
Program anjuran Pertubuhan Melayu Insaf Kreatif Malaysia (PEMIMPIN) itu dihadiri kira-kira 1,200 orang termasuk Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Sempena majlis itu, beliau turut dianugerahkan gelaran Pejuang Melayu Sejagat yang disampaikan oleh Mohd Ali dan Pengerusi Eksekutif PEMIMPIN, Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah.
Mengulas mengenai reaksi marah bekas anggota pasukan keselamatan negara sejak kenyataan Mat Sabu itu didedahkan, Dr Mahathir menyerahkan kepada pihak berkenaan untuk menilai sendiri perjuangan orang seperti pemimpin nombor dua PAS itu.
“Saya tidak peduli kerana hakikatnya yang memperjuangkan negara bukan Chin Peng, bukan pengganas tapi orang seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Datuk Onn Jaafar. Orang ini yang berjuang untuk memerdekakan negara,” katanya
sumber : Berita Harian
No comments:
Post a Comment