Thursday, September 8, 2011
PENGGULUNGAN PERBAHASAN PADA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KE 52
PENGGULUNGAN PERBAHASAN PADA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KE 52
Lokasi : PWTC, KUALA LUMPUR Tarikh : 21-06-1998
Nama saya Mahathir Mohamad dari Bahagian Kubang Pasu yang juga merangkap Ketua Bahagian Kubang Pasu. Saya tidak bercakap bagi Bahagian Kubang Pasu sebaliknya sebagai Presiden parti untuk menggulung perbahasan yang diadakan sejak tiga hari lalu.
Terlebih dahulu saya berasa amat gembira kerana selepas ucapan Timbalan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya berasa lega kerana pengakuannya. Tentang kesetiaannya kepada saya bukan sebagai Mahathir tetapi sebagai Presiden parti. Kita tahu sudah banyak diperkatakan mengenai banyak perbezaan pendapat, perselisihan faham antara kami berdua sehingga telinga ini bengang nak dengar dan kadang-kadang kita terasuk jugak kerana bila orang cerita macam-macam, lama-lama dengar, kadang-kadang rasa nak percaya juga.
Tapi, bila berjumpa tak macam tu. Berpisah, dia mai balik. Cukup susah. Inilah nasib ahli politik. Tadi saya beritahu kepada Anwar, dia berkata, apabila Datuk Abdullah Badawi buat ucapan, dia berasa lega kerana Abdullah menyokong dia. Saya tanya berkenaan buku 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri dan saya kata kepada dia, dalam politik tidak ada musuh yang kekal dan tidak ada kawan yang kekal. Hari ni kita lawan, esok kita berkawan dan lusa kita berkahwin terus.
Sebenarnya ucapan saya ini tidak diperlukan lagi kerana mereka yang telah bercakap segalanya sebelum saya sudah buat penjelasan. Malah, pemerhati pun tepuk dengan begitu kuat sekali. Namun demikian, saya berpendapat setelah ahli politik seperti saya diberi peluang berdiri depan mereka semua, maka terpaksalah saya bercakap. Cuma mengambil masa selama tiga jam saja.
Saya terpaksa bercakap kerana seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) telah menasihati saya dalam mesyuarat terakhir MT pada malam Khamis lalu, selepas mesyuarat Pergerakan Pemuda dan Wanita, nasihat yang diberikan kepada saya ialah supaya saya meneliti rintihan yang disuarakan Pemuda. Jangan saya ambil ringan perkara ini kerana jika kita tidak memberi perhatian kepada perkara yang dibangkitkan, mungkin ia akan menjadi serius. Memang inilah cara kita dalam mesyuarat MT, bukan saja Presiden yang memberi arahan sebagai seorang diktaktor, tetapi sebaliknya kita berbincang dengan cara tertib dan sopan dan kita biarkan pandangan dan teguran terhadap semua pihak termasuk Presiden dan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan sebagainya.
Tiada siapa yang dikecualikan dalam MT daripada ditegur dan saya sering ditegur oleh ahli MT dan kalau semuanya dipersetujui, saya terpaksa akur kepada apa yang disuarakan. Ini adalah cara kita dalam Umno kerana Umno adalah sebuah pertubuhan politik yang agak tua juga iaitu lebih 50 tahun. Umno mempunyai susunan yang begitu baik sekali, mempunyai perlembagaan, mempunyai peraturan mesyuarat, mempunyai ahli cawangan, Bahagian, Perhubungan Negeri, MT dan mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung khas.
Semua ini kita susun kerana ia akan menentukan perjalanan parti kita supaya kita mendapat hasil yang maksimum daripada penyertaan kita di dalam pertubuhan ini. Kita tidak mengadakan Perlembagaan untuk menjadi hiasan. Kita tidak mengadakan ahli jawatankuasa cawangan, Bahagian, Perhubungan sebagai hiasan. Semua badan ini mempunyai fungsi tertentu supaya melalui badan ini segala urusan, matlamat kita dapat dicapai dengan sempurna. Ahli biasa mempunyai peluang bercakap di mesyuarat peringkat cawangan, wakil cawangan boleh bercakap di peringkat Bahagian, peringkat Bahagian pula ada wakil di peringkat Perhubungan Negeri dan kita tahu bahawa ahli MT dipilih oleh kita semua untuk menjalankan tugas utama dalam mengurus pertubuhan kita ini.
Amat penting kita menerima badan dan saluran ini kerana ia memberi banyak manfaat kepada kita. Kalau kita tidak menggunakan kemudahan yang kita cipta dan kita adakan ini, maka perjalanan parti tidak mungkin mendatangkan hasil yang maksimum. Untuk menjadi ahli MT, bukan mudah.Kita ada pemilihan dan dalam pemilihan akan ada kegawatan. Dalam pemilihan ada macam-macam cara penggunaan wang dan sebagainya. Kita mengadakan usaha untuk memilih MT kerana kita anggap menjadi ahli MT bukan sebagai satu medal yang boleh kita pakai di dada. Bila jadi ahli MT, dapatlah kita menyuarakan pendapat dari peringkat yang terakhir sekali iaitu peringkat mereka yang boleh melaksanakan sesuatu pendapat itu. Itu tujuannya menjadi ahli MT bukan hiasan, bukan medal atau menepuk dada `akulah ahli MT`. Kita mesti guna MT dengan cara yang cukup baik, cukup bijak dan dengan itu parti kita akan cukup selamat dan parti kita akan berjaya.Sebab itu saya berasa sedih apabila MT tidak digunakan untuk membincangkan perkara yang disebutkan sebagai begitu serius, begitu besar dan begitu berbahaya kepada parti dan negara. Saya tidak mahu mendedahkan apa, tetapi penting saya mengingatkan kepada parti mengenai perlunya menggunakan Perlembagaan parti dan alat yang disediakan dalam parti. Berkenaan dengan soal yang dibangkitkan, seperti nepotisme, kronisme, kapitalisme, reformasi dan lain-lain, sepatutnyalah perkara seperti ini dibawa ke pengetahuan MT. Tetapi rakan-rakan saya tentu akan menjadi saksi kepada perkara sebegini serius dan boleh menjadikan negara kita ini bermasalah besar, tidak pernah disebutkan di dalam MT. Saya sendiri membawa perkara ini ke MT setelah membaca laporan akhbar, bukan dapat laporan sendiri. Saya baca dalam akhbar bahawa teguran yang dibuat mengenai pelaksanaan beberapa dasar kerajaan yang tidak telus. Dalam mesyuarat bulan Mei, saya sudah jelaskan betapa pentingnya kita tidak menghebohkan perkara ini kerana ia hanya memburukkan parti dan negara kita dan ia akan dijadikan isu oleh parti lawan terhadap kita. Kalau tidak digunakan oleh musuh kita di luar negara yang berkata memanglah apa yang dituduh oleh mereka mempunyai asas kerana kita sendiri menyebut perkara itu.
Saya jelaskan kalau ada masalah itu, biarlah kita bincang dan bentangkan dan selesaikan dalam MT yang biasanya bermesyuarat tanpa orang luar hadir bersama. Apa sebab kita tidak membenarkan mesyuarat itu secara terbuka? Kerana kalau kita ada mesyuarat terbuka. Lebih sukar bagi kita melahirkan perkara yang tidak manis didengar. Mesyuarat MT tertutup dan dalam mesyuarat itu kita bebas bercakap dengan lantang kerana tiada sekatan.MT bukan mesyuarat olok-olok. Kita biasa mesyuarat dari jam 9 malam sehingga jam 4 pagi tak berhenti sama sekali kerana kita anggap peranan MT itu begitu penting. Apabila kita menghadapi masalah, kita tidak fikir perkara lain, maka kita sanggup bincang, halusi dengan serius perkara yang perlu diselesaikan di peringkat MT. Sebab itu kita mesyuarat kadang-kadang berjam-jam sehingga kadang-kadang pemberita menunggu sampai pukul 12 tak habis lagi dan ada yang tak tunggu lagi. Tetapi kita tidak lari kerana kita memandang perkara ini sebagai besar sebab itu kita tumpukan kepada perkara yang boleh menyerang parti, negara dan bangsa kita. Kita tunggu dan kita beri peluang kepada semua ahli MT bercakap. Tak ada seorang pun yang tidak dibenar bercakap. Kalau kita perhatikan agenda MT, ia adalah sama saja.
Setiap kali, agenda itu saja, mudah bagi Datuk Sabbaruddin Chik. Agendanya berbunyi begini, pertama berdoa. Yang itu kita serah kepada Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. Kedua ucapan YAB Datuk Seri Pengerusi. Sedap, saya boleh berucap. Ketiga, mengesahkan minit mesyuarat lalu dan keempat perkara berbangkit. Kelima, laporan Jawatankuasa Pengurusan MT, Timbalan Presiden, ada peluang bercakap. Lepas dia, Pengerusi Badan Perhubungan Umno, semua Menteri Besar bercakap. Kemudian Ketua Pergerakan Pemuda bercakap diikuti Ketua Pergerakan Wanita. Seterusnya pengerusi biro-biro pula bercakap. Lepas itu jika ada perkara lain dan ini termasuk di bawah hal-hal lain. Semua mempunyai tempat dan masa dalam agenda, untuk bercakap. Jadi tidak timbul soal tidak ada peluang untuk bercakap. Sebab itu bila ada perkara yang serius dan boleh merosakkan parti, bangsa dan negara kita, waktu itulah kita bercakap. Dan sepertimana pada bulan Mei lalu, bila timbul masalah yang dibangkitkan perkara di luar MT boleh cakap dalam MT. Saya sebut perkara ini supaya kita ada perbincangan dan saya beri peluang untuk berbincang perkara ini agar ada ahli yang bercakap tetapi malangnya Ketua Pergerakan Pemuda tidak bercakap banyak. Hanya sepakat berkata bahawa surat khabar ini melaporkan tidak kena. Bila diberi peluang untuk menggulung, katanya, tidak apa yang dia nak kata kerana kena tekan teruk sangat, katanya. Jadi tak nak cakap. Saya berasa legalah, ingat selesailah. Tapi selepas itu, di luar jadi pula perkara yang sama. Dua hari lepas, perkara ini disebut dalam ucapan pada 18 Jun lepas. Ini bermakna bahawa kita tak sanggup bercakap di dalam dan bercakap di luar. Ini mempunyai kesan yang buruk kepada parti kita. Walaupun duduk atas takhta yang tinggi, taklah sehingga tidak boleh dirapat ahli MT terutama pemimpin parti.
Malah dia dijemput untuk berjumpa dan saya berjumpa.Saya fikir masalah itu selesai tapi tak selesai juga.Saya berpendapat kalau kita dah jadi ahli MT, tak payahlah guna apa-apa jambatan. Kalau tak percaya ahli MT, jumpa dengan saya kerana ini masalah kita. Kita pemimpin parti dan sebagai pemimpin parti kita mesti menjaga parti. Kalau ada yang tidak betul, kita betulkan.Kalau kita pergi di luar, perkara ini tidak akan selesai dan orang yang dituduh akan berasa kecewa, mereka akan rasa bersalah. Tak jawab secara terbuka mereka cakap secara tertutup dan ini merosakkan parti.
Saya minta ahli MT gunakan MT itu. Bercakap supaya ikhlas kerana kita semua sayangkan kepada parti ini.
Apabila kita bercakap dengan nada yang lebih kurang sama dengan nada pengkritik di luar daripada negara kita, ia akan sedikit sebanyak kita memperakui bahawa itu benar. Tahun lepas dalam mesyuarat Umno, siapa yang bercakap berkenaan kronisme, berkenaan nepotisme? Ingat tak? Tak ada. Tak ada seorang pun, kita belum dengar. Kita belum dengar bukan kerana perkataan itu tidak ada.Ada, tetapi belum diguna secara meluas oleh akhbar dan majalah asing. Tetapi hari ini, kita dengar kerana selalunya ia disebut majalah asing. Kita mendapati ada sebuah negara yang mengguna perkataan ini, guna untuk menjatuhkan kerajaan mereka. Mungkin ada asas bagi mereka kerana negara mereka berbeza dengan kita.
Perlembagaan mereka berbeza dengan perlembagaan kita, mereka mempunyai sistem politik dan sistem pemerintahan yang sungguh berbeza dengan kita, sementara di Malaysia ini tidak ada seorang yang boleh menjadi menteri, melainkan ia dipilih sebagai wakil rakyat.
Dalam negara yang berkenaan, yang menjadi menteri, atau presiden atau timbalan presiden bukan dipilih secara langsung oleh rakyat, hanya rakyat yang memilih adalah parti dan parti yang memilih siapa menjadi ahli dewan dan ahli dewan pilih siapa jadi presiden, jadi dengan cara itu mereka tidak ada perhubungan secara langsung dengan rakyat, yang menjadi ahli dewan tidak ada hubungan secara langsung dengan rakyat. Kita dipilih oleh rakyat, kalau tidak dipilih oleh rakyat, macam mana pandai sekalipun tak boleh jadi Perdana Menteri, tak boleh jadi menteri kerana di sini, kita dipilih oleh wakil-wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya oleh rakyat tetapi Dewan Undangan mereka, saya tak tahulah apa namanya kebetulan saya tidak terikut tetapi dewan mereka dipenuhi dengan orang yang dipilih oleh parti dan juga dengan tentera, tentera duduk dalam dewan, berbincang bersama.
Kita tidak ada tentera dalam dewan rakyat kita bahkan tentera tidak dibenar pakai uniform apabila masuk dalam dewan, tidak dibenar sama sekali kerana kita adalah pemerintahan sivil, pemerintahan ala bukan tentera. Oleh kerana itu, jika mereka hendak kepada reformasi, pertukaran bentuk kerajaan supaya kerajaan lebih mencerminkan kehendak rakyat dan bukan segelintir orang yang memimpin parti.
Mereka hendak reformasi secara itu atau cara negara kita membuat reformasi. Saya sendiri sudah cakap mengenai reformasi tetapi reformasi yang saya maksudkan bukan menukar perlembagaan kita, tetapi menukar pemikiran orang Melayu, supaya dapat bentuk satu budaya yang lebih kukuh dengan zaman yang boleh menentukan kita menjadi lebih maju. Itu reformasi, definisi negara, nilai-nilai yang dipegang oleh kita.
Saya tidak kata bahawa kita perlu reformasi dalam sistem politik kita. Bukanlah sistem politik kita tidak ada cacat-cela, (tetapi) ada kecacatannya tetapi ia tidak menjadi begitu serius sehingga kita perlu mendesak diadakan reformasi.
Mungkin dikatakan bahawa reformasi yang dimaksudkan ialah untuk menghapuskan korupsi, nepotisme dan kronisme.Tetapi itu bukanlah reformasi, bukan kita terima perkara- perkara ini sebagai amalan kita, kita kutuk semua ini sejak dahulu lagi.
Sebab itulah kita mengadakan mesyuarat khas untuk menghapuskan politik wang dalam parti kita, kita sudah tahu perkara itu dan kita tolak perkara itu. Kalau kita nak tolak lagi tak perlu reformasi yang perlu ialah kita Jangan kita amalkan ini, jangan kita bercakap tetapi kita buat, tak boleh. Kadang-kadang bukan kita tak tahu, kita hantar orang pergi berjalan sana-sini buat umrah dan sebagainya. Buat apa? Kalau kita nak reformasi cara itu kita tidak akan buat ini.
Soal nepotisme dan kronisme. Telah dijelaskan apa dia nepotisme dan kronisme tetapi perlu diberi jelas secara lebih terperinci. Memberi sesuatu kepada anak sendiri tidak bermakna nepotisme, memberi sesuatu kepada kawan tidak bermakna kronisme. Kalau bagi kepada anak saya duit pergi sekolah apakah itu nepotisme? Saya bagi kepada kawan saya jam tangan, kawanlah ... bukan ahli politik.Kawan juga, bukan kronisme. Tetapi kalau saya mengambil, guna kuasa saya untuk memberi secara yang tidak dibenarkan kepada saudara-mara saya dan kawan-kawan saya, itu memang nepotisme dan kronisme.
Tetapi, kita lihat apakah itu yang kita buat dan dirikan, dengan sebuah negara lain yang mana anak kepada pemimpin dapat segala-galanya, macam-macam yang dia dapat sampai tak ada tempat nak tengok. Kereta nasional dia punya, perniagaan monopoli dia punya, kontrak kapal terbang dia punya, semuanya dia punya, buat jalan pun dia punya, anak kepada orang yang berkuasa.
Hak itu memang kita tafsirkan sebagai nepotisme dan kronisme. Mereka yang berkawan baik, yang rapat dapat hutan balak seratus, seribu atau sejuta hektar. Itu kronisme tetapi adakah benar ini amalan kita dalam negara kita ini?
Sudah tentu kita berikan senarai siapa sebenarnya yang dapat. Kita tau di Malaysia, kita agihkan kekayaan ini kepada seberapa banyak yang boleh supaya tidak ada pilih kasih dalam perkara ini.
Kadang-kadang kita tersalah, Kita manusia biasa, bukan nabi. Kita tersalah, kadang-kadang ada yang mendapat lebih, tapi lebih banyak mana? Kalau tengok senarai itu adakah orang yang dapat berkali-kali semuanya dia dapat? Tidak ada.
Macam-macam orang dapat, ada tiga kali satu orang dapat?. Itupun bukan kerana orang lain tak mau. Kita kena lihat senarai, ada nama yang kita tak kenal langsung, semuanya dapat kerana kita ingin agih kekayaan kepada semua tetapi memanglah ada yang dapat lebih sikit kerana kejayaan dan kemampuan mereka bukan kerana pilih kasih.Tidak. Sebenarnya saya tidak kenal orang ini walaupun datang dari kawasan di Kedah. Dia tunjuk kebolehan, kemampuan, maka kita memberi kepada orang yang boleh. Nak beri pada orang yang tak boleh, tak boleh. Rosak semua.Kesejahteraan kita agih kepada semua yang berhak mendapatnya, ini bukan nepotisme atau kronisme. Sebab itu saya sediakan senarai ini untuk ahli yang patut, lihat, tengok, siapa yang dapat. Adakah semuanya dapat kepada satu orang? Adakah semuanya saya beri kepada anak saya? Saya tak kata dia tak ada company, ada dalam senarai tapi semacam orang lain jugak, sekali ini dapat, saya tak tau dua kali ke, tapi tak ada lebih daripada yang lain, tak dapat lebih besar daripada yang lain, sama saja. Saya minta maaf kepada Ketua Pemuda kerana namanya ada dalam senarai tetapi menjelaskan tadi, bukan dia. Sebenarnya dia meminjamkan namanya sebelum jadi Ketua Pemuda. Tetapi apabila kita dapat senarai itu, apa perasaan kita? Ah, dia pun berkata tetapi dia sama. Macam mana? Makna kata, kita selalu sangka, kita mempunyai prasangka terhadap sesuatu sebelum kita periksa tetapi kalau kita periksa kita akan dapati sangkaan kita itu tidak ada asas sama sekali.
Apabila kita sebut nepotisme dan kronisme, maka kita perlu percaya bahawa tentulah ia berasas kepada satu dua orang dapat segala-galanya, anak orang itu dapat, anak orang ini dapat, anak orang lain tak dapat. Itu sangkaan kita bila kita disebut di Malaysia ini ada nepotisme dan kronisme.
Tetapi kita tahu sekarang bukan satu dua orang itu saja yang dapat. Semua orang yang berkebolehan dapat. Macam- macam orang dapat bukan saja dalam soal penswastaan yang telah diberi senarai, juga hari ini senarai orang yang dapat saham-saham.
Ramai yang dapat saham, tan sri-tan sri, datuk-datuk dapat. Kenapa tan sri dapat, datuk dapat, kita tak dapat? ahli Umno tak dapat? Mereka ini dapat, kerana mereka dilantik sebagai director-director. Jadi yang menjadi director dapatlah. Ada jugak yang dapat saham yang banyak kerana mereka mengadakan perjanjian khas dengan syarikat bukan Bumiputera yang mana syarikat bukan Bumiputera rela memberi banyak saham kepada orang yang akan dilantik sebagai pengerusi atau director dalam syarikat bukan Bumiputera supaya dengan itu syarikat itu diiktiraf sebagai tidak membuat penyusunan semula.
Itu pun nak adil juga dan kita tak tau siapa yang dapat, barangkali Rafidah Aziz tahu, dia ada senarai, itu berkenaan saham. Saham kita bagi kepada banyak orang. Senarai itu, setakat 93 saja. Kalau kita pergi jauh ke belakang ratusan ribu yang dapat, bukan kita hadkan kepada dua tiga orang, kroni atau keluarga peimpin- pemimpin. Tidak. Tujuh belas tahun saya menjadi Perdana Menteri, kalau saya nak bagi kepada keluarga saya, semuanya kaya belaka tetapi saya boleh tunjuk keadaan keluarga saya. Bahkan diskriminasi ditujukan kepada mereka. Kalau mereka minta kepada sesiapa saya tentukan mereka tidak dapat. Anak saya dipilih untuk dicalon sebagai wakil rakyat, saya kata dia tak layak, tak dapat, dapat kat orang lainlah.
Kronime dan nepotisme memang digunakan rakyat asing, untuk membantut, untuk menggagalkan dasar ekonomi baru. Apabila mereka melihat bagaimana kita buat social engineering ini, bagaimana kita dapat menaikkan taraf orang Melayu dan Bumiputera lain maka mereka mendapati sukar untuk menegur apa yang kita buat kerana apa yang kita buat adalah social engineering, menolong yang miskin supaya mereka dapat hidup sama dengan kaum-kaum lain di dalam negara kita.
Sukar bagi mereka untuk menegur tetapi mereka berjaya apabila mereka menyebut bahawa yang untung daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) ini adalah beberapa kawan-kawan pemimpin Umno saja.
Kononnya, setiap kali mereka menyebut orang ini, disebutkan close to the leadership of Umno, bermakna DEB ini menguntungkan dua tiga kerat partnership dan kalau kita tak periksa, tertarik juga kita kerana ada juga orang di Malaysia yang sanggup. Pemimpin parti sosialis pun berkata, hah DEB menguntungkan beberapa orang kawan- kawan pemimpin ataupun orang parti Umno. Tetapi, benarkah DEB menguntungkan cuma beberapa orang saja? Sebenarnya DEB menguntungkan. Kalau kita mengambil kira Perbadanan Nasional Berhad (PNB) saja, enam juta orang Melayu dan Bumiputera mendapat keuntungan daripada DEB. Adakah enam juta ini keluarga ataupun ahli Umno? Ahli Umno 2.7 juta saja. Ini enam juta mendapat saham melalui PNB. Itu saham PNB. Tidak kira saham lain. Kita perhatikan siapa yang mendapat biasiswa daripada Mara saja 140,000. Tak kira JPA, tak kira Petronas, Telekom dan yang lain yang mengeluarkan biasiswa dengan banyaknya. Apakah benar DEB menguntungkan beberapa orang yang berdekatan dengan Umno, pemimpin Umno saja?
Kita perhatikan golongan yang termiskin kita bagi bantuan, macam-macam bantuan kita bantu sehingga kita membina rumah bagi mereka. Saya cabar sesiapa yang boleh membuktikan ada negara-negara lain di dunia ini yang mempunyai program membela rakyat seperti yang kita lakukan. Apakah kita mengabaikan kelas menengah? Tidak perlu. Saya sendiri rasa tidak puas hati mengenai kurangnya kelas menengah di kalangan orang Melayu dan Bumiputera dan kita hendak juga menambahkan bilangan mereka dengan bermacam-macam jenis dana yang kita adakan.Sepanjang masa kita memerah otak untuk menambahkan bilangan kelas menengah. Sebab itu kita tubuh Kementerian Pembangunan Usahawan untuk menambahkan pengusaha dan peniaga sederhana ini dan membekalkan dengan barangan perdagangan supaya dapat membantu Bumiputera meningkatkan kelas menengah. Tak cukup bilangan, kita adakan macam- macam cara termasuk sistem francais yang memberi banyak peluang kepada orang kita memasuki dalam kelas ini.Mereka sanggup. Kita sama-sama bercakap. Saya suruh beberapa kali supaya menambah kelas menengah ini kerana kita anggap kelas menengah adalah satu kelas yang amat penting bagi masyarakat Bumiputera.
Golongan profesional juga kita tambah melalui biasiswa, mengadakan universiti, mengadakan macam-macam latihan, semua ini kita ada. Tidak lupa kita kepada kelas yang termiskin tetapi apakah kita harus berhenti dengan kelas menengah saja. Tentu tak cukup kerana kaum lain mempunyai kelas atasan dan kita semua membuat definisi apa itu kelas menengah. Apakah satu realiti tidak termasuk dalam kelas menengah kerana pendapatannya sudah meningkat kepada RM1 juta setahun.
Kita kena tahu kerana sesetengah daripada orang kita ini memiliki bukan RM1 atau RM2 juta, tapi ratusan juta dan mereka juga boleh ditafsirkan sebagai kelas menengah. Apa salahnya kalau ada orang kita yang mahu jadi kaya.Salahkah? Bagi saya tak salah. Bahkan saya berbangga tengok orang Melayu nak jadi kaya.
Saya seronok, dia beli kapal terbang, beli Mercedes ... kumpul ... apa salahya. Orang kita! Bangsa kita!. Dulu kita semua dok sapu jalan saja. Saya hidup di bawah empat penjajah. Mula-mula British, masa tu saya budak lagi. British sudah menjajah Malaysia. Selepas itu British dikalahkan oleh Jepun. Saya duduk di bawah Jepun. Jepun menyerah Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan kepada Siam, saya dijajah oleh orang Siam. Lepas itu British balik, British Military Administration. Dijajah oleh orang British. Saya melihat bagaimana orang Melayu yang tidak hormat tentera Jepun dipaksa angkat batu, junjung batu kerana tidak hormat dan tidak turut kepada tentera Jepun. Mereka seperti kucing kurap, di sini orang Melayu kena angkat batu, saya melihat dengan mata kepala sendiri. Saya melihat bagaimana seorang tua Melayu yang naik basikal tidak berhenti sewaktu lagu kebangsaan Siam dimainkan. Apabila sudah tamat lagu itu dimainkan, seorang askar Siam tendang dia.
Saya ada masa Empayar British tu. Kita tak ada langsung maruah, kita tidak dibenar buat itu, buat ini. Semuanya dikatakan kita tak boleh. Sebab itu apabila kita boleh, saya berasa bangga walaupun saya tak boleh. Kalau ada orang Melayu jadi doktor bedah, boleh bedah jantung, saya rela dia bedah saya. Tentu dia boleh. Jangan kata sebagai Perdana Menteri, ke mana nak pergi, pergilah ... kerajaan boleh bayar. Saya tak hendak. Saya nak orang Melayu ... bangsa kita! Kalau dia berjaya, kita bangga. Terlebih dahulu, saya minta maaf kerana saya sebut hal ini. Mungkin ada yang kata, niat yang tidak baik terhadap orang yang lain.
Kalau saya kata orang Melayu cantikpun, saya berbangga. Kerana ada bangsa lain yang hodoh. Ini kurniaan Tuhan kepada kita. Kita bersyukur. Apa nak iri hati. Saya dah tua, tak ada orang nak rapat dah. Ini bangsa kita. Kita nak tunjuk kita sama dengan orang lain. Kita tak lebih daripada orang lain. Jadi kalau ada orang kita yang kaya, yang menjadi billionaire, apa sebabnya yang kita harus iri hati.
Penswastaan bukannya bertujuan nak adakan billionaire. Tidak! Sebabnya kita adakan penswastaan, kerana kerajaan tidak ada wang, tak ada duit sedangkan negara bangun dengan pesat, perlu banyak infrastruktur, jalan yang baik, lapangan terbang, mendirikan pelabuhan, penjana letrik dan sebagainya. Tetapi kerajaan terpaksa menunggu kutipan cukai yang datang dengan sedikit kerana rakyat tidak begitu kaya. Kalau kita tambahkan atau naikkan cukai, rakyat bising, tidak mahu bayar cukai lebih. Pernas dulu tak pernah untung. Syarikat kerajaan jarang sekali untung. Ia selalu rugi dan kadang-kadang penipuan berlaku juga. Apabila kita mengadakan syarikat kerajaan maka mereka akan mengambil kawasan balak. Rakyat minta kawasan balak tak dapat kerana syarikat kerajaan hendak. Tentulah kita beri kepada syarikat kerajaan. Mungkinkah kerajaan ambil dan rugi, tak pernah untung, saya tahu ... sudah tentu kita suka nak adakan kemudahan infrastruktur ini seperti jalan, pelabuhan dan sebagainya, bekalan elektrik, telefon, kita naklah serahkan kepada sektor swasta kerana mereka lebih mampu, memanglah mereka bekerja lebih kuat kalau daripada hasil kerja itu boleh dapat. Tapi dalam kerajaan, gaji banyak itu juga tak boleh lebih daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN). Pasal itu mereka malas nak kerja sebab pukul empat tutuplah. Tapi bila dah jadi jutawan, lainlah lagak dia. Cerita mengenai orang yang kalau harta dia punya dia junjung.Kalau harta orang dia cubit aje. Dia tak kerja kuat kalau bukan dia punya harta tapi apabila bagi kepada dia, dia punya. Itu tabiat manusia.
Apabila kita sukakan, maka kita guna sifat yang ada pada manusia untuk jayakan projek swasta ini dan kita dapati apabila ada penswastaan maka memang benar mereka berjaya. Orang yang memang kita tidak sangka ada kebolehan mengendali syarikat gergasi, tiba-tiba apabila sudah menjadi milik mereka, mereka ke sana sini bekerja siang dan malam dan dapat menjayakan projek ini serta macam-macam lagi yang diserahkan kepada mereka.
Dulu kita nak bina jalan dari Kedah sehingga ke Johor, tetapi enam tahun baru satu pertiga daripada jalan itu siap. Apabila kita serah kepada swasta dalam masa yang agak singkat ia telah siap. Sebab ia dipercepatkan ialah kerana kalau kita siap, baru dapat duit. Kerajaan tak apa, tak siap lagi 10 tahun pun kalau dapat duit pun dapat kepada kerajaan bukan dapat kepada orang yang membina. Sebab itu kita swastakan tak payah guna duit kerajaan, bahkan kita dapat jual projek itu dan kita dapat balik wang yang boleh digunakan untuk lain-lain tujuan, termasuk buat jalan yang tidak kena tol dalam kampung, barulah ada duit. Sebab itu kita pilih projek penswastaan, tetapi kalau kita nak swasta dan kita dapati ada Bumiputera yang mampu ambil alih, apakah harus kita kata jangan bagi kepada mereka kerana kalau bagi, mereka akan jadi kaya. Itulah sikap yang kita nak? Kalau mereka boleh, kita serah kepada mereka kerana dengan menyerah kepada mereka, maka matlamat DEB itu akan mudah tercapai.Kalau mereka kaya kerana penswastaan, apa salahnya.Salahkah kalau Melayu jadi kaya? Kita boleh melihat orang lain jadi kaya, mengapa tidak bangsa kita tidak boleh menjadi kaya?
Apakah orang Melayu yang jadi kaya itu menghulur derma sepanjang masa kepada kita? Tidak juga. Orang yang jadi kaya ni apabila minta derma, dia menghulurkan derma. Kita boleh minta senarai derma mereka. Tanyalah isteri saya ketua Bakti. Tak berhenti orang hantar duit. Tak payah buat kempen, duit datang begitu saja. Kerana selalu bagi duit, kayalah sikit. Tetapi apa sebabnya yang kita berasa bahaya dengan penswastaan ini orang lain menderita. Katalah orang kaya ini tidak begitu memberi perhatian kepada tanggungjawab sosial mereka.
Kita boleh betulkan mereka. Kita boleh panggil mereka dan kita beritahu mereka tolong jangan buat macam ni.Tidak baik. Kami dapat duit daripada kamu, dermakan kepada orang ramai. Tetapi janganlah kerana satu dua orang, maka kita hentikan penswastaan yang membawa banyak manfaat, pembangunan dan sebagainya kepada negara kita.Kalau kita buat demikian, samalah dengan orang yang kerana seekor nyamuk, bakar kelambu. Kelambu terbakar, dia hangus terbakar. Itulah yang terjadi kepada kita apabila didorong oleh perasaan iri hati, benci dan sebagainya. Kita kata mereka tidak bertanggungjawab terhadap tanggungjawab sosial mereka. Benar ke? Apakah kita tidak membuat kajian siapakah sebenarnya yang menjadi mangsa ini? Saya tidak tahulah benda ini benar atau tidak. Tetapi bagilah tahu supaya kita boleh betulkan. Umno, bukan macam parti lain, bukan DAP. Boleh menjerit, tapi Umno tak dengar, kita buat pekak telinga dan jeritlah banyak manapun. Tak jadi apa. Tetapi dalam Umno ini, bisik sahajapun cukup.
Kadang-kadang saya tak bacalah surat tapi kerap kali bila ada masa saya baca, saya ambik tahu. Baru-baru ini, ada seorang wanita yang membuka restoran menulis sama ada dia boleh bekalkan jemaah haji atau tidak. Dia bagi contoh kepada saya, saya nak makan semua tidak bolehlah, tapi saya makan juga sikit. Saya tulis surat kepada dia tidak boleh buat macam ni, kena tukar sikit cara kalau nak bagi kepada jemaah haji. Orang nak buat haji ni nak makan berhari-hari mana boleh, takkan boleh makan makanan tin. Saya tulis surat sendiri kepada dia. Tak tahulah kalau dia dapat atau tidak. Saya pergi tengok kedai dia. petang saya pergi keliling dengan Pajero saya, saya tengok apa yang berlaku di Kuala Lumpur. Hari Rabu, semuanya masuk dalam buku, buku nota ini. Tanya ahli-ahli Kabinet, kalau saya keluar saja buku ini, masing-masing dah berdebar. Kalau ada kementerian yang tidak menjalankan tugas, yang dicatit dalam buku ini saya tegur. Yang dia takut tak tahu lah pasal apa. Sebenarnya, saya baca surat khabar kalau hari Rabu keluar artikel berkenaan mana-mana kementerian, siaplah. Dua jam mesyuarat Kabinet ditumpukan kepada perkara-perkara ini.Kalau nak tau apa dalam ini tak payah tanyalah, tetapi macam-macam ada.
Apa saja arahan kepada menteri-menteri supaya mereka meneliti secara terperinci semua dasar kerajaan dan pelaksanaan dasar-dasar itu. Kita bagi arahan kepada mereka supaya pemerintahan Malaysia ini adalah pemerintahan hands on. Dengan itu kita tidak jadi menteri buat dasar dan balik makan saja. Menteri mestilah turun ke bawah tengok tempat orang, jadi tak jadi. Kalau tak dapat pergi, kita minta laporan bukan saja secara bertulis, tetapi disokong dengan gambar. Kalau ada projek, sekolah, jalan atau apa-apa yang tak cukup, mereka kata Umno sudah bagi arahan. Kita nak dapat laporan secara bertulis dengan gambar. Itu kita percaya. Kadang-kadang apabila kita tengok sendiri, kita terkejut. Jalan yang tidak pernah ada tar, tiba-tiba ada tar.Banyak orang kampung beritahu pada saya datanglah ke kampung. Bila nak datang, tiba-tiba jalan yang tidak bertar ada tar. Tak tau peruntukan datang dari mana. Itu cara pemerintahan kita. Bukan kita abaikan sesiapa.Daripada yang semiskin-miskinnya kepada yang kaya jangan kata kerajaan tak pernah tolong. Tentang soal veteran ni ada salah faham. Ia bermula dengan tawaran yang datang daripada Tun Ghafar (Baba). Dia datang jumpa saya dan meminta supaya dalam keadaan kegawatan ekonomi ini, bolehkah dia tolong memberi penjelasan kepada rakyat, itu saja yang diminta olehnya. Kita tahu Tun Ghafar ini bahasanya lebih mudah difaham oleh orang kampung daripada bahasa Timbalan Perdana Menteri. Saya fikir, saya cakap dengan orang kampung, dia lebih faham lagi, tapi dia (Anwar) bahasa tinggi sangat. Saya dan Tun Ghafar guna bahasa biasa dan dia nak tolong, takkan kita nak kata tak boleh, dia dah veteran duduk di rumah sudahlah. Berapa kali saya nak cakap dalam dewan ini, terima kasih kepada orang lama yang hadir bersama, Kak Esah (Tan Sri Aishah Ghani) tidak pernah ketinggalan. Tugas mereka adalah untuk menolong dan bukan untuk membentuk kita pula. Soal dasar ditentukan oleh Majlis Tertinggi, oleh kita sendiri di sini. Perpaduan kita amat penting sekali kerana kita betul-betul diancam oleh orang asing. Percayalah, orang asing yang kita hadapi sekarang akan merosakkan kita. Mereka yang menyebabkan kegawatan ekonomi, bukan pemerintahan kita dan bukan pemerintahan Indonesia yang menyebabkan ekonominya jatuh dengan begitu serius.
Yang menyebabkan kegawatan dan kejatuhan nilai mata wang adalah pedagang mata wang dari Barat ini. Mereka menyebabkan keadaan ini kerana mereka mendapat keuntungan. Apabila mereka membuat ini, jatuhkan nilai- nilai saham kita, sehingga banyak yang lebih rendah daripada saham asal dan daripada harga saham yang ditawarkan.
Sebagai mengakhiri ucapan, sukalah saya menyatakan setinggi-tinggi penghargan kepada semua perwakilan yang mengikuti perbahasan selama tiga hari suntuk dengan penuh teliti. Jurucakap-jurucakap yang mengambil bahagian dalam perbahasan ini dengan mengemukakan pelbagai pendapat, teguran dan cadangan akan diberi perhatian sewajarnya. Persidangan kita tidak dapat berjalan dengan licin dan lancar tanpa persiapan yang dibuat oleh ibu pejabat.
Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan kakitangan yang terbabit persidangan ini. Begitu juga diucapkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tan Sri Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap yang memandu persidangan ini dengan bijaksana dan mengikut kehendak perwakilan (tapi sebenarnya mengikut kehendak dia). Kita akan bersurai dan perwakilan akan pulang ke kawasan masing-masing. Semasa perjalanan saya minta berhati-hati supaya semuanya selamat dan kita dapat bertemu sekali lagi pada perhimpunan agung tahun depan.
sumber :
www.pmo.gov.my/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment