Ucapan Dr Mahathir Mohamad Di Majlis Pelancaran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dan Perasmian Kongres "Menjelang Abad 21: Islam Dan Wawasan 2020"
Tarikh : 03/07/1992
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh;
Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya ke Majlis Pelancaran Institut Kefahaman Islam Malaysia dan perasmian Kongres "Menjelang Abad 21: Islam dan Wawasan 2020", yang dianjurkan sempena pelancaran Institut ini.
2. Institut Kefahaman Islam Malaysia telah disyorkan kerana terdapat banyak kekeliruan di kalangan orang Islam dan bukan Islam mengenai agama Islam sehingga berlaku salahfaham dan sengketa bukan sahaja di antara orang Islam dengan bukan Islam tetapi juga di antara orang Islam dengan orang Islam.
3. Sama ada kita suka atau tidak, ramai bukan Islam yang berpendapat bahawa Islam adalah agama yang dikait rapat dengan kemunduran, kemiskinan dan kelemahan. Kebelakangan ini pula Islam sering dikaitkan dengan keganasan dan irrationaliry iaitu tindakan atau pemikiran yang tidak berprinsip.
4. Kita kecewa dengan pandangan serong terhadap Islam dan orang Islam. Tetapi hakikatnya ialah orang Islam dan negara-negara Islam memang ketinggalan, lemah dan bergantung kepada negara asing dan orang asing untuk berbagai-bagai keperluan hidup di dunia moden ini. Di masa yang sama orang-orang Islam sukar bekerjasama dan bersepakat. Mereka mudah membiarkan diri mereka diperalatkan untuk kepentingan asing. Mereka juga tidak mampu dan kadang-kadang tidak mahu menolong sesama sendiri. Perpecahan dan permusuhan antara mereka jelas terlihat dan mereka sering bersengketa sesama sendiri.
5. Pemerintahan negara-negara Islam di zaman ini biasanya lemah, ketinggalan, dan kerap kucar-kacir dan tidak tertib. Tidak ada negara Islam yang boleh dianggap sebagai kuasa besar yang disegani oleh dunia. Semua negara Islam dianggap sebagai negara membangun walaupun ada yang kaya raya. Ini adalah kerana daripada segi teknologi dan kecanggihan, negara Islam tidak berkemampuan.
6. Tetapi keadaan ini bukanlah selalunya begitu. Islam dan umat Islam telah melalui zaman-zaman kegemilangan yang panjang, di waktu mana orang Islam, agama Islam dan negara-negara Islam dihormati dan dimuliakan. Kita tahu dari sejarah bahawa selepas wafat Nabi Muhammad S.A.W. penganut Islam telah mara dari semenanjung Arab ke Utara, Timur dan Barat. Dalam jangkamasa yang pendek mereka telah berjaya mengembangkan Islam dari Sepanyol di Barat hingga ke negeri China di Timur.
7. Sebuah empayar yang terbesar dalam sejarah dunia telah didirikan oleh orang Islam melalui tindakan dakwah, ketenteraan dan pemerintahan yang cekap. Negara-negara Islam muncul dan terkenal dengan tamadun yang tinggi dan canggih.
8. Di wilayah-wilayah Islam terdapat cerdik-pandai yang cekap dalam bidang pentadbiran, pembangunan, pertanian, industri, kejuruteraan, pertahanan, ilmu sains dan hisab tinggi, ilmu falak dan pelayaran, perubatan dan bermacam-macam lagi ilmu selain daripada agama Islam, hukum-hukum dan tafsirannya.
9. Institusi-institusi pelajaran tinggi bertaburan dari Sepanyol hingga ke Asia Tengah, lengkap dengan khutub-khutub dan makmal. Ilmu-ilmu lama dari tamadun yang telah luput seperti Greek dan Rome dikaji, ditokok-tambah dan dibukukan secara teratur.
10. Orang daripada suku-kaum Turki di Asia Barat dan Asia Tengah telah menerima agama Islam dan sekali lagi mereka telah menjadi bangsa yang maju dan dapat memperluaskan wilayah Islam ke Eropah Timur. Wilayah yang ditadbir oleh mereka dibangunkan dengan pesat, lengkap dengan jalan-jalan, saluran air, bangunan, tembok dan menara, pusat membeli-belah, rumah tumpangan dan berbagai-bagai lagi kemudahan yang menandakan tamadun yang tinggi.
11. Kemudian satu persatu wilayah-wilayah Islam ini jatuh ke tangan bangsa Eropah. Sepanyol direbut balik oleh bangsa Sepanyol dan Eropah Timur oleh bangsa-bangsa di situ. Di Asia Tengah negara-negara Islam yang diduduki oleh suku-kaum Turki dan Parsi telah jatuh ke tangan Russia.
12. Akhirnya semua wilayah Islam ditakluki oleh kuasa Barat. Hanya yang tinggal ialah Turki dan padang pasir yang mengelilingi Mekah dan Madinah.
13. Soal yang perlu ditanya ialah kenapakah sebuah empayar yang begitu besar dan kuat akhirnya menjadi lemah dan ditakluki oleh orang lain? Apakah bezanya di antara orang Islam dalam abad-abad selepas wafat Nabi Muhammad S.A.W. yang begitu berjaya mengembangkan wilayah dan ajaran Islam serta menguasai berbagai-bagai ilmu dinia, dengan orang Islam yang datang kemudian yang tidak dapat mempertahankan wilayah-wilayah yang mereka warisi, kurang berilmu dan lemah dalam serba-serbi?
14. Kita yakin bahawa penganut-penganut agama Islam dari zaman Nabi Muhammad S.A.W. dan abad-abad yang berikut memiliki semangat keislaman yang tulin. Di samping itu ajaran Baginda masih terang dan jelas dalam hati mereka. Tidak ada kekeliruan di kalangan mereka tentang ajaran Islam kerana belum ada pentafsir-pentafsir yang berpolemik tentang hukum-hukum Islam dan lain-lain ajaran Islam.
15. Agama Islam pada zaman itu adalah agama yang mudah yang tidak membebankan penganutnya dan sudah tentu tidak menghalang kemajuan mereka. Ajaran bahawa dunia dan kemajuan di dunia tidak penting tidak menakluki fikiran orang Islam di abad-abad awalan Islam berkembang. Justeru itu mereka berusaha menguasai semua ilmu dan mengejar kebahagiaan di dunia. Hasilnya ialah satu tamadun yang mengimbangi dunia dan akhirat. Kejayaan orang Islam dalam semua bidang ilmu, serta kecekapan dan kemajuan mereka adalah begitu tinggi sehingga mereka dapat mengusai penganut-penganut agama lain.
16. Oleh kerana umat Islam cekap dan pandai dan dapat mendirikan negara-negara yang kukuh dan kuat maka agama Islam dan orang Islam dihormati. Bagi orang Islam dakwaan bahawa agama Islam adalah agama yang benar mudah diterima. Walau bagaimanapun bagi orang yang bukan Islam dakwaan oleh orang Islam tidak mempunyai kesan. Yang berkesan kepada mereka ialah kelihatan secara nyata bahawa penganut-penganut agama Islam jelas maju, kuat dan cekap dalam bidang-bidang yang mereka sendiri menceburi. Demikian kejayaan tentera Islam menewaskan tentera bukan Islam lebih menyakinkan mereka akan kebesaran Islam daripada dakwaan bahawa orang Islam yang kalah, mati syahid dan memperolehi kemenangan.
17. Ada daripada kalangan orang Islam yang berpendapat sama ada orang lain menghormati orang Islam atau agama Islam tidak penting. Yang penting ialah iman orang Islam dan akhirat.
18. Bagi mereka yang terlindung daripada tekanan orang asing pandangan ini mungkin mudah diterima. Tetapi hari ini ramai orang Islam di seluruh dunia yang ditindas dan ramai juga yang dipisahkan daripada gama mereka, sedangkan tidak ada satu pun negara Islam yang mampu memberi perlindungan atau pertolongan.
19. Penghormatan orang bukan Islam terhadap agama Islam adalah penting, kerana ia akan menjamin penindasan tidak akan berlaku kepada umat Islam. Dan orang Islam pula tidak akan mudah kecewa, dan dengan itu tidak akan mudah dipisahkan daripada agama mereka. Walau apapun hasil daripada penghormatan kepada agama Islam, hakikatnya ialah tidak ada sesiapa yang suka agama mereka dipandang rendah dan dihina.
20. Jika Islam pada satu masa dahulu dapat membawa tamadun yang gemilang, apakah Islam pada hari ini tidak mungkin mewujudkan sekali lagi satu tamadun yang sama kegemilangannya? Mereka yang berfikiran waras tentu yakin bahawa ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Pencapaiannya sudah tentu tidak mudah. Sudah tentu ia akan mengambil masa. Tetapi sesuatu maktlamat itu tidak akan tercapai tanpa permulaan. Segala-galanya bermula dengan langkah pertama.
21. Setiap orang Islam tentu berminat mengembalikan zaman kegemilangan Islam. Masalahnya ialah bagaimana kita dapat menjayakan matlamat ini. Sudah tentu jika kita teruskan amalan sekarang, jika kita tidak mengambil usaha tertentu ke arahnya, kejayaan tidak akan datang dengan sendirinya. Sebaliknya, besar kemungkinan kita akan ditinggal lebih jauh di belakang.
22. Langkah pertama yang perlu diambil ialah menentukan matlamat, iaitu mendefinasikan apa yang dimaksudkan dengan kemajuan dan kegemilangan. Walaupun terdapat banyak negara yang ditakrif sebagai negara maju, kita juga tahu bahawa kemajuan mereka daripada segi intelek dan fizikal telah diiringi dengan keruntuhan moral dan akhlak yang ketara. Sudah tentu ini bukanlah contoh kemajuan dan kegemilangan yang kita harus kejar.
23. Namun kita masih perlu mengimbangi negara-negara maju daripada segi penguasaan berbagai-bagai ilmu, iaitu kecekapan dalam bidang-bidang sains dan teknologi, ciptaan, perubatan, pentadbiran, sosial, ekonomi dan politik dan lain-lain bidang yang boleh menjadikan negara Islam kukuh, kuat dan mampu menangkis segala ancaman. Dan kita perlu imbangi negara-negara maju dalam bidang-bidang ini tanpa keruntuhan moral dan akhlak dan pegangan kita kepada agama kita.
24. Pemerintahan Islam yang cekap adalah sesuatu yang amat penting dalam membawa kejayaan dan kemajuan. Di zaman empayar Islam pemerintahan yang kemas dan adil terbukti. Rakyat yang terdiri daripada bukan Islam bukan sahaja menerima pemerintahan Islam tetapi orang Yahudi, apabila ditindas oleh masyarakat Kristian di Eropah, sering melarikan diri ke negara-negara Islam. Mereka tahu mereka akan dapat keadilan dan tidak akan menghadapi pogrom iaitu pembunuhan beramai-ramai yang kerap dilakukan terhadap orang Yahudi di beberapa negara Eropah.
25. Justeru itu ilmu pemerintahan perlu dikaji supaya negara Islam akan mendapat pemerintahan yang adil dan kemas. Keadilan kepada semua kaum dan penganut agama harus menjadi budaya pemerintahan Islam. Pemerintahan Islam hendaklah berusaha supaya negara mencapai kemajuan yang pesat yang boleh menandingi negara maju yang lain. Namun soal ketertiban, akhlak dan nilai hidup yang mulia yang sesuai dengan ajaran Islam tidak boleh diabadikan. Budaya dan tamadun negara Islam mestilah mengimbangi pembangunan rohani dengan pembangunan material.
26. Imbangan di antara dunia dan akhirat mesti mempengaruhi setiap yang dilakukan oleh Islam. Dunia tidak boleh ditolak kerana mementingkan akhirat dan akhirat juga tidak boleh ditolak kerana keperluan dunia. Kedua-duanya mesti diberi penghargaan yang sama.
27. Usaha ke arah mengembalikan zaman kegemilangan Islam itu sendiri patut dianggap sebagai satu tanggungjawab yang mulia. Kejayaan ke arah matlamat ini harus dianggap sebagai ganjaran dan balasan. Jika dalam proses ini, diri sendiri mendapat sesuatu, ini adalah kebetulan sahaja dan bukan matlamat. Sebenarnya jika negara Islam maju semua pihak akan mendapat nikmat.
28. Untuk mencapai matlamat ini kajian-kajian mesti dibuat mengenai agama Islam, sejarah dan tamadun Islam dan asas-asas pencapaian umat Islam di zaman dahulu. Kajian yang hendak dibuat mestilah ikhlas tidak dipengaruhi oleh sentimen dan bias yang terdapat di kalangan umat Islam sekarang. Kenyataan mesti diterima dan khayalan disingkirkan. Tidak ada manfaat yang akan diperolehi dengan mendakwa bahawa walaupun umat Islam sekarang ini kelihatan tidak maju dan lemah tetapi sebenarnya mereka maju dan gagah. Demikian juga tidak ada faedahnya mendakwa bahawa walaupun orang lain kelihatan maju dan kuat tetapi mereka sebenarnya mundur dan lemah. Penipuan diri tidak ada tempat dalam kajian yang bernilai.
29. Hanya dengan kajian yang jujur dan tindakan yang berilmiah serta berpandukan kenyataan barulah sesuatu dapat dibuat untuk mengembalikan zaman kegemilangan Islam.
30. Saya berharap Institut Kefahaman Islam akan memainkan peranan yang utama dalam usaha memulih semula keagungan Islam, umat Islam dan negara Islam.
31. Untuk tujuan ini tafsiran-tafsiran yang berbeza-beza dan mengeliru serta melemahkan orang Islam perlu dikaji semula dengan teliti supaya dapat diperbetulkan. Sejarah Islam juga perlu didalami supaya kita akan mendapat iktibar daripadanya.
32. Para ilmuan yang akan menyelidik bidang-bidang tertentu di Institut ini perlu mempunyai fikiran yang terbuka dan berani menyoal pandangan-pandangan yang orthodox. Yang mesti diutamakan ialah kebenaran dan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. Ajaran yang ditafsir dan direka oleh mereka yang datang kemudian tidak boleh dianggap sebagai setaraf dengan ajaran Nabi Muhammad S.A.W. dan dengan itu boleh diulas dan diselidik serta digugurkan jika didapati bercanggah dengan Al-Quran dan ajaran Nabi Besar kita.
33. Usaha ke arah ini tidaklah mudah. Tentangan hebat akan datang daripada mereka yang benar-benar percaya bahawa apa yang mereka percaya dan yang mereka ajar adalah benar dan tidak boleh disoal. Sebarang keraguan terhadap apa yang dipercayai oleh mereka akan dianggap oleh mereka sebagai bertentangan dengan akidah. Demikian apabila sesuatu yang baru yang mungkin diasaskan kepada kebenaran sains diutarakan, maka mereka menuduh bahawa ia tidak benar kerana bercanggah dengan apa yang sudah mereka percayai. Bahawa dunia ini adalah bulat seperti bola, bahawa langit dan bintang adalah lebih jauh daripada yang mereka anggarkan, bahawa manusia boleh ke bulan, semuanya ditolak dahulu tetapi akhirnya diterima. Hanya kerana yang nyata ini diterima tidak menidakkan kebenaran ajaran Islam. Ia hanya menidakkan tafsiran dan pengertian ulama Islam yang terdahulu.
34. Dengan peredaran zaman banyak lagi perubahan pendapat yang mesti dilakukan. Tafisran-tafsiran yang lama mungkin didapati tidak lagi sesuai dengan kenyataan. Banyak lagi perkara dan kebolehan yang sekarang dianggap ajaib dan mustahil akan menjadi kenyataan umum dan biasa. Tetapi agama Islam terus relevan dan tepat. Yang salah bukannya agama tetapi pentafsir agama.
35. Justeru itu Institut Kefahaman Islam ini tidak harus bimbang akan tentangan terhadap kebenaran yang akan mereka temui dan penyelidikan mereka mengenai agama Islam dan amalan-amalan serta kepercayaan-kepercayaan umat Islam sekarang. Asalkan tidak ada niat yang lain daripada mencari kebenaran demi memajukan agama, uamt, dan negara Islam, agama Islam tidak akan tercemar dengan kajian-kajian yang dibuat.
36. Sempena perasmian Institut Kefahaman Islam, Kongres "Menjelang Abad 21: Islam dan Wawawan 2020" diadakan. Tajuk Kongres ini adalah tepat sekali. Negara dan umat Islam perlu membuat persediaan untuk Abad Ke 21 iaitu hanya lapan tahun lagi. Sebagai persediaan untuk abad ke-21 negara telah membentuk satu wawasan yang diharap dapat dicapai menjelang tahun 2020.
37. Matlamat negara ialah supaya pada tahun 2020 kita akan menjadi sebuah negara maju. Takrif maju sudahpun dijelaskan. Ia tidak bermakna pembangunan material yang membelakangkan kerohanian. Matlamat kita ialah sebuah negara maju daripada segi ilmu, kecekapan dan kekayaan tetapi yang tidak kehilangan moral dan pegangan kepada ajaran agama.
38. Malangnya ada pihak yang kononnya menekan wawasan akhirat. Sebenarnya Kerajaan dan masyarakat Islam di Malaysia tidak pernah mengenepikan akhirat. Tetapi akhirat mesti diimbangi dengan dunia. Kehidupan umat Islam dalam kehinaan di dunia tidak akan menjamin kebahagiaan di akhirat. Sebaliknya mereka yang dapat menumpukan kepada akhirat banyak bergantung kepada kebahagiaan hidup di dunia ini, hasil daripada usaha pihak lain.
39. Adalah diharapkan dalam Kongres pertamanya ini Institut Kefahaman Islam akan membuahkan fikiran yang boleh menghapuskan syak wasangka dan salah faham pihak tertentu yang cuba menghalang pembangunan umat Islam dan negara Islam, Insya-Allah.
40. Dengan doa dan harapan bahawa Institut Kefahaman Islam ini dan Kongresnya yang pertama akan mencipta sejarah baru dalam mengembalikan zaman kegemilangan Islam, saya dengan sukacitanya melancarkan Institut Kefahaman Islam serta merasmikan "Kongres Menjelang Abad 21: Islam dan Wawasan 2020".
sumber :
www.pmo.gov.my/
No comments:
Post a Comment