Thursday, September 8, 2011

Ucapan Dr Mahathir Mohamad DI MAJLIS PERASMIAN MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN

Ucapan Dr Mahathir Mohamad DI MAJLIS PERASMIAN MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN
PERINGKAT KEBANGSAAN,


TAHUN 1983/1403

Lokasi : KUALA TRENGGANU
Tarikh : 28-05-1983

Bismillahir rahmanir rahim.

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Mulia Dato' Seri Pengerusi; Yang Amat Berhormat Dato Haji Wan Mokhtar, Menteri Besar Trengganu; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.

Alhamdullillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat saya bersama-sama hadir di majlis perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang bahagia ini. Sebagai majlis yang ke 25, mungkin muslimin-muslimat di negara kita mengharapkan acara Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan ini disambut dengan besar-besaran. Tetapi, dalam keadaan ekonomi yang lembab, di mana segala perbelanjaan perlu dibuat dengan jimat, upacara ini juga terpaksa dibuat dengan sederhana sahaja.

2. Kepentingan Musabaqah Membaca Al-Quran tidak bergantung kepada cara sambutannya. Yang lebih penting ialah kesannya terhadap umat Islam dan negara. Kesan yang diharapkan ialah kefahaman umat Islam tentang maksud dan ajaran Al-Quran, dan minat umat Islam untuk meningkatkan lagi kefahaman ini, serta mengamalkan hukum, prinsip dan nilai-nilai yang dianjurkan oleh Islam.

Saudara-saudari muslimin-muslimat sekelian,

3. Semenjak dua tahun yang lepas, Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan telah bergilir-ganti ditempatkan di negeri-negeri. Setelah diadakan di Negeri Sembilan dan Negeri Perak, kali ini Negeri Trengganu pula telah mendapat penghormatan menjadi tuan rumah kepada majlis yang mulia ini. Bagi pihak diri saya, saya merasa sukacita sekali dengan keputusan untuk mengadakan Musabaqah Peringkat Kebangsaan kali ini di Negeri Trengganu.

4. Negeri Trengganu adalah salah sebuah negeri di Semenanjung yang hampir keseluruhan penduduknya beragama Islam. Trengganu sememangnya mempunyai sejarah yang penting dalam perkembangan agama Islam di Nusantara ini. Penemuan Batu Bersurat membuktikan bahawa Negeri Trengganu merupakan salah satu tempat di mana Islam mula-mula berkembang di negara kita. Tidak hairanlah kiranya terdapat ramai pula tokoh-tokoh agama yang penting yang tercatit di dalam sejarah negeri ini. Oleh itu, majlis kita ini juga bolehlah dikatakan sebagai satu majlis bagi menghormati Negeri Trengganu sebagai pusat perkembangan Islam, tokoh-tokoh Islamnya, dan usaha-usaha gigih yang dibuat oleh Kerajaan Negeri ke arah kemajuan agama Islam.

5. Walaupun Negeri Trengganu merupakan sebuah negeri yang hampir semua penduduknya beragama Islam, dan usaha-usaha ke arah kemajuan agama Islam sentiasa mendapat keutamaan yang tinggi, malangnya terdapat juga kurang persefahaman di kalangan segelintir umat Islam di tempat-tempat tertentu hingga mengakibatkan berlakunya perpecahan rumah tangga, permusuhan, fitnah-memfitnah dan kafir-mengkafir. Keadaan ini seharusnya tidak berlaku, dan malang sekali bagi umat Islam di negeri ini kerana perkara ini tidak diberi perhatian yang serius oleh setengah-setengah pihak yang kononnya memperjuangkan kepentingan Islam. Dalam kita berusaha ke arah menegakkan syiar Islam di negara kita, di mana penduduk Islam hanya merupakan kira-kira lima puluh peratus sahaja, gejala-gejala yang tidak sihat dan merbahaya ini hanya melemahkan usaha-usaha ke arah memperluaskan pengaruh agama Islam di negara kita.

6. Walaupun umat Islam berbangga dengan apa yang dianggap sebagai kesedaran baru di kalangan umat Islam di seluruh dunia, hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah umat Islam berpecah-belah, bersengketa sesama sendiri sehingga terus berperang. Berpuluh ribu orang Islam telah mati kerana peperangan antara orang Islam dengan orang Islam. Di negara kita sendiri, walaupun peperangan tidak berlaku tetapi usaha untuk memecah-belah orang Islam sedang dipertingkatkan. Usaha ini disembunyi di belakang apa yang dikatakan perjuangan untuk Islam. Kegiatan ini tidak ada di zaman dahulu di waktu peluang untuk merebut tempat dan kuasa tidak diberi melalui sistem demokrasi. Dahulu semua orang Islam di Malaysia bersatu-padu sehingga dapat mereka melawan penjajah untuk merebut kemerdekaan. Tetapi sekarang segala usaha untuk mengekal perpaduan dan mengguna kuasa yang dimiliki oleh orang Islam untuk mengukuhkan kedudukan dan ketahanan orang Islam sudah terganggu. Kesedaran baru orang Islam sebenarnya bukan kesedaran tetapi merupakan satu keangkuhan di kalangan satu golongan yang cuma melihat peluang bagi diri sendiri, baik di dalam negara kita atau di seluruh dunia Islam.

7. Islam meletakkan perpaduan dan persaudaraan di kalangan umatnya di peringkat yang tertinggi sekali. Itulah sebabnya Islam sangat-sangat melarang sesuatu golongan memandang rendah golongan yang lain, dan melarang seseorang melemparkan tuduhan kepada seseorang yang lain tanpa bukti dan tanpa saluran yang ditentukan. Demikianlah pula Islam menganjurkan cara hidup berbaik-baik, hormat-menghormati dan saling membantu sekalipun dengan mereka yang bukan Islam. Sebenarnya prinsip-prinsip Islam yang mulia inilah yang telah menarik ramai pengikut kepada Rasullullah s.a.w. Bukan sahaja orang-orang yang tertindas tertarik mencari perlindungan di bawah naungan Islam, malahan seteru Islam yang ketat pun, kerana kagum dengan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh Rasullullah s.a.w., telah turut menjadi pengikutnya dan berjuang bermati-matian kerana Islam. Prinsip-prinsip Islam yang tinggi ini jugalah yang telah membawa Islam ke seluruh pelusuk dunia. Hinggakan hari ini umat Islam merupakan satu umat yang terbesar di dunia dari segi bilangannya.

8. Walaupun prinsip-prinsip Islam merupakan prinsip-prinsip yang begitu tinggi nilainya, sejarah Islam dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa Islam sentiasa mempunyai musuh-musuhnya yang terdiri dari mereka yang menggugat prinsip-prinsip murni ini. Telah timbul mereka yang pernah menganggap diri mereka sebagai Nabi, sebagai Imam Mahadi, dan lain-lain lagi hinggakan pencemaran ini telah dapat pula mempengaruhi mereka yang cetek kefahaman dan imannya, dan justeru itu melemahkan Islam. Di zaman kita juga perkara-perkara ini berlaku, dan ini semua adalah pencemaran yang mencabar setiap anggota umat Islam yang benar-benar berpegang kepada Islam dan bertakwa. Bersama-samalah kita berdoa dan berusaha membenteraskan anasir-anasir yang merosakkan kesucian Islam dan melemahkan umat dan syiar Islam.

Muslimin-muslimat yang dihormati sekelian.

9. Setiap kali kita mengadakan Musabaqah Membaca Al-Quran, kita memilih tema-tema tertentu bagi memperkukuhkan asas-asas dan prinsip-prinsip yang dianjurkan oleh Islam. Kali ini tema Musabaqah Membaca Al-Quran ialah "Kebersihan Asas Kesempurnaan Iman". Walaupun tema ini boleh dianggap jelas, dan tidak seharusnya menimbulkan apa-apa persoalan, tetapi biasanya sesuatu yang mudah dan jelas itu pula kurang diberi perhatian dan difikirkan dengan mendalam dan meluas. Sebab itu tema kebersihan ini perlu ditekankan. Sebenarnya, kebersihan mempunyai peranan yang penting di dalam keseluruhan cara hidup Islam.

10. Biasanya kebersihan dikaitkan dengan amal ibadat sahaja. Kalau dalam sembahyang kebersihan secara sepintas lalu ialah bersih tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang. Tetapi, setiap perkara yang dituntut oleh Islam tidak terhad kepada amal ibadat semata-mata. Sebagaimana kita maklum, Islam adalah Ad-din, iaitu keseluruhan cara hidup -- hidup sebagai seorang individu, hidup berkeluarga, hidup bermasyarakat, hidup bernegara, dan hidup sebagai umat Islam sedunia. Sesuatu prinsip yang dianjurkan ialah dengan tujuan supaya ianya akan sebati menjadi nilai dan mempengaruhi pemikiran dan gerak-langkah seseorang di dalam kehidupan setiap masa, setiap hari, sepanjang hayat seseorang.

11. Prinsip-prinsip yang mulia lagi tinggi ini membezakan umat Islam dengan manusia sejagat. Sekiranya kita tidak dapat melihat perbezaan ini, ini bermakna prinsip-prinsip ini belum lagi menjadi sebati di kalangan kita.

12. Ini juga bermakna kita belum lagi memikul tanggungjawab kita sepenuhnya sebagai umat Islam. Ini pula tentulah memberi gambaran yang salah kepada masyarakat bukan Islam dan orang Islam yang tidak begitu mendalam pengetahuan Islamnya. Ini semua memberi kesan yang negatif ke arah memupuk generasi Islam yang berkemampuan memainkan peranan yang lebih berkesan ke arah kemajuan umat Islam seperti yang dituntut oleh agama Islam.

13. Kebersihan yang dituntut oleh Islam meliputi semua kepada diri sendiri sahaja hinggalah kepada perhubungan sosial, kegiatan ekonomi, pentadbiran dan pengurusan serta politik. Dalam Islam apa yang baik tidak harus dipaksa lagi, dan harus menjadi manifestasi keimanan. Begitu pulalah dengan kebersihan yang menjadi salah satu asas dan prinsip yang penting dalam Islam.

14. Kebersihan yang di maksudkan oleh Tema Musabaqah kita, "Kebersihan Asas Kesempurnaan Iman", ialah kebersihan yang menjadi nilai, prinsip dan cara hidup, bukan setakat perkara-perkara tertentu sahaja, atau dalam pengertian yang sempit. Kebersihan di sini meliputi kebersihan hati dan jiwa seseorang. Kalau hati bersih, niat akan menjadi bersih, fikiran bersih dan kelakuan pun akan menjadi bersih. Hati yang bersih ialah hati yang penuh keimanan yang benar-benar berasaskan kepada pengertian dan penerimaan hukum Islam yang sebenarnya.

15. Apabila hati kita bersih, kita dapat mengelakkan diri kita daripada busuk hati; kita dapat menghindarkan daripada buruk sangka, fitnah-memfitnah dan segala keburukan dan kejahatan, bukan sahaja bagi diri kita, tetapi juga bagi keluarga, jiran dan masyarakat kita. Sebaliknya kita dapat memupuk persefahaman, hormat-menghormati dan berbaik-sangka sesama umat Islam dan sesama manusia. Kita akan dapat meletak diri kita di tempat yang wajar sebagai mukmin yang bertakwa kepada kebesaran Allah Subhanahu Wataala. Justeru itu hilanglah keangkuhan serta segala sifat-sifat dan kelakuan yang keji.

16. Manusia adalah mahluk Allah yang lemah tubuh badannya. Tetapi Allah Subhanahu Wataala telah mengurniakan kepada manusia keistimewaan berakal fikiran. Dengan ini manusia mengatasi kelemahannya. Penganut agama Islam pula adalah manusia yang lebih istimewa kerana bukan sahaja mereka petunjuk serta kekuatan kepada kita dalam segala usaha suci kita untuk mengembalikan kemurnian nilai-nilai Islam di dalam aktiviti kehidupan kita.

19. Akhir kata, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, saya dengan sukacitanya membuka Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan ini dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.




sumber :

www.pmo.gov.my/

No comments:

Post a Comment