Friday, March 30, 2012

Akses ilmu bahasa lain

Bangsa Melayu usah terlalu fanatik terhadap bahasa ibunda sendiri, malah disaran turut mempelajari dan menguasai bahasa lain supaya dapat mengakses ilmu pengetahuan daripada bahasa berkenaan.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, disebabkan bahasa memainkan peranan penting untuk mendapatkan ilmu, sesuatu bangsa bukan saja perlu menguasai bahasa bangsanya malah bahasa bangsa lain.


Menurutnya, orang Arab satu ketika dulu mempelajari bahasa Greek, malah orang Eropah turut belajar bahasa Arab untuk mendapatkan ilmu.

“Dengan itu kita perlu mempelajari bahasa lain. Kalau kita terlalu fanatik dengan bahasa kita, kita takkan dapat mengakses ilmu dalam bahasa lain.


“Hari ini bahasa ilmu bukan lagi bahasa Arab dan Greek, malah bahasa Inggeris. Di zaman ini kita terpaksa mengakui bahasa Inggeris bahasa ilmu,” katanya dalam ucaptama bertajuk Bahasa- Penghalang atau Kelebihan Pelajar Melayu sempena perasmian Seminar Pendidikan Melayu Antarabangsa, di sini, semalam.


Hadir sama, Tun Dr Hasmah Mohd Ali; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah), Jafperi Othman dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, Brig Jen Datuk Profesor Dr Kamarudin Hussin.


Dr Mahathir berkata, orang Melayu yang mempelajari bahasa Inggeris dan bertutur kata dalam bahasa berkenaan tidak bermakna tidak Melayu. “Hari ini bahasa Melayu belum menjadi bahasa ilmu. Tidak bermakna kita kurang nasionalis atau kurang Melayu semata-mata kita bertutur fasih bahasa Inggeris,” katanya, sambil menegaskan bahasa turut memainkan peranan lebih kepada pengiktirafan Melayu.


Dr Mahathir berkata, seseorang yang bertutur bahasa Melayu, beradat resam Melayu dan beragama Islam akan diiktiraf sebagai Melayu yang tulen.

sumber :Harian Metro

No comments:

Post a Comment