Tuesday, March 13, 2012

Parti politik, pertubuhan di Malaysia terima wang guling pemerintah: Dr M

Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran Malaysia tidak akan terkecuali daripada menghadapi gerakan menjatuhkan kerajaan sedia ada menerusi bantuan kewangan oleh badan bukan kerajaan (NGO) tertentu dari Amerika Syarikat (AS).

Katanya, beliau mengetahui negara berkenaan sejak dulu sudah melakukan aktiviti itu bagi menjatuhkan kerajaan yang tidak disukai oleh pihak terbabit menerusi pendekatan pertukaran regim.
“Saya tak hairan kerana saya percaya ada kewangan yang diterima NGO dan badan politik daripada AS supaya melaksanakan pertukaran rejim. Ini dinyatakan secara terbuka oleh Presiden AS bahawa negara itu mahu pertukaran pemerintah di negara yang tidak menyokong AS.

“Jika di Malaysia berlaku pun, ini perkara biasa bagi AS kerana itulah kerja mereka. Nak bagi jatuh kerajaan kalau tak sokong. Umpamanya, dia nak suruh kita adakan sekatan berhenti dagangan dengan Iran.

“Ini adalah satu cara AS, kalau tak berhenti, mereka akan ambil tindakan terhadap dagangan kita,” katanya selepas pelancaran Waqaf Water 4Gaza Jelajah Keamanan peringkat negeri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Seri Negeri di sini, semalam.

Program anjuran Perdana Global Peace Foundation (PGPF) dengan sokongan kerajaan Melaka ini antara lain bertujuan mengumpul dana bagi mewakafkan 1.5 juta botol air kepada penduduk Gaza mendapatkan bekalan air bersih susulan sekatan haram Israel.
Sempena majlis itu, sebanyak RM109,000 berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan negeri berjumlah RM20,000; EXCO kerajaan negeri (RM30,000) dan jabatan, agensi serta pihak berkuasa tempatan (RM26,000).

Melaka adalah negeri pertama persinggahan program ini. Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad dan Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai.

Mengenai kesan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan ke atas usaha melindungi keselamatan Israel seperti disiarkan Wall Street Journal (WSJ), baru-baru ini, Dr Mahathir secara sinis berkata, ketua pembangkang itu sudah berjaya menukar pemikiran sesetengah pemimpin Islam Malaysia.

“Saya dapati orang yang dulunya menyokong Palestin, sekarang ini seolah-olah menghalalkan atau menerima kenyataan dibuat Anwar berhubung menjaga keselamatan Israel. Nampak beliau sudah menukar pemikiran sesetengah pemimpin Islam di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menolak kemungkinan PAS juga sanggup mengetepikan kepentingan Islam dan menyokong Israel jika langkah itu mampu mengekalkan keutuhan pakatan mereka.

sumber : BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment