Saturday, March 3, 2012

Malaysia kini galas penampilan sebagai negara maju - Dr. M

Malaysia kini menggalas penampilan sebagai sebuah negara dan wawasan pembangunannya dilaksanakan dengan jelas secara berperingkat, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, walaupun wawasan Malaysia mungkin tidak sesuai untuk semua negara, terdapat beberapa elemen yang boleh diguna pakai oleh semua yang berhasrat menjadi negara maju.

"Saya percaya salah satu punca pemberontakan di negara Arab ialah kegagalan kerajaan menjaga keperluan rakyat,” katanya dalam ucapan beliau bertajuk “Vision in the Development of a Nation” di Forum Ketiga Kumpulan Pemikir Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Baku, Azerbaijan hari ini.

Dr. Mahathir berkata, keperluan paling utama di sesebuah negara ialah pekerjaan untuk memperoleh pendapatan stabil bagi menyara kehidupan yang baik, dan pertanian tidak mampu mewujudkan peluang mencukupi berbanding industri.

"Sehektar tanah pertanian mungkin boleh menyara seorang individu, namun ia boleh menampung 500 pekerja kilang.

"Itulah sebabnya Malaysia memilih industri intensif buruh memandangkan tanah tidak lagi mencukupi untuk bercucuk tanam,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, sesebuah negara tidak dianggap maju hanya disebabkan pendapatan perkapitanya tinggi, dan kerana itu, kebanyakan negara pengeluar minyak tidak dianggap sebagai negara maju.

sumber - BERNAMA

No comments:

Post a Comment