Monday, March 12, 2012

PEPERANGAN MESIR MELAWAN NGO

By Dr Mahathir Mohamad

1. Baru-baru ini pemerintah Mesir telah menangkap lebih daripada 10 rakyat Amerika Syarikat.

2. Siapakah mereka ini?

3. Mereka, mengikut laporan dalam sebuah majalah Amerika, Newsweek, adalah ahli beberapa NGO dari Amerika yang terlibat kononnya untuk membawa demokrasi kepada Mesir. Diantara mereka adalah NDI (National Democratic Institute), IRI (International Republican Institute) dan Freedom House. Semua mereka mengikut Newsweek “receive U.S. Government funding”.


4. Laporan yang sama berkata dalam keluarannya pada Februari 13, “But storming NGO’s, interrogating U.S. citizens, and banning them from leaving the country has strained U.S-Egypt relations and threatened the sacrosanct $1.3 billion in military aid from the U.S.” (Menggeledah NGO, menyoal rakyat Amerika, dan melarang mereka keluar dari Mesir telah menegangkan hubungan Amerika dengan Mesir dan menggugat bantuan $1.3 billion untuk tentera (Mesir) dari Amerika.)
5. Semasa Mubarak Amerika dilarang membiayai NGO Mesir yang tidak berdaftar melalui badan-badan bantuan kewangan Kerajaan Amerika seperti Bureau of Democracy, Human Rights and Labour. Sekarang agensi-agensi Kerajaan Amerika memula semula membiayai badan NGO yang tidak berdaftar.

6. (However, following the uprising that toppled Mubarak, U.S. AID once again began distributing funds to unregistered NGOs in an effort to be part of Egypt’s democratic future – Newsweek Feb. 13)

7. Campurtangan Amerika Syarikat dalam gerakan untuk menjatuhkan Kerajaan negara-negara yang tidak sebulu dengannya amatlah jelas. Sudah tentu di Malaysia juga pembiayaan badan-badan NGO dilakukan untuk menjayakan “Regime Change” (Pertukaran Pemerintah).

8. Bahawa Amerika menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia adalah jelas dari laporan akhbar dan majalah mereka. Apa yang sedang dilakukan oleh Amerika Syarikat di Negara Arab sudah tentu dilakukan juga di Malaysia. NGO-NGO yang sedang menghasut dan memburukkan Kerajaan supaya Anwar Ibrahim dapat menjadi Perdana Menteri tentu sekali mendapat bantuan kewangan dan media Amerika. Mereka kononnya tidak puas hati dengan dasar Kerajaan berkenaan hak asasi manusia termasuk seksualiti bebas (menghalalkan zina, perkahwinan sejenis, menghapuskan institusi perkahwinan dan kekeluargaan dan liwat). Sebenarnya tujuan mereka ialah untuk menjayakan hasrat Amerika Syarikat untuk melakukan regime change supaya Malaysia menjadi alat Amerika Syarikat. Sudah tentu setelah Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia, tuntutan NGO-NGO berkenaan akan dihalalkan. Sebagai penyokong kuat Israel, Amerika Syarikat tetap akan memujuk Anwar supaya mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu.

9. Malaysia merdeka. Tetapi apabila kuasa asing dapat menukar Kerajaan Malaysia dengan pelbagai cara yang haram, apakah Malaysia akan terus merdeka?

10. Tetapi terpulanglah kepada rakyat Malaysia. Jika mereka suka Malaysia menjadi alat Amerika Syarikat (penyokong kuat Israel) sokonglah puak yang menerima bantuan dan sokongan Amerika Syarikat.

11. Tetapi jika kita ingin betul-betul merdeka, tidak dikongkong oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, tolaklah mereka yang sanggup diperalatkan oleh Amerika Syarikat untuk menukar Kerajaan.

sumber : http://chedet.cc/

No comments:

Post a Comment