Tuesday, March 27, 2012

Dr Mahathir terima anugerah Tokoh Pereka Negara

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini menerima Anugerah Tokoh Pereka Negara sebagai menghargai sumbangan beliau dalam membangunkan Malaysia menerusi bidang inovasi reka bentuk.

Anugerah itu disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Good Design Mark (MGDM) 2011 anjuran Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) di sini. Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir dalam ucapan penerimaannya berkata beliau berharap produk tempatan akan mendapat sambutan di seluruh dunia bukan saja kerana kehebatan kualitinya, tetapi juga dari segi reka bentuk.

"Saya amat bersyukur kerana saranan yang dibuat pada 1969 supaya kita utamakan aspek perekaan disambut baik dan diteruskan sampai hari ini.

"Memang kita selalu cipta sesuatu yang cukup berguna, tetapi untuk diterima dengan baik, kita perlu buat reka bentuk yang baik kepada pelanggan. Saya berharap MRM berusaha beri keutamaan mengenai perkara ini," katanya.

Sementara itu, Maximus berkata anugerah tersebut adalah sebagai menghargai jasa Dr Mahathir menubuhkan MRM pada 1993 bagi meningkatkan daya saing produk keluaran tempatan menerusi inovasi bagi membolehkan ia bersaing di peringkat antarabangsa.

Pada majlis itu, sebanyak 17 syarikat tempatan menerima pengiktirafan MGDM 2011 atas kejayaan menghasilkan produk kreatif, inovatif dan mempunyai reka bentuk menarik.

Sebanyak 80 produk pelbagai kategori diterima untuk penilaian, dan daripada jumlah itu, 30 didapati menepati spesifikasi yang ditetapkan bagi menerima MGDM 2011.

sumber - Bernama

No comments:

Post a Comment