Monday, April 9, 2012

JAWAPAN KEPADA HILAL

By Dr Mahathir Mohamad

1. Saya ucap terima kasih kepada Hilal Asyraf kerana menjawab dengan panjang lebar soalan-soalan saya.
2. Sebenarnya saya membuat soalan-soalan kerana ingin mendapat pengesahan berkenaan reaksi terhadap apa yang telah diucapkan oleh saya berkenaan hudud.

3. Jawapan Hilal mengesahkan apa yang saya syaki, iaitu Hilal dan mungkin ramai orang Islam lain berpendapat bahawa wahyu Allah s.w.t. seperti yang terdapat dalam Al-Quran adalah setaraf dengan Hadith sohih Bukhari, iaitu kesahihan yang dibuat oleh manusia biasa walaupun pakar dalam bidang Hadith.


4. Lebih teruk lagi ialah pendapat bahawa ada ayat Al-Quran yang sudah dimansuh tetapi masih boleh dibaca iaitu baca tanpa terima.
5. Tidak pula disebut ayat yang mana yang telah dimansuh. Apakah yang dimansuh ini ialah ayat yang bertentangan dengan Hadith yang dikatakan sohih?

6. Berkenaan dengan Surah An-Nur, Ayat 2, (ayat yang terang dan jelas iaitu ayat Mukhamat) dan saya perturunkannya disini; “Perempuan dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”

7. Bandingkan “hukum sebat seratus kali” dengan “orang itu direjam” dalam Hadith sohih riwayat Bukhari (Dari Jabir bin Abdullah Al Ansar RA).

8. Bolehkah disamakan hukum sebat dan hukum rejam (iaitu hukum bunuh)? Siapa pun yang berfikiran waras akan berkata hukum-hukum ini amat berbeza. Justeru itu dakwaan Hilal seperti berikut, “Jelas, sekali lagi, hukum ini daripada Al-Quran dan Hadith”, memberi gambaran seolah-olah hukum dalam Al-Quran iaitu “sebat” adalah sama dengan hukum rejam dalam Hadith.” Pemikiran yang waras tidak mungkin mengaku yang sebat dengan bunuh adalah sama.

9. Memanglah Bukhari membuat kajian mendalam mengikut syarat-syarat yang Bukhari sendiri mengenakan kepada dirinya. Memang pun Hadith sohih Bukhari yang tidak bertentangan dengan ayat Al-Quran boleh diterima sebagai sohih.

10. Yang menimbul masalah ialah apabila sohih Bukhari tidak sama dengan wahyu Allah s.w.t. dalam Al-Quran – umpamanya Surah An-Nur, Ayat 2.

11. Hanya dengan berkata tidak ada percanggahan antara Hadith yang sohih dengan ayat-ayat Al-Quran bermakna menafi kenyataan. Percanggahan memang ada seperti yang disebut diatas.

12. Jawapan, “Sekiranya kita menjumpai ta’arudh (perlanggaran, percanggahan) ini, di antara Hadith yang sohih dengan ayat Al-Quran, maka hendaklah kita kaji semula apakah sebabnya. Dan biasanya, percanggahan itu bukanlah percanggahan, tetapi diantaranya disebabkan (mengikut surat kedua Hilal):

(a) “Silap dalam periwayatan Hadith”

(b) “Ayat Al-Quran itu sudah dinasakh (mansuh) hukumnya, tetapi tidak dinasakh (mansuh) bacaannya”

(c) “Atau Rasulullah s.a.w. melakukan/membenarkan/melarang perkara tersebut, sebelum ayat Al-Quran turun melarang/membenarkan”

Mengikut pendapat ini “silap periwayatan Hadith” lebih mudah diterima kerana daripada 600,000 hadith kebanyakannya lemah dan tidak sohih, daripada mendakwa “ayat Al-Quran itu sudah dimansuh” sesuatu yang amat bercanggah dengan penerimaan oleh orang Islam bahawa Al-Quran itu mengumpul semua wahyu Allah s.w.t. yang disampaikan kepada Rasulnya, Muhammad s.a.w. untuk umat manusia.

13. Hilal sendiri mencatit, “Menolak apa-apa sahaja daripada Al-Quran hukumnya adalah kafir”. Surah Al-Maidah, Ayat 44 berbunyi “Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu, dan janganlah kamu menjual ayat-ayatKu dengan harga sedikit, dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang kafir. Tidak pula disebut di mana-mana “tidak menghukum mengikut Hadith adalah kafir.”

14. Memansuhkan ayat Al-Quran samalah dengan menolak ayat Al-Quran dan hukumannya juga tentulah kafir. Siapakah yang memansuhkan ayat Al-Quran dan ayat yang mana yang dimansuhkan? Tidak ada bukti yang Nabi yang memansuhkannya. Jika sebelum diterima wahyu, Rasulullah s.a.w. melakukan/membenarkan/melarang perkara tersebut, apakah apabila kemudian Nabi Muhammad menerima wahyu dari Allah s.w.t. maka Nabi akan menolak wahyu dan mengekalkan pendapatnya yang terdahulu?

15. Bolehkah kita terima bahawa Rasulullah s.a.w. ingkar dan menolak wahyu dari Allah s.w.t.? Ini tidak masuk akal dan tidak disebut di mana-mana.

16. Tidak mungkin Hadith disamakan dengan wahyu Allah s.w.t. Hadith bergantung kepada periwayatan, penilaian/kajian oleh manusia biasa sedangkan wahyu Allah oleh Rasulullah s.a.w. untuk umat manusia.

17. Manusia terdedah kepada berbagai-bagai kelemahan dan kesilapan. Nabi Muhammad adalah Rasul dan Baginda tidaklah seperti manusia biasa dengan kelemahan-kelemahan mereka.

18. Umat Islam sekarang ini berada dalam keadaan yang buruk dan terhina. Negara mereka diserang, dilanda dan dihancurkan. Ratusan ribu orang Islam dibunuh, diseksa, ditawan; sekatan makanan dan ubat-ubatan menyebabkan beribu-ribu kanak-kanak dan orang tua mati. Agama Islam dicemuh, dikatakan agama pengganas yang dibawa oleh Nabi yang dikatakan ketua pengganas dan bermacam lagi.

19. Al-Quran berkata segala yang baik datangnya dari Allah s.w.t. dan segala yang buruk datangnya dari kita sendiri.

20. Bagi saya adalah jelas keburukan yang menimpa umat Islam adalah kerana perbuatan kita sendiri.

21. Untuk mengenalpasti apa yang salah yang dilakukan oleh umat Islam, saya membaca Al-Quran untuk mendapat panduan darinya. Dan saya dapati sungguh banyak daripada ajaran dan panduan yang terdapat dalam Al-Quran tidak diamalkan oleh kita. Ada juga yang ditolak oleh kita untuk mematuhi ajaran daripada punca lain.

22. Apabila sahaja datang orang yang pandai bercakap maka kita mengikuti mereka. Sebab itu ada Ashaari dan Ayah Pin. Dan banyak pula tarikat diadakan yang tidak menepati ajaran Islam.

23. Dan ramai juga yang lebih percaya kepada punca ajaran yang tidak dari Al-Quran, bahkan bertentangan dengan Islam.

24. Sebaliknya kita tahu Islam adalah Ad-deen, cara hidup. Dan sesungguhnya terdapat panduan yang jelas dalam Al-Quran berkenaan cara hidup bagi orang Islam. Dan jika cara hidup ini diamalkan maka tetap orang Islam akan berjaya, akan terpelihara daripada keburukan yang disebut tadi.

25. Tafsiran ajaran Islam yang berbeza-beza, mengutamakan Hadith lebih dari Al-Quran, fatwa yang dibuat yang tidak membantu umat Islam, dan kesediaan mengikut nafsu dan tidak akal fikiran, ghairah untuk menunjuk-nunjuk betapa kuatnya ke-Islaman kita – semua ini menyumbang kepada keburukan yang menimpa umat Islam.

26. Sesungguhnya umat Islamlah yang bersalah, terutama kerana membelakangkan wahyu Allah s.w.t. dalam Al-Quran. Selagi kita tidak mengaku kesalahan kita, selagi kita tidak kembali kepada ajaran Islam yang sebenar iaitu yang didapati dalam Al-Quran serta Hadith sohih dan fatwa-fatwa yang tidak bertentangan dengan Al-Quran, selama itulah kita akan berada dalam keadaan terhina dan tertindas.

27. Saya akui ada hukum potong tangan sipencuri. Tetapi pelaksanaannya mestilah mengambil kira keadaan. Jika kita tidak dapat laksanakan hukum ini kepada semua kerana perbezaan agama dan kemungkinan huru-hara berlaku, adalah lebih baik kita tidak laksanakan hukum ini keatas orang Islam sahaja sehingga berlaku ketidakadilan.

28. Saya tidak berkata orang Melayu banyak yang mencuri tetapi hakikatnya jumlah mereka yang mencuri di negara ini lebih ramai daripada orang bukan Islam. Hukuman yang berbeza antara rakyat sebuah negara tetap akan memperlihatkan ramai orang Melayu yang kudong tangan sementara orang bukan Islam kena dua bulan penjara. Adilkah ini?

29. Hukum bunuh orang yang murtad adalah juga dari Hadith. Hukum ini bukan dari Al-Quran.

Hudud

30. Dalam Quran hudud diterjemah dengan perkataan “had” atau dalam Bahasa Inggeris “limit”. Had bermakna “setakat itu” tidak boleh lebih daripada itu.

31. Hukum-hukum yang terdapat dalam Al-Quran adalah hukum yang maksimum, yang tertinggi yang boleh dikenakan. Ini bermakna hukum yang kurang daripada yang tertinggi juga boleh dikenakan.

32. Tetapi kita asyik dengan nafsu yang ingin menunjuk-nunjuk betapa kerasnya pegangan kita kepada agama Islam. Justeru itu kita tafsir hudud bermakna yang tertinggi sekali daripada hukuman yang mungkin dijatuhkan mestilah dikenakan setiap kali.

33. Al-Quran dan agama Islam memberi banyak kelonggaran kepada pengamalan agama kita. Islam bukan diturunkan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi beban kepada penganutnya.

34. Tetapi ramai daripada kita suka jika Islam menjadi beban yang berat supaya pengamal ajaran Islam dapat buktikan betapa kuatnya pegangan mereka kepada agama Islam. Kita suka jika kita didera sepanjang masa supaya dapat kita tunjuk betapa kuatnya iman kita. Kerana inilah wujud puak-puak yang keterlaluan dalam pengamalan agama mereka yang sering berkata orang lain kurang Islam atau tidak Islam. Dengan ini perpecahan berlaku di kalangan umat Islam sehingga mereka menjadi lemah dan mudah diperkosa oleh orang lain.

35. Ya. Saya bukan ulama. Saya tidak fasih dalam Bahasa Arab. Saya tidak terlatih seperti orang yang tidak senang dengan penjelasan saya, terlatih dan berijazah. Tetapi sebagai seorang orang Islam yang sedih dan perihatin terhadap nasib yang menimpa orang Islam saya berhak mencuba mengenalpasti sebab-sebab malapetaka menimpa kita.

36. Al-Quran juga berkata Allah SWT tidak akan mengubah nasib buruk kita sehingga kita berusaha mengubah nasib kita sendiri. Mengenalpasti sebab-sebab nasib kita menjadi buruk adalah usaha awalan untuk memperbaikinya.

37. Insyaallah, Tuhan tidak akan menghampa usaha dan harapan kita.

sumber :

http://chedet.cc/

No comments:

Post a Comment