Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pembangunan di Langkawi adalah untuk dikongsi bersama oleh rakyat Langkawi dan projek yang dirancang bagi menjadikan pulau peranginan ini tumpuan dunia tidak seharusnya dihalang. "Saya kecewa kerana tapak untuk membina menara Langkawi di Pekan Kuah selepas majlis pecah tanah yang saya sendiri buat dua tahun lepas diceroboh sehingga projek itu tergendala. Kejadian ini mungkin sebab hasutan. "Kita kena la ikut undang-undang... tak boleh la ceroboh tanah orang... bawa parang. Kalau orang ceroboh tanah kita macam mana pula," katanya bagi mengulas pembangunan Langkawi yang diilhamkannya untuk dijadikan pulau bebas cukai pada 1986.
Dr Mahathir yang ditemui selepas merasmikan bangunan baru Tenaga Nasional Berhad (TNB) Langkawi berharga RM12 juta hari ini, berkata Langkawi memerlukan sebuah menara seperti Menara Eiffel di Paris yang menarik pelawat dari seluruh dunia.
Bernama difahamkan tapak untuk pembinaan menara itu telah ditanam dengan cerucuk bagi membina pelantar ikan.
Dr Mahathir bagaimanapun berpuas hati dan bersyukur kerana pembangunan Langkawi dinikmati rakyatnya, hidup senang dan mudah mencari rezeki hasil pekerjaan yang banyak ditawarkan terutama dalam bidang perkhidmatan khususnya perhotelan dan pelancongan.
"Dulu mana ada jutawan di sini (Langkawi). Jual tanah sekarang harga boleh mencecah RM20 sekaki persegi... orang Langkawi harus bersyukur. Saya rasa tidak ada orang Langkawi yang tidak bersyukur," kata Dr Mahathir.
Katanya nelayan Langkawi lebih mudah memperoleh pendapatan yang lebih banyak dengan memberi perkhidmatan kepada pelancong daripada menangkap ikan.
Beliau juga berpuas hati dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang memberi tumpuan membangunkan pulau bebas cukai ini dengan menghapuskan kerenah manakala pihak pengurusan pula mudah berurusan dengan orang ramai.
Turut hadir pada majlis itu ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air Datuk Noriah Kasnon, anggota Exco kerajaan Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie.
sumber -BERNAMA
No comments:
Post a Comment