Thursday, May 17, 2012

Proton perlu suntikan modal besar

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Perusahan Automobil Nasional (Proton) memerlukan suntikan modal yang besar dari pihak swasta serta perlindungan berterusan dari kerajaan bagi membolehkannya terus bersaing dalam pasaran global yang semakin kompetitif.

Katanya kos mereka bentuk dan mengeluar kereta model baru telah meningkat dengan mendadak.

"Syarikat kereta perlu memasarkan lebih dari satu model, kita perlu sekurang-kurangnya lima model kerana Proton tidak begitu besar, keuntungan tidak mencukupi bagi mengadakan banyak model," katanya di sini.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Automotif oleh Univerisiti Malaysia Pahang (UMP) di sini.

Majlis penganugerahan itu disempurnakan Canselor UMP Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Majlis Konvokesyen Khas UMP.

Dr Mahathir berkata Proton telah berjaya menyumbang kepada matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah negara industri.

"Peluang pekerjaan bertambah dengan banyaknya, bukan sahaja dalam perusahaan pengeluaran kereta tetapi juga peningkatan kecekapan rakyat Malaysia dalam bidang kejuruteraan," katanya.

Beliau berkata industri kereta nasional negara-negara lain, termasuk Jepun dan Korea Selatan, juga mendapat perlindungan kerajaan.

"Walau pun perlindungan ini tidak begitu tinggi, namun Proton berjaya menguasai 82 peratus dari pasaran dalam negeri, sebenarnya Proton mendapat keuntungan yang besar dan dapat membayar hutang dari kerajaan di samping menyumbang dengan banyaknya kepada kutipan cukai negara," katanya.

Bagaimana pun, beliau mengakui keuntungan Proton juga kadang-kadang merosot.

"Ini disebabkan kita membuka pasaran kita kepada syarikat-syarikat automatif Asia yang jauh lebih besar dari kita."

"Mereka melakukan ekonomi bidangan yang menyebabkan kereta mereka murah walau pun dikenakan cukai, modal mereka juga besar dan mereka juga mengambil perlindungan secara tidak langsung untuk menentukan pasaran dalam negara mereka dikuasai oleh kereta buatan mereka," katanya.

sumber - Bernama

No comments:

Post a Comment