Sunday, May 20, 2012

Pemimpin UMNO diminta buang budaya cantas

Pemimpin UMNO perlu membuang budaya cantas mencantas dan mementingkan diri sendiri, sebaliknya menyokong siapa saja dipilih pucuk pimpinan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

Ketika mengulangi nasihat itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata budaya itu jika terus menjadi amalan hanya akan menyebabkan UMNO dan BN menerima nasib sama seperti pada pilihan raya umum lalu yang menyaksikan kemenangan ramai calon parti lawan.
“Kekalahan UMNO akan menjadikan orang Melayu kehilangan kuasa di negara kita sendiri... kita tidak boleh jadi bangsa yang berpecah-belah. Amat penting tenaga yang ada digembleng sepenuhnya.
Saya tekankan yang penting bukan siapa jadi calon, yang penting parti menang. Kalau dia turun dengan parachute (payung terjun) ke, turun dengan bom ke, apa ke kita tak kira letak aje dia di situ bukan orang UMNO pun kita sokong... kita nak bagi UMNO menang. - Dr Mahathir Mohamad, Bekas Perdana Menteri “Saya yakin kita boleh menang jika amalan cantas mencantas dibuang terus dari dalam diri setiap orang UMNO,” katanya pada pertemuan dengan pemimpin UMNO dan jentera parti seluruh Kedah di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sebelum pertemuan itu, Dr Mahathir mengadakan perjumpaan tertutup dengan Ketua UMNO Bahagian negeri ini.

Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO berkata, seluruh kepemimpinan dan ahli UMNO perlu menyokong calon parti, termasuk calon ‘payung terjun’ atau orang di luar parti untuk mewakili BN pada PRU-13 demi kelangsungan BN untuk memerintah negara ini.
Katanya, adalah merugikan jika hanya kerana dua atau tiga orang yang tidak bersetuju dengan calon dipilih pucuk pimpinan nanti sehingga BN kehilangan kuasa disebabkan sifat pentingkan diri sendiri.

“Saya tekankan yang penting bukan siapa jadi calon, yang penting parti menang. Kalau dia turun dengan parachute (payung terjun) ke, turun dengan bom ke, apa ke kita tak kira letak aje dia di situ bukan orang UMNO pun kita sokong... kita nak bagi UMNO menang,” katanya.

Dalam hal ini, kata Dr Mahathir beliau berharap semua Ketua UMNO Bahagian di negeri ini dan pemimpin lain berpegang kepada ikrar mereka untuk taat kepada parti dan pucuk pimpinan, termasuk tidak mengamalkan budaya cantas mencantas jika mereka tidak terpilih menjadi calon.

Katanya, ketika perjumpaan tertutup dengan beliau semalam, Ketua UMNO Bahagian terbabit berjanji tidak akan mensabotaj parti jika mereka tidak terpilih sebagai calon.

Beliau juga mahu UMNO lebih giat membantu parti komponen, termasuk MCA, MIC dan GERAKAN yang dilihat masih kurang bersemangat akibat kekalahan pada 2008 supaya BN kembali kukuh seperti sebelum itu.

Sementara itu, Dr Mahathir turut berpendapat masa yang sesuai diadakan pilihan raya adalah selepas Aidilfitri.

sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment