Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau percaya polis tidak akan bertindak merosakkan harta benda sendiri seperti yang didakwa pembangkang pada perhimpunan yang bertukar ganas Sabtu lepas.
"Saya tak tahu sama ada anda nak percaya atau tidak...saya tengok orang terbalikkan kereta (polis) dan mereka tidak kelihatan seperti anggota polis.
"Bagi saya mereka nampak macam penunjuk perasaan...lagipun kenapa polis nak terbalikkan kereta sendiri," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Dr Mahathir yang ditemui pada pelancaran buku “A Doctor in The House: Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad" versi bahasa Melayu diminta mengulas mengenai dakwaan pembangkang bahawa keganasan pada perhimpunan itu dicetuskan oleh polis.
Pada perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang itu, seramai 13 anggota polis cedera akibat tindakan ganas peserta perhimpunan yang dijanjikan aman oleh penganjur.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga berkata tindakan merempuh halangan polis oleh peserta perhimpunan itu adalah modus operandi pembangkang.
Katanya ketua pembangkang mempunyai reputasi menghasut rakyat sebelum melarikan diri agar tidak dipersalahkan rakyat.
sumber - BERNAMA
No comments:
Post a Comment