Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan cadangan pembangkang yang ingin meminda Perlembagaan Negara, yang dilihat tidak perlu.
Menurutnya, cadangan untuk meminda Perlembagaan yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi kepada Islam sebagai ad-din hanya kata dusta pembangkang.
“Islam memang sudah ad-din, petunjuk. Ia bermaksud Islam memberi petunjuk kepada manusia dan memang untuk kita amati. Tidak payah letak dalam perlembagaan sebagai ad-din kerana Islam (sendiri) memang sudah ad-din.
“Saya lihat ia hanya permainan kata-kata. Macam dulu kata nak negara Islam, mati-mati nak negara Islam lepas itu kata tiada dalam al-Quran, sekarang kata negara berkebajikan pula.
“Ini nak menipu rakyat. Kita tidak boleh taksub dengan sesiapapun dan apa-apa ajaran, kita kena pegang kepada ajaran yang benar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Bicara Negarawan Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Stadium
Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini, semalam.
Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pakatan pembangkang akan pinda Perlembagaan negara kepada Islam sebagai ad-din, iaitu merangkumi seluruh kehidupan manusia, jika dipilih sebagai kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment