Friday, December 2, 2011

UMNO yang bukan lagi UMNO

UMNO yang bukan lagi UMNO

May 29 2008

Written by chedet

Saya ucap terima kasih kepada beberapa ahli UMNO yang mahu saya kembali menjadi ahli.
Sebenarnya
sejak saya melantik Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana
Menteri dan dianya mengisi jawatan itu, UMNO tidak pernah layan saya
sebagai ahli UMNO, jauh sekali sebagai bekas Presiden UMNO.

Dari
awal lagi Menteri-Menteri UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO dilarang
daripada berjumpa dengan saya atau menghadiri apa-apa majlis di mana
saya mungkin berucap.

Menteri yang saya lantik dahulu, sekarang mengecam dan mengeluar kata-kata kesat kepada saya.

UMNO
tidak dibenar menjemput saya dan jika sesiapa cuba jemput juga, mereka
dipanggil oleh Menteri Besar dan juga polis supaya tarik balik
jemputan. Selepas 14 jemputan dipaksa tarik balik tiada siapa yang
berani jemput saya lagi. Ahli-ahli UMNO tidak dibenar hadir apa-apa
majlis di mana saya akan berucap, dan mereka pun patuh akan arahan ini.

Ahli
Bahagian Kubang Pasu yang saya menjadi ketuanya selama 22 tahun diarah
dan disogok dengan wang supaya tidak mengundi saya sebagai wakil
Bahagian ke Perhimpunan Agong UMNO 2006. Dan saya pun kalah.

Timbalan
Perdana Menteri pun tidak dibenarkan berjumpa saya sehinggalah saya
dedah perkara ini. Kemudian barulah beliau dibenar berjumpa saya.

Ada juga pemimpin UMNO yang mencadangkan saya disingkirkan daripada parti.

Sikap
dan layanan terhadap diri saya selepas saya letak jawatan jelas
menunjuk bahawa sebenarnya saya bukan sahaja bukan ahli UMNO tetapi
saya adalah musuh UMNO.

Justeru itu keluarnya saya daripada UMNO hanya “merasmikan” kedudukan saya sebagai bukan ahli UMNO.

Ini
semua tidak menjadi sebab saya keluar daripada UMNO. Sebab saya keluar
ialah kerana kepimpinan UMNO sudah membawa parti keramat ini dan
Kerajaan pimpinan UMNO keluar dari landasan asal perjuangan UMNO dan
Barisan Nasional. Parti UMNO tunduk kepada negara-negara asing terutama
Singapura. UMNO juga tunduk kepada tuntutan puak ekstremis kaum dalam
negeri.

Barisan Nasional dan UMNO kehilangan pengaruh di
kalangan pengundi, termasuk ahli dan penyokong kuat UMNO sehingga kalah
dalam Pilihanraya Umum ke-12.

Pemimpin UMNO membiarkan
negeri-negeri yang tidak pernah dikuasai oleh parti lawan jatuh ke
tangan parti lawan – termasuk Kedah negeri saya sendiri. UMNO dan BN
tidak menang 2/3 daripada kerusi Dewan Rakyat, UMNO tidak lagi
dihormati oleh Raja-Raja Melayu dan bermacam-macam lagi.

Saya sedih kerana terpaksa keluar daripada parti yang dikenali sebagai UMNO tetapi sebenarnya sudah tidak lagi UMNO.

Arah tuju UMNO ditentukan oleh pemimpin tertingginya. Apa yang berlaku kepada UMNO mesti dipertanggung-jawabkan kepadanya.

Kerana
saya percaya bahawa Dato Seri Abdullah bukan sahaja sudah rosakkan UMNO
yang sebenar tetapi akan terus menghancurkannya, dan saya percaya ahli
dan pemimpin UMNO yang lain tidak berani membetulkan UMNO maka saya
terpaksa keluar daripada parti ini.

Saya sedih bukan sahaja
kerana meninggalkan parti tetapi kerana ahli-ahli UMNO rela terima
segala perbuatan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Malaysia dihina
oleh negara-negara lain termasuk negara-negara OIC (Pertubuhan
Persidangan Negara-negara Islam – Organisation of Islamic Conference)
dan NAM (Pergerakan Negara-Negara Berkecuali – Non Aligned Movement).
Daripada negara yang menjadi contoh kepada negara membangun lain kita
sudah dianggap sebagai negara sekutu Amerika Syarikat. Kita tidak lagi
berani menegur kejahatan Barat, sebaliknya kita membisu.

Saya
percaya selagi Dato Seri Abdullah memimpin UMNO, pengundi-pengundi UMNO
dan penyokong UMNO tidak akan kembali menyokongnya walaupun mereka
tidak akan mengaku secara terbuka pendirian mereka dan undi mereka pada
parti lawan seperti yang berlaku dalam Pilihanraya Umum 2008.

source :

http://chedet.cc/

No comments:

Post a Comment