Monday, December 5, 2011

Pemimpin perlu undur beri peluang kepada muka baru



Pemimpin perlu undur beri peluang kepada muka baru

IPOH: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemimpin parti, terutama UMNO perlu mengundur diri dan melepaskan jawatan jika tindakan itu mendatangkan faedah kepada parti.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka seharusnya dapat membuat keputusan terbaik dan memberi peluang kepada gabungan muka baru kerana kepentingan parti perlu diutamakan melebihi kepentingan peribadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan pemimpin UMNO dan pembangkang yang meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan berikutan pembabitan ahli keluarganya dalam isu pusat ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

“Terpulang kepada dia, kalau dia patut undur, dia undur. Kita minta mereka yang berpendapat dengan pengunduran mendatangkan faedah kepada parti, mereka harus undur," katanya selepas menghadiri program Bicara Negawaran Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk Transformasi Pihak Berkuasa Tempatan Melangkah Ke Hadapan – Apa kata Tun, di Dewan Bandaran Ipoh, di sini semalam.

Dr Mahathir berkata, setiap pemimpin seharusnya sedar tempoh sepatutnya mereka berundur dan memberi peluang kepada barisan generasi muda menunjukkan kebolehan menerajui parti.

“Kita patut tahu bila patut undur diri. Saya dulu undur diri juga, saya boleh teruskan, bukan tidak boleh. Saya ingat kalau saya terus orang nak kata apa juga, tapi kita sudah lama dan harus bagi tempat kepada orang lain,” katanya.


Sumber :Berita Harian

No comments:

Post a Comment