MENGENANG MASA DULU
oleh Dr. Mahathir bin Mohamad
Pulau Pinang negerinya baru
Kapten Light menjadi Raja
Bila terkenang zaman dahulu
Duduk mengalir air mata
1. Pantun ini dikarang oleh “tukang karut” pasukan boria di Pulau Pinang di zaman British.
2. Kita jarang mendengar pantun ini sekarang, Tetapi semasa saya masih budak belasan tahun, saya sering mendengarnya. Sedikit sebanyak saya rasa sedih juga. Air mata tidak mengalir tetapi ia menghantui fikiran saya.
3. Orang Melayu Pulau Pinang pada zaman itu sudah hilang kedudukan mereka dalam pulau yang membangun dengan pantas hasil daripada pengisytiharannya sebagai pulau bebas cukai oleh British. Sementara deretan kedai dan rumah batu seperti mahligai diduduki oleh orang lain, mereka, orang Melayu terpaksa pindah melarikan diri daripada pembangunan bandaraya Pulau Pinang kerana tawaran untuk menjual hartanah mereka begitu tinggi, dan mereka semua miskin dan tidak mampu membeli atau menyewa bangunan kedai atau rumah kediaman yang didirikan, selepas menjual tanah mereka.
4. Kemudian apabila pembangunan sampai ke kawasan di mana orang Melayu telah lari, mereka sekali lagi menjual tanah dan berpindah jauh daripada pembangunan.
5. Lama-kelamaan mereka tenggelam dalam masyarakat asing yang semakin bertambah dan mewah. Itulah nasib mereka, menjadi kumpulan orang yang terasing di negeri sendiri. Maka mengalirlah air mata mereka.
6. Sukar bagi mereka yang dilahir di zaman ini, zaman peluang bertimbun-timbun, zaman serba mudah, zaman tersohor bangsa Melayu, zaman kuasa di tangan Melayu, sukar bagi mereka menggambarkan kehidupan orang Pulau Pinang di zaman British.
7. Apa perlunya kita diperingati akan kedudukan orang Melayu Pulau Pinang di zaman itu? Sebenarnya tidak perlu. Setelah mencapai kejayaan, tidak mungkin kita ditimpa nasib orang Melayu Pulau Pinang.
8. Sekali berjaya tetap berjaya, sekali merdeka, tetap merdeka. Bukankah Hang Tuah telah berkata tak akan Melayu hilang di dunia. Ini jaminan yang diberi kepada bangsa Melayu. Kita akan terus Melayu walaupun hanya menjadi pemandu kereta, buruh kasar, budak pejabat. Kita Melayu juga. Tak perlu mengalir air mata.
sumber : chedet.cc
No comments:
Post a Comment