Tuesday, December 20, 2011

Dr M: Saya nak tanya Bank Dunia, betulkah?

Dr M: Saya nak tanya Bank Dunia, betulkah?



Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menafikan bahawa beliau pernah meminta bantuan kewangan daripada Bank Dunia, sama ada semasa krisis kewangan tahun 1997 atau selepas itu.

Mengulas mengenai pendedahan Pengarah Strategik PKR Mohd Rafizi Ramli yang mengemukakan tiga dokumen yang didakwa sebagai bukti beliau pernah membuat pinjaman itu, Dr Mahathir berkata beliau perlu membuat pengesahan dengan Bank Dunia untuk melihat sama ada dokumen itu asli atau tidak.

"Saya nak tengok...Saya nak pi (pergi) tanya World Bank betul ka ini...pasal sekarang ni taulah gambar manusia dengan badan lain pun boleh buat.

"Sepanjang yang saya ingat dan saya tidak lupa, saya tidak pernah menghantar sebarang permintaan bagi sebarang wang, tidak semasa krisis kewangan atau malah selepas itu. Saya (ketika itu) baru saja kecam World Bank, lepas tu nak minta duit kat dia buat apa? Bodohlah saya," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan 26 peserta program realiti Adik-Adikku di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Dr Mahathir turut mempertikaikan mengapa dokumen seperti itu tiba-tiba muncul, sedangkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan beliau tidak mempunyai dokumen itu sebelum ini.

"Kenapa baru hari ni, dah berapa tahun dah, baru keluar? Pasal politiklah, pasal pilihan raya, nak burukkan orang lain," katanya.

Anwar ketika berucap pada majlis makan malam membincangkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang turut dihadiri wakil kedutaan asing baru-baru ini dilaporkan mendakwa Dr Mahathir ada menulis kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan.

Dr Mahathir kemudiannya mencabar Anwar bersumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikan perkara itu.

Program realiti Adik-Adikku merupakan program Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mencari bakat si cilik dalam berdakwah. Episod akhir program itu akan diadakan pada Mac tahun depan dengan hanya lima orang peserta akan terpilih.

sumber - Bernama

No comments:

Post a Comment