Monday, February 18, 2013

Warga Felda perlu bersyukur apa yang dikecapi

Warga Felda perlu bersyukur dengan apa yang dinikmati selama ini serta tidak melupakan asal-usul mereka, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 
Beliau berkata, mereka juga perlu berasa beruntung dan bernasib baik kerana kerajaan yang diberi kuasa selepas zaman penjajah terfikir untuk mewujudkan skim seperti Felda yang tidak terdapat di negara lain.


"Sebenarnya kita di sini dapat banyak nikmat, nikmat yang datang sebab kita bernasib baik kerana pemerintah yang dipilih rakyat selepas zaman penjajah tahu tentang bagaimana hendak tolong rakyat dan nasib baik mereka terfikir hendak buat skim Felda.


"Malah tidak ada satu negara di dunia ini yang pernah adakan sistem untuk peneroka seperti Felda ini. Hanya di Malaysia yang ada sehingga ia berjaya menjadi satu tanda kemajuan negara," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Negarawan Ulung anjuran Felda di sini hari ini.


Bekas Perdana Menteri berkata, beliau sendiri sebagai seorang yang pernah memimpin Malaysia selama 22 tahun berasa begitu bangga dengan kewujudan Felda dan fungsinya yang terlalu banyak berjasa kepada rakyat Malaysia dan orang Melayu.


"Sebelum Felda wujud, ramai kawan-kawan saya terpaksa masuk hutan menebang tebas pokok-pokok untuk dijadikan ladang getah dan sebagainya kerana tiada pekerjaan sehingga ada yang jatuh sakit malah meninggal dunia. Itu semua mereka lakukan tanpa sebarang bantuan dari sesiapa.


"Namun apabila kerajaan dipimpin oleh rakyat kita sendiri selepas zaman penjajah, perkara yang paling diutamakan ketika itu ialah untuk mengatasi kadar pengangguran yang tinggi di kalangan rakyat. Melihat kepada itu, maka kerajaan mengambil langkah mewujudkan skim Felda yang memberi peluang pekerjaan kepada ramai orang ketika itu," katanya.


Katanya, segalanya bermula secara kecil-kecilan namun skim tersebut berjaya dikembangkan sehingga ia berjaya mencapai tahap yang membanggakan sekali gus meningkatkan taraf kehidupan masyarakat dengan baik.


Oleh yang demikian, Dr. Mahathir berkata, warga Felda tidak harus lupa asal-usul dan sejarah kewujudan mereka sebagai peneroka supaya mereka tidak lagi melakukan kesilapan serta insaf akan nikmat yang telah diberikan.


"Tetapi masalah sekarang adalah generasi muda Felda yang semakin lupa kesusahan ibu bapa mereka. Mereka harus ingat betapa ibu bapa mereka perlu berkorban dan kerja keras sebelum ini dan nikmat yang dirasai hari ini merupakan pengorbanan ibu bapa," katanya.
Dr. Mahathir berkata, warga Felda juga perlu tahu membalas budi pihak-pihak yang telah membantu mereka mengecapi kesenangan hari ini.


Katanya, mereka juga perlu rasional dalam membuat keputusan dan tidak mengikut emosi atau terpengaruh dengan dakyah mana-mana pihak yang cuba merosakkan Felda.


"Mereka (penyebar dakyah) tiada bukti mereka telah menolong peneroka Felda. Mereka suruh kita jangan bersyukur dengan nikmat yang diberi. Adakah itu ajaran yang baik? Adakah itu budaya orang Melayu?.
"Sekarang ada pihak kata ambil RM500 (Bantuan Rakyat 1Malaysia) tapi suruh jangan undi mereka (kerajaan). Ini tak ikut budaya Melayu yang selalu berterima kasih. Kita kena tahu berterima kasih. Takkan pula kita ambil RM500 kemudian kita gigit tangan yang memberi? Itu bukan cara manusia yang waras dan rasional," katanya.


Terdahulu. Mohd. Isa dalam ucapan berkata, Dr. Mahathir merupakan seorang tokoh negara yang telah melalui kehidupan dalam tiga zaman iaitu zaman penjajah, selepas kemerdekaan dan era pertumbuhan serta kemodenan negara.


Justeru katanya, bekas Perdana Menteri itu tahu bagaimana orang Melayu telah dihina dan dicerca oleh penjajah asing akibat sikap kaum itu sendiri.


"Maka pandangan yang diberikan Dr. Mahathir mengenai kemajuan negara khususnya orang Melayu wajar diambil iktibar," katanya.


Pada majlis yang sama, Dr. Mahathir yang juga Presiden Yayasan Keamanan Sejagat Perdana (PGPF) menerima cek sumbangan RM200,000 daripada Felda untuk Tabung Kemanusiaan Gaza bagi membantu penduduk di Palestin.

UTUSAN

No comments:

Post a Comment