Meningkatkan kualiti kereta nasional dan membetulkan salah faham sebelum
ini akan menjadi pemacu utama cadangan pelan pemulihan yang disediakan
untuk Proton Holdings Bhd, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Beliau berkata, pelan itu yang dijadual diumumkan bulan depan,
bertujuan menyediakan penyelesaian jangka pendek dan jangka sederhana
untuk meningkatkan imej pembuat kereta nasional itu, di samping
mewujudkan ruang jualan baharu dan aliran pendapatan bagi Proton.
Pelan pemulihan itu juga akan menyaksikan Proton memberi lebih
perhatian kepada pasaran eksportnya memandangkan pengeluar kereta itu
kini sedar bahawa pasaran automotif domestik telah 'semakin sesak' tahun
demi tahun, kata Dr Mahathir, yang juga Penasihat Proton, kepada
Bernama dalam satu temu bual.
Mengakui bahawa kualiti yang lebih baik disertai dengan harga yang
lebih tinggi, Dr Mahathir berkata Proton berada pada peringkat yang
penting kerana ia perlu menghasilkan kereta yang berdaya saing di
peringkat global untuk bersaing dengan syarikat-syarikat kereta asing
yang membentuk sebahagian besar daripada jumlah keluaran industri
automotif Malaysia.
"Kita tidak boleh sentiasa mengeluarkan kereta murah. Jika itu berlaku,
kita akan kehilangan keyakinan rakyat Malaysia kerana adalah menjadi
pandangan umum bahawa kereta murah tidak datang dengan kualiti," kata
beliau.
Dr Mahathir yang menyatakan keyakinan terhadap pemilik baru Proton,
DRB-Hicom Bhd, berkata konglomerat itu komited untuk meningkatkan imej
syarikat kereta nasional itu daripada hanya sebuah syarikat tempatan
kepada pembuat kereta global dan dihormati.
Dr Mahathir berkata, mentaliti rakyat Malaysia bahawa kereta tempatan
berkualiti lebih rendah apabila dibandingkan dengan kereta buatan asing
mesti berubah.
"Rakyat Malaysia perlu memahami bahawa Malaysia bukanlah satu-satunya
pasaran bagi pembuat kereta asing, yang berbeza dengan Proton. Proton
lebih bergantung kepada pasaran dalam negeri.
"Kos overhed pengeluar kereta asing sangat rendah. Apa yang mereka raih
di sini (di Malaysia) kebanyakannya dianggap sebagai keuntungan.
"Itulah sebabnya mengapa syarikat-syarikat ini mampu menawarkan diskaun
sehingga RM10,000 semasa musim perayaan, yang menyebabkan penduduk
tempatan memilih kereta luar dan bukannya kereta nasional," kata beliau.
Prihatin tentang pasaran domestik yang 'penuh sesak', Dr Mahathir
berkata Proton mempunyai rancangan konkrit untuk melaksanakan strategi
eksportnya dalam usaha untuk meraih pendapatan lebih tinggi untuk
pembuat kereta nasional melalui
aliran pendapatan yang dipertingkat.
Jumlah keseluruhan industri (TIV) mencatatkan jualan 627,753 kenderaan
baharu tahun lepas dengan jumlah itu dijangka melonjak kepada 640,000
tahun ini.
Proton dan Perodua menyumbang lebih sedikit daripada 50 peratus daripada TIV manakala model asing selebihnya.
Proton, hasil ilham Dr Mahathir, ditubuhkan pada Mei 1983.
Awal tahun lepas, DRB-Hicom membeli pegangan 42.7 peratus dalam Proton
pada RM1.29 bilion daripada cabang pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional
Bhd, dan seterusnya menjadikan pembuat kereta nasional itu
persendirian.
Sebelum pengambilalihan berkenaan, Proton telahpun melaksanakan pelan
pemulihan. Bagaimanapun, dengan pemegang saham baharu dan pasukan
pengurusan atasan yang baharu, rancangan itu diteliti semula. -
Sumber : Bernama
No comments:
Post a Comment