Kagum dengan pencapaian Perdana Menteri keempat Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, wartawan Indonesia yang menyertai program lawatan Kelompok Informasi Nasional dan Pekan Informasi Nasional 2013, memasang impian menemu bual Bapa Permodenan Malaysia itu.
Wartawan akhbar Sin Chiew Daily Indonesia, Fitrianto berkata walaupun Malaysia sebuah negara yang kecil berbanding Indonesia, Dr Mahathir berjaya membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang disegani di seluruh dunia.
“Saya ingin mengetahui ‘resepi’ daripada bapak Mahathir sendiri bagaimana dia melakukannya, memajukan Malaysia daripada sebuah negara pertanian kepada sebuah negara perindustrian moden.
“Selama lebih 20 tahun bapak Mahathir memerintah negara beliau amat disayangi rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui Bernama.
Program lawatan Kelompok Informasi Nasional (KIM) yang berlangsung selama enam hari bermula 21 Mei lepas dan Pekan Informasi Nasional 2013 Sabtu lepas disertai wartawan dari tiga negara iaitu masing-masing tiga dari Malaysia dan Indonesia serta seorang dari Brunei selain liputan media tempatan.
Fitrianto tertarik dengan ketegasan Dr Mahathir dalam menangani pelbagai isu dan memastikan Malaysia tidak sama sekali diperlekeh oleh pihak yang ingin ‘menangguk di air yang keruh’.
“Seperti (bekas) Presiden (Allahyarham) Suharto, bapak Mahathir punya ketegasan tersendiri ‘to get the job done’. Namun di sebalik ketegasan itu ada kelembutan dalam perkara tertentu, seperti hubungan Indonesia-Malaysia ada ‘give and take’ antara dua negara sahabat ini,” katanya.
Wartawan akhbar Koran Sindo, Erdian Wirajaya berkata ketegasan dan kekerasan itu tidak menjadi sesuatu yang salah bagi Dr Mahathir kerana sifatnya itu telah menggerakkan kerja membangun Malaysia dengan amat berkesan.
“Tidak berguna jika pemimpin itu lembut untuk mengundang senyum rakyat jika kerja membangun negara itu tidak berjalan karena terlalu lunak (lembut). Melalui blog Dr Mahathir (chedet.cc) saya mengetahui sedikit sebanyak cara pemikiran negarawan Malaysia itu.
“Saya ingin mewawancarai Mahathir untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang cara pemikirannya itu. Seperti dalam blognya dalam isu melibatkan anak-anak seperti mahasiswa penulisannya lembut tetapi kritis, namun dalam masalah seperti Israel beliau amat keras,” katanya.
Erdian berkata ketegasan Dr Mahathir tentang isu Israel itu membuktikan keberanian negarawan ulung itu, tidak takut mengeluarkan kata-kata yang betul yang sukar diluahkan pemimpin dunia lain kerana mahu menjaga hati negara itu.
Wartawan akhbar Citra Indonesia, Edy Santoso mahu menemu bual Dr Mahathir bagi mengetahui cerita di sebalik dakwaan pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelbagai isu melibatkan Malaysia.
“Sebagai journalis (wartawan) dan etika journalis sebenar kita mesti mengetahui cerita daripada dua belah pihak, tidak ambil daripada satu pihak dan membuat rumusan sendiri. Saya mahu mengetahui sendiri daripada mulut bapak Mahathir,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment