Tuesday, May 21, 2013

Dr. Mahathir saran Mesir guna model Malaysia


Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengajak kerajaan baharu Mesir mencontohi pengalaman Malaysia sebagai model dalam memacu kemajuan ekonomi di negara ini.


Objektif permulaan adalah untuk menjana kekayaan, katanya semasa berucap kepada ahli perniagaan dan politik yang menghadiri persidangan Kebangkitan di Seluruh Dunia: Malaysia sebagai Model, anjuran Pergerakan Ikhwan Muslimin, di sini baru-baru ini.


‘‘Saya percaya rakyat Mesir menyedari kesukaran yang sedang mereka hadapi dan tidak malu untuk belajar daripada pengalaman negara lain yang telah berjaya,’’ katanya, sambil menambah kata, rakyat Mesir boleh menjadikan Malaysia sebagai model untuk memulakan usaha bagi memacu kemajuan ekonomi di negara mereka.


Sambil menceritakan pengalamannya mentadbir Malaysia, Dr. Mahathir berkata, kepelbagaian agama dan etnik di Malaysia tidak menjadi halangan untuk mengejar kemajuan, sebaliknya semua pihak mengetepikan perbezaaan ideologi untuk mengambil bahagian dalam proses evolusi negara.
Mahathir turut mencadangkan agar kerajaan baharu Mesir memberi tumpuan kepada membangunkan keadilan sosial dan infrastruktur di bawah fasa pasca revolusi.


“Oleh itu, kerajaan Mesir perlu memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan dan melaksanakan dasar ekonomi yang boleh membuka peluang pekerjaan baharu," katanya.


Beliau turut menarik perhatian pihak pembangkang di Mesir dengan berkata bahawa mereka perlu mengambil bahagian dalam pilihan raya akan datang di negara ini dengan mendekati rakyat.


Ketika bercakap pada sidang akhbar bersama Timbalan Penasihat Tertinggi Pergerakan Ikhwan Muslimin, Khairat El-Shater, selepas itu, Dr. Mahathir berkata: “Rakyat Mesir perlu sedar tentang garisan yang terlalu nipis antara kebebasan dan huru-hara, kerana situasi huru-hara di dalam negara boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan mencetuskan halangan baharu untuk mencapai kemajuan.
Sementara itu, Khairat memuji pencapaian Malaysia di bawah era Dr. Mahathir.


Katanya, Malaysia merupakan negara Islam pertama berjaya muncul sebagai negara maju dengan menggunakan pendekatan moden tanpa mengubah kebudayaan penduduknya.


“Malaysia merupakan negara Islam pertama berjaya muncul menjadi sebuah negara maju daripada sebuah negara yang mundur.


“Kami (rakyat Mesir) boleh mencontohi beberapa aspek yang diguna pakai oleh Malaysia untuk mencapai tahap tersebut," jelasnya. - AGENSI


UTUSAN 

No comments:

Post a Comment