Monday, May 6, 2013

Dr. M penyelamat ekonomi negara, bukan Anwar


Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelamatkan Malaysia ketika negara mengalami krisis ekonomi pada tahun 1997 hingga 1998, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini.
Beliau berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sering mendakwa beliau berjaya menyelamatkan ekonomi dan mengurangkan hutang negara ketika memegang jawatan Menteri Kewangan, hanya untuk mengambil kredit.


Menurut Ahmad Husni, formula pengukuhan ekonomi yang dilakukan oleh Anwar gagal membawa Malaysia keluar daripada kemelut krisis ekonomi ketika itu sehinggalah Dr. Mahathir, selaku Perdana Menteri, campur tangan dan memperkenal pelbagai inisiatif untuk menyelamat ekonomi negara.
"Kita bernasib baik kerana Dr. Mahathir campur tangan. Tiga bulan kita mencari jalan penyelesaian untuk memulihkan ekonomi negara.


"Pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara, bersama bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, beliau (Dr. Mahathir) setiap hari mendengar pandangan. Hasilnya, kita memperkenal model kewangan ekonomi baharu.
"Tun Dr. Mahathirlah yang sebenarnya membangunkan kedudukan ekonomi dan kewangan Malaysia untuk kekal dalam kedudukan yang sihat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perpustakaan Dato' Seri Husni bernilai RM760,000 di Chemor, dekat sini.


Sementara itu, Ahmad Husni berkata, ekonomi Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berjaya mencatat pertumbuhan 5.2 peratus.


Ahmad Husni berkata, empat negeri - Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Selangor - yang ditadbir pembangkang, gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan dari segi ekonomi sejak tahun 2008 sehingga kini.


"Mereka tidak mempunyai inisiatif atau dasar baharu. Tidak ada pelan transformasi ekonomi. Mereka hanya ikut dasar BN (Barisan Nasional) dan memohon bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan," katanya.
Mengenai dakwaan Anwar, dalam siri ceramahnya yang mengatakan kononnya hutang negara melonjak sehingga RM456 bilion berbanding RM97 bilion pada 1992 kepada RM89 bilion pada 1997, Ahmad Husni berkata, ia merupakan taktik pembangkang untuk mewujudkan rasa benci terhadap kerajaan.


Beliau berkata, hutang Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia berada pada paras 53 peratus berbanding Jepun (237.9 peratus), Amerika Syarikat (106.5 peratus), Singapura (111 peratus) dan Jerman (82 peratus). - 


BERNAMA


No comments:

Post a Comment