Monday, May 6, 2013

Dr Mahathir Bersyukur Kedah Kembali Ke Tangan BN


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan rasa syukur kerana Kedah kini kembali ke tangan Barisan Nasional (BN) selepas lima tahun diteraju pakatan pembangkang.
"Kerajaan BN akan menjalankan tugas dan menunaikan segala janji membangunkan Kedah supaya sama dengan negeri-negri lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis angkat sumpah menteri besar Kedah yang baharu, di Istana Anak Bukit, di sini Isnin.
Susulan kejayaan BN membentuk kerajaan negeri selepas menang majoriti mudah iaitu 21 daripada 36 kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang dipertandingkan, anak beliau Datuk Mukhriz yang memenangi kerusi DUN Ayer Hitam dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baru.
Mengenai pelantikan anaknya, Dr Mahathir berkata beliau mahu Mukhriz menjalankan tugas sebaik mungkin dan berusaha sedaya upaya menunaikan janji untuk membangunkan negeri itu.
"Bekerja baik dan bekerja kuat, jangan kira diri sendiri, jangan bagi orang tuduh terlibat dengan korupsi dan sebagainya, buat kerja secara lurus dan berkhidmat untuk negeri dan Malaysia," nasihatnya kepada Mukhriz.
Beliau juga mengingatkan Mukriz agar tidak menyalahgunakan kuasa dan mandat yang diamanahkan rakyat.
Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi BN negeri hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-10.
Beliau yang pada pilihan raya umum lepas bertanding dan menang di kerusi Parlimen Jerlun serta dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan BN bertanding peringkat negeri pada pilihan raya umum ke-13 yang berakhir, Ahad.
Beliau mengatasi calon PAS yang juga penyandang Abd Ghani Ahmad di DUN Ayer Hitam dengan kelebihan 2,446 undi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment