Setiap kali selepas PRU diadakan, baik di Malaysia atau di seluruh dunia, sudah pasti kumpulan kalah akan mendakwa penipuan, penyelewengan dan salah guna kuasa sebagai punca kemenangan pihak lawan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dengan dakwaan seperti ini, pihak yang kalah akan meminta diadakan pilihan raya baru atau kiraan semula undi.
Menurutnya, jika permintaan ini tidak dipenuhi, kumpulan ini akan mengadakan demonstrasi jalanan secara berterusan, malah mereka sanggup menggunakan kekerasan dan mengganggu ekonomi negara.
“Demonstrasi jalanan boleh menumbangkan kerajaan. Kita tahu ia boleh dilakukan seperti yang berlaku pada ‘Arab Spring’. Kita juga tahu menyusun kerajaan baru juga satu tugas yang sukar,” katanya.
Kata Dr Mahathir lagi, jika demonstrasi yang dilakukan cukup besar, kumpulan ini tahu bahawa pihak polis tidak akan bertindak terhadap mereka.
“Jika polis bertindak juga, para demonstran akan bertindak balas dan menjadi lebih ganas. Jika polis membalas balik dengan keganasan, kuasa asing yang menyokong mereka akan menuduh ia satu keganasan polis.
“Dalam keadaan tertentu polis akan berundur atau diarahkan berundur. Ada pihak akan mengambil peluang dari keadaan ini untuk melakukan jenayah kecil dan membuatkan orang ramai berasa tidak selamat,” katanya.
Tambah Dr Mahathir lagi, jika pilihan raya diadakan semula dan pihak yang kalah tadi menjadi pemenang, maka pihak lawan akan menggunakan alasan sama seperti penipuan dan penyelewengan sebagai punca kemenangan mereka.
“Mereka akan mengadakan demonstrasi jalanan dan melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan kerajaan, ia akan berulang-ulang.
“Keputusannya adalah ketidakstabilan kepada negara, tiada pembangunan dan kemiskinan akan bertambah. Negara mungkin akan meminjam wang dan akhirnya negara hilang kemerdekaan,” katanya.
Dengan nada sinis Dr Mahathir berkata, lebih baik sebuah kerajaan dipilih melalui demonstrasi jalanan kerana ia mungkin kurang unsur-unsur penipuan.
“Sudah pasti ia adalah nilai yang kecil untuk membayar hak menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan yang demokratik,” katanya.
SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment